Rabu, Jun 18, 2008

Petronas Perlu Labur Untuk Terus Sumbang Kepada Pembangunan Negara

KUALA LUMPUR, 18 Jun (Bernama) -- Petronas perlu menyimpan sebahagian kecil daripada keuntungannya untuk melabur, membangunkan dan mengeksplorasi medan-medan minyak yang baru untuk terus menyumbang kepada pembangunan negara, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Mohd Hassan Marican.

"Kalau tidak, kita tidak akan mendapat hasil di masa hadapan, dan saya rasa kita pun patut ingat Petronas telah diamanahkan oleh kerajaan, dan untuk amanah itu kita perlu fikir kepada generasi yang akan datang," kata beliau.

Sejak ditubuhkan, Petronas telah mendapat keuntungan sebanyak RM570 bilion, dan daripada jumlah itu, sebanyak RM336 bilion telah dibayar kepada kerajaan.

Beliau berkata Petronas telah menggunakan baki wang itu untuk melabur seperti dalam paip saluran gas, loji-loji penapisan, loji-loji petrokimia dan sebagainya, yang telah memberi keuntungan yang lebih kepada Petronas dan seterusnya kepada kerajaan.

"Kalau kita tak melabur, kerajaan tidak akan menerima pembayaran sebanyak RM336 bilion. Dalam jangkaan saya, mungkin pembayaran kepada kerajaan cuma RM161 billion," kata beliau dalam rancangan Bersemuka Dengan Media dengan tajuk Peranan Petronas: Industri Minyak Negara yang disiarkan secara langsung di RTM 1 Selasa malam.

Beliau diwawancara oleh Editor Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama, Mikhail Raj Abdullah serta Editor Eksekutif The Edge Malaysia, Azam Aris dan bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia Datuk Johan Jaaffar bertindak sebagai perantara.

Menurut Hassan dividen daripada Petronas kepada kerajaan sentiasa meningkat.

Hassan berkata sekiranya hasil eksplorasi Petronas berjaya, jumlah pengeluaran akan dapat dikekalkan pada 700,000 tong.

Beliau juga menjelaskan bahawa Petronas dan Petronas Carigali hanya memiliki 75 peratus pengeluaran negara.

"Kita ada sistem konsesi kepada sistem kontrak perkongsian pengeluaran di mana terdapat syarikat-syarikat lain seperti Shell dan Exxon dan lain-lain, beroperasi dan berkongsi dengan Petronas."

Beliau berkata walaupun harga petrol yang tinggi merangsang keuntungan syarikat-syarikat petroleum, perlu diingat bahawa kos pengeluaran dan eksplorasi juga meningkat.

Sebagai contoh, katanya keuntungan Exxon Mobil pada 2007 hanya meningkatkan AS$1 bilion kepada AS$40 bilion berbanding AS$39 billon pada 2006.

Beliau berkata ini kerana peningkatan kos carigali, membangun, dan juga mengeluarkan minyak, menapis minyak dan sebagainya.

"Kos sudah meningkat. Kos meningkat lebih daripada peningkatan harga minyak yang terdapat sekarang dan ini telah mengikis keuntungan syarikat-syarikat minyak," kata beliau.

Katanya, dulu kos carigali dalam lautan yang cetek akan menelan belanja AS$3 juta, bagaimanapun sekarang ia berjumlah AS$7 juta.

Petronas, katanya sudah mula membangunkan dan mengeluarkan minyak dari laut dalam yang memerlukan kos yang tinggi.

Beliau berkata anggaran kos untuk membangunkan medan minyak Kikih, medan laut dalam untuk permulaan pada 2003 adalah kira-kira RM3 bilion, tetapi kos akhir bila pengeluaran bermula pada Ogos tahun lepas, berjumlah lebih kurang RM5.3 bilion.

Beliau berkata subsidi untuk petrol dan diesel bukan datang daripada Petronas tetapi daripada kerajaan.

"Subsidi yang dibayar oleh kerajaan menggunakan pembayaran yang diterima daripada Petronas dan lain-lain syarikat dan cukai pendapatan yang diterima oleh kerajaan. Ini daripada budjet kerajaan," katanya.

Petronas perlu terus bangunkan medan minyak
KUALA LUMPUR 17 Jun - Petroliam Nasional Bhd., (Petronas) tidak akan dapat melabur dan membangunkan medan minyak atau gas bagi kegunaan masa depan sekiranya pembayaran keuntungan kepada kerajaan ditingkatkan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Mohd. Hassan Marican berkata, pada masa ini Petronas membayar sebanyak 65 peratus daripada hasil keuntungannya setiap tahun kepada kerajaan.

Katanya, pembayaran itu menyumbang kepada 35 peratus daripada bajet tahunan kerajaan.

"Sekiranya kita meningkatkan lagi pembayaran kepada kerajaan, bermakna Petronas tidak akan dapat melabur atau membangunkan medan minyak atau gas untuk masa hadapan kita," katanya.

Mohd. Hassan berkata, jika Petronas tidak diberi kemudahan untuk membuat tabungan, beliau menjangkakan generasi akan datang tidak akan dapat menikmati hasil kekayaan petrolium negara.

"Dalam 34 tahun ini (sejak penubuhan Petronas), cuma RM178 bilion sahaja yang telah digunakan untuk membangunkan medan-medan minyak dan meningkatkan rizab negara.

"Jadi kalau Petronas tidak diberi kemudahan menabung untuk masa depan, saya rasa generasi akan datang tidak akan dapat menikmatinya," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menyuarakan mesej lebih 30,000 kakitangannya yang kecewa dengan kecaman masyarakat terhadap Petronas ekoran isu kenaikan harga minyak.

Beliau berkata, mereka amat terkilan kerana kenaikan harga minyak adalah masalah di peringkat global, bukannya kerana kesilapan Petronas.

Mohd. Hassan memberitahu kegiatan spekulatif dalam pasaran minyak dunia dan masalah geopolitik menyumbang kira-kira AS$30 dalam kenaikan harga minyak.

Katanya, kegiatan spekulatif itu menyumbang kira-kira AS$15-AS$20 dalam kenaikan harga minyak dunia.

"Antara AS$5-AS$10 dolar (AS) di dalam harga sekarang ini disebabkan oleh geopolitik yang tidak stabil dalam dunia," katanya.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda