MINGGUAN: Bolehkah Datuk Seri mengimbas sejarah negara dalam memerangi keganasan komunis?
CHE MD. NOOR: Tahap pertama perjuangan komunis ialah pada tahun 1948 hingga 1960 manakala tahap kedua ialah pada tahun 1968 sehingga 1989. Selepas darurat pada tahun 1948 hingga 1960, kita anggap perjuangan mereka sudah terhenti kerana mereka menjadi lemah dan berundur ke selatan Thailand.
Namun begitu pada tahun 1968, berikutan kemenangan komunis di Vietnam, Parti Komunis Malaya (PKM) telah mengeluarkan apa yang dipanggil ‘Arahan bulan Jun’ dan mereka kembali semula kepada revolusi bersenjata bagi mengambil alih negara Malaysia daripada pemerintahan demokratik kepada pemerintahan komunis.
PKM pada tahun yang sama cuba menunjukkan kehadiran mereka dengan melancarkan satu serangan di Bukit Berapit, Keroh atau kini dikenali sebagai Pengkalan Hulu. Dalam serangan hendap itu kalau tidak silap saya, seramai 21 anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) terkorban. Peristiwa berkenaan menjadi detik permulaan kebangkitan semula PKM. Sejak itu pelbagai keganasan dilakukan oleh PKM termasuklah peristiwa 13 Mei 1969 yang pada pandangan saya mempunyai pengaruh terhadap kegiatan komunis.
Kegiatan komunis selepas itu meningkat dari semasa ke semasa termasuk di Sarawak. Semua itu adalah sebahagian daripada jaringan komunis antarabangsa bagi menjajah dunia. Saya percaya anda semua pernah mendengar cerita dipanggil paksi Peking, Hanoi, Jakarta. Ia adalah sebahagian daripada perancangan komunis untuk menjajah dunia, kegiatan komunis di Jakarta gagal pada tahun 1965 berikutan kejatuhan Parti Komunis Indonesia (PKI).
Semasa bertugas apa pula pengalaman Datuk Seri dalam memerangi komunis?
CHE MD. NOOR: Sebagai salah seorang pegawai tentera berpangkat kapten dan bertugas sebagai pegawai perisik di Ipoh pada tahun 1968, saya dapat melihat bagaimana kejamnya PKM melakukan pembunuhan ke atas anggota polis dan serang hendap yang dilakukan tanpa henti-henti daripada Jeli dan Tanah Merah di Kelantan sampailah ke Perlis. Mereka melakukan banyak pengeboman termasuk di Jambatan Kokma di Padang Besar, sekarang jambatan itu sudah tidak ada lagi. Pada tahun 1969 selepas peristiwa 13 Mei mereka melakukan serang hendap di Sintok, Kedah menyebabkan enam anggota tentera daripada Empat Rejimen Askar Melayu terbunuh. Saya tahu peristiwa itu kerana saya sendiri pergi melihat kejadian berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan