Popular Today

Khamis, Jun 12, 2008

Kumpulan pendapatan rendah dan perniagaan kecil dapat bantuan tambahan

Seminggu lagi kerajaan akan menyediakan bantuan tambahan kepada perniagaan kecil dan kumpulan berpendapatan rendah sebagai usaha untuk mengurangkan beban mereka berikutan kenaikan harga bahan bakar, kata Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hari ini.

"Dalam masa seminggu, akan ada pengumuman mengenai bantuan itu. Ini merupakan pendekatan yang digunakan pada masa ini," kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan program sarjana kewangan Islam INCEIF di sini.

Dr Zeti bagaimanapun tidak menyatakan bentuk bantuan yang akan diberikan itu.

Beliau berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga pengerusi Majlis Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) akan membuat pengumuman berhubung perkara itu.

Berikutan lonjakan harga minyak mentah, minggu lalu kerajaan mengumumkan kenaikan 78 sen atau 41 peratus dalam harga petrol, dari RM1.92 kepada RM2.70 seliter, dan kenaikan RM1 atau 63 peratus dalam harga diesel, dari RM1.58 kepada RM2.58 seliter.

Bagi mengurangkan beban rakyat, kerajaan memperuntukkan RM5 bilion sebagai rebat tunai bagi kenderaan tahun ini. - Bernama

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda