Popular Today

Selasa, April 07, 2009

Mufti Vs PAS : Nga hina agama, umat Islam

Adun perlu mohon maaf kepada umat Islam segera KUALA LUMPUR: Mufti, pakar perundangan dan pertubuhan Islam menyifatkan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Remis, Nga Kor Ming, yang membaca ayat suci al-Quran dalam siri ceramahnya semata-mata untuk memancing undi pada pilihan raya kecil sebagai usaha menghina agama dan umat Islam.

Mufti Perlis dan Selangor berpendapat perkara itu jika terus dibiarkan tanpa tindakan tegas pihak berkuasa boleh menggugat kestabilan dan keselamatan negara kerana ia jelas tidak menghormati agama rasmi negara ini.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga membuat laporan polis secara berasingan di sini, semalam, sebagai membantah dan mengutuk tindakan Nga dan memintanya memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya, berkata Islam tidak melarang bukan Islam membaca al-Quran kerana kitab itu untuk semua manusia tetapi hendaklah digunakan dalam suasana, niat baik dan bacaan yang betul.

Beliau yang mendengar bacaan Nga yang disiarkan di televisyen kelmarin berkata, bacaan dilafazkan itu jelas tidak betul dan menyeleweng.

“Kalau orang Islam sendiri yang menyalah guna ayat suci itu juga dilarang, apatah lagi orang bukan Islam. Ia boleh menggugat kestabilan, jangan heret kitab suci dalam kemelut politik sebab kita tidak mahu berlaku salah guna dan tidak ada rasa hormat pada sensitiviti penganut agama lain,” katanya ketika mengulas desakan pelbagai pihak supaya Nga memohon maaf dan menghentikan perbuatannya kerana mempersendakan agama Islam semata-mata untuk memancing undi orang Melayu.

Kelmarin, Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping susulan rakaman video youtube.com yang memaparkan Nga membaca ayat al-Quran selama satu minit 16 saat.

Dalam rakaman itu, Nga memberi salam secara tidak tepat dan membaca petikan yang didakwa dari surah ‘Aura’ yang tidak ada dalam al-Quran.

Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahab, berkata ayat al-Quran adalah kalam Allah yang suci dan membaca al-Quran adalah ibadah.

Namun katanya, umat Islam yang menyebut ayat al-Quran tidak betul, bukan mendapat rahmat sebaliknya laknat.


“Kalau bukan Islam yang tidak tahu sebut, dan salah bacaan, sudah tentu mirip kepada senda gurau yang tidak sepatutnya berlaku.

“Lebih baik mereka baca tafsiran saja, lebih selamat,” katanya.


Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Zainal Rijal Abu Bakar, berkata hukuman penjara dan denda boleh dikenakan terhadap mereka yang jelas menghina agama Islam mengikut kanun keseksaan mengikut Seksyen 298.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda