IPOH: Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, bertitah bahawa sebarang gerakan yang dicetuskan untuk mempertikaikan kepentingan orang Melayu dan Bumiputera bukan saja melanggar peruntukan asas dalam Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri, malah turut mempertikaikan kedaulatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.
Perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Negara dan Perlembagaan Negeri ini adalah persetujuan yang dicapai secara bersama dalam semangat memberi dan menerima, serta dalam semangat memahami dan menghormati di kalangan pemimpin yang mewakili kepentingan pelbagai kaum ketika kemerdekaan negara sedang dirundingkan.
"Persetujuan tersebut sudah dicapai di antara pemimpin pelbagai kaum, kerajaan Inggeris dan juga Raja-raja Melayu," titahnya pada perasmian Majlis Wacana Ilmu di Institut Tadbiran Islam Perak di sini, hari ini.
Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah.
"Pemimpin di negara ini mempunyai tanggungjawab politik dan kenegaraan untuk menghormati asas-asas yang menjadi tunjang kedaulatan sebuah negara merdeka dan asas-asas yang menjadi akar kepada hubungan kaum yang harmonis iaitu asas-asas yang sudah dipersetujui ketika negara menggubal Perlembagaan Merdeka," titah Baginda.
Sultan Azlan bertitah, penyimpangan daripada semangat asal yang dicapai itu tentunya akan mencetuskan kegelisahan dan mengheret negara kepada keadaan ketidaktentuan.
Pada masa yang sama, asas-asas persetujuan tersebut jangan sama sekali disalahgunakan di peringkat pelaksanaan sehingga ada kaum yang merasakan diri mereka tertindas.
"Selaras dengan peranan takhta sebagai sumber keadilan, adalah juga menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong dan Raja Pemerintah di setiap negeri memastikan bahawa kepentingan kaum lain yang sah dari segi undang-undang turut dilindungi," titahnya.
Baginda bertitah, amalan yang menyimpang daripada prinsip keadilan tidak harus dibenarkan berlaku kerana setiap warga negara yang sah adalah rakyat yang harus diberikan keadilan yang setimpal.
Sultan Azlan bertitah, manusia biasanya dapat berfikir dengan rasional jika asas pertimbangan sentiasa didasarkan kepada ilmu pada sesuatu peristiwa yang ditafsirkan secara objektif berdasarkan fakta.
Manusia yang mengasaskan tafsiran berdasarkan ilmu dapat memisahkan diri daripada pengaruh sentimen dan emosi yang dapat membezakan tentang apa yang dianggap fakta dengan apa yang diharapkan berlaku, titah Baginda.
"Ilmu menjadi bernilai jika yang dipelajari itu dapat diamalkan dalam kehidupan harian. Ujian sebenar terhadap penguasaan ilmu adalah di peringkat aplikasi.
“Manusia yang berjaya menghayati ilmu akan memperlihatkan penguasaannya terhadap ilmu di peringkat aplikasi," titahnya.
"Lima puluh tahun yang lalu ketika negara masih kurang bilangan cerdik pandai dan profesional, kesopanan dan kesusilaan adalah sebahagian daripada budaya masyarakat di negara ini, adalah komponen yang ditekankan dalam proses pendidikan dan penyampaian ilmu, adalah elemen penting untuk mewujudkan kestabilan," titah Sultan Azlan Shah.
Baginda bertitah, negara sudah memiliki bilangan cerdik pandai dan profesional yang jauh lebih ramai namun ia mula memperlihatkan kelunturan sifat-sifat kesopanan dan kesusilaan yang menjadi prinsip kelima dalam Rukun Negara.
Titahnya, aspek kesopanan dan kesusilaan juga bagaikan tidak diutamakan lagi walaupun institusi ilmu tumbuh bercambah pada hari ini.
"Keadaan ini bagai memperlihatkan berlakunya jurang antara perkembangan institusi ilmu dengan penghayatan ilmu dalam amalan hidup seharian, atau kemungkinan berlakunya satu keadaan tidak seimbang di antara pendekatan menyampai dan menyebarkan ilmu yang terlalu menekankan kepada disiplin pengajian masing-masing hingga teralpa kepada komponen kesopanan dan kesusilaan," titahnya.
Sultan Azlan bertitah, ilmu yang dikuasai tanpa asas kesopanan dan kesusilaan yang kukuh boleh meruntuh dan merosakkan tamadun dan nilai-nilai sosial masyarakat setempat.
"Semoga komponen kesopanan dan kesusilaan diberikan perhatian penting dan dianyam dengan bijak oleh setiap insan dan setiap institusi yang terbabit dengan aktiviti keilmuan," titah Baginda. - Bernama
3 ulasan:
Daulat Tuanku
Semoga Allah panjangkan usia Tuanku untuk memerintah negeri Perak Darul Ridzuan dan jajahan takluknya
siapa yg mempersoalkan hak ketuanan melayu dan cuba menderhaka kepada raja melayu ibarat seorang anak yg sanggup memijak kepala bapa dia. go to hell org yg mempertikaikan raja kami. limbongsari.blogspot
Baca! baca!! baca!!! baca!!!!baca!!!!! fahami! fahami! fahami! fahami! sedarlah! sedarlah!! sedarlah!!! sedarlah!!!! sedarlah!!!! rakyat! rakyat! rakyat! rakyat! semua!!! semua!! semua!. Khususnya bangsa melayu!!!!!Saya dengar di Perfak, Terdapat melayu yang hairan kenapa MB Perak hanya dan mesti dari kalangan bangsa melayu sahaja? INi mesti tak cukup ilmu ni. Tapi ikut calpur nak bermain politik. Duduk diam saja jika bebal permainan politik negara.
Catat Ulasan