Selasa, November 04, 2008

Tiada penyelewengan

Oleh NIZAM YATIM

KUALA LUMPUR 3 Nov. – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati tiada sebarang penyelewengan dari segi prosedur dalam pembelian helikopter Eurocopter EC725 Cougar.

Pengerusinya, Datuk Seri Azmi Khalid berkata, penilaian dari segi teknikal dan kewangan pembelian 12 helikopter itu yang keseluruhan berharga RM1.604 bilion termasuk pakej ofset adalah mengikut piawaian antarabangsa.

‘‘Kita mendapati wujud pematuhan kepada prosedur yang ditetapkan dan diguna pakai di peringkat antarabangsa. Ia juga mematuhi syarat-syarat ketat yang ditetapkan dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) antara negara ini dan Amerika Syarikat,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di bangunan Parlimen di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Pengerusi PAC dari DAP, Dr. Tan Seng Giew.

Mesyuarat yang berlangsung selama tiga hari melibatkan sesi taklimat daripada pegawai tertinggi Kementerian Pertahanan mengenai aspek penilaian teknikal dan Kementerian Kewangan berhubung penilaian kos.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan keputusan kerajaan untuk menangguhkan pembelian helikopter itu sebagai langkah berjimat cermat berikutan krisis kewangan dunia.

Azmi menjelaskan, sebelum ini sebanyak tiga syarikat telah disenarai pendek dalam tender berkenaan yang masing-masing pada harga RM1.262 bilion, RM1.604 bilion dan RM2.442 bilion.

‘‘Kementerian Kewangan telah membuat perakuan untuk memilih Eurocopter pada harga RM1.604 bilion walaupun terdapat sebuah syarikat lain yang menawar kos lebih rendah.

‘‘Ini kerana pengalaman kita mendapati wujud peraturan ketat oleh negara syarikat itu berasal sekiranya kita ingin menaik taraf helikopter yang dibeli,” katanya.

Bagaimanapun, kata beliau, skop penilaian oleh PAC hanya melibatkan harga yang ditawar ketika tender dan tidak dapat mencadangkan harga terbaik yang sepatutnya dibeli berdasarkan perbandingan dengan negara lain kerana pakej Eurocopter mempunyai harga berbeza mengikut keperluan tentera negara terbabit.

Dalam pada itu, Azmi berkata, PAC kurang senang kerana tiada penilaian fizikal dilakukan terhadap helikopter yang bakal dibeli sebelum kerajaan membuat sebarang keputusan.

‘‘Kita juga mengambil berat akan hakikat bahawa jika dilewatkan pembelian Eurocopter, harga yang ditetapkan dalam tender hanya dapat dipertahankan sehingga Februari 2009. Selepas itu rundingan harga baru perlu dilakukan,” katanya.

Menurut beliau, PAC juga memandang serius tentang kelewatan untuk mendapatkan helikopter baru kerana ia akan menyebabkan Nuri yang telah berusia 42 tahun terpaksa diguna sehingga tahun 2015.

‘‘Kerajaan perlu mengambil kira kebimbangan rakyat berikutan 10 buah Nuri telah terhempas dan mengorbankan 95 orang.

‘‘Walaupun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah membuat perakuan Nuri boleh dipakai sehingga 20 tahun lagi, kita berpendapat perlu dilakukan proses naik taraf bagi membolehkan ia beroperasi pada waktu malam dan mempunyai sistem pemanduan automatik ketika operasi menyelamat,” ujarnya.

Bagi menjamin tidak wujud sebarang kelemahan daripada segi penilaian teknikal, tambahnya, PAC telah mendapat perakuan Kementerian Pertahanan dan TUDM untuk mewujudkan pangkalan data yang merekodkan masalah yang timbul dalam pembelian terdahulu termasuk pesawat pejuang Skyhawk dan kereta perisai Scorpion sebagai rujukan.

Kata beliau, pihaknya juga mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan panel penilai bebas di semua kementerian untuk memantau segala pembelian yang besar dan menggunakan wang banyak supaya rakyat berasa yakin bahawa segala perolehan dibuat dengan telus.

Menurut Azmi, PAC juga membuat keputusan untuk terus memantau proses pembelian Eurocopter kerana ia adalah kes berprofil tinggi dan akan memanggil balik pegawai berkenaan jika wujud isu-isu baru yang berbangkit.

‘‘Jika kerajaan membuat keputusan untuk membelinya, maka PAC mencadangkan kepada pihak TUDM supaya diadakan pemeriksaan rapi sebelum menerima helikopter yang sudah siap,” ujarnya.

Mengenai nilai RM1.604 bilion itu berbeza daripada jumlah terbaru yang diumumkan oleh Abdullah iaitu RM1.607 bilion pada minggu lalu, beliau menjelaskan, angka yang disebut Perdana Menteri adalah termasuk kos penghantaran helikopter tersebut.

Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda