Popular Today

Sabtu, Julai 04, 2009

Usahawan Malaysia mahu beli kelab Newcastle United

KUALA LUMPUR 3 Julai – Sekumpulan ahli perniagaan dari Malaysia dikaitkan berminat untuk membeli kelab bola sepak England, Newcastle United, lapor media Britain hari ini.

Akhbar Mirror dalam laman webnya, www.mirror.co.uk memetik kenyataan pemilik Newcastle, Mike Ashley yang mengakui telah dikunjungi prospek pembeli - iaitu sekumpulan ahli perniagaan dari Malaysia dalam satu pertemuan rahsia.

Ashley, seorang ahli perniagaan yang membina kekayaan menerusi rangkaian kedai barangan sukan mula menyuarakan hasrat untuk menjual kelab England itu selepas ia tersingkir daripada saingan Liga Perdana, musim lalu.

Identiti ahli perniagaan dari Malaysia itu tidak didedahkan, namun kehadiran mereka dikesan oleh kakitangan dan para pemain kelab ketika keempat-empat mereka dibawa melawat stadium dan gelanggang latihan.

Ashley yang membeli Newcastle dengan harga 135 juta pound (RM752 juta) pada 2006 dikatakan tidak sabar lagi untuk menjual kelab tersebut yang hingga kini masih belum memiliki pengurus, sebulan sebelum cabaran kejuaraan bermula.

Bulan lalu, ahli Lembaga Pengarah Newcastle United mengumumkan bahawa kelab itu akan dijual dengan harga 100 juta pound (RM555.7 juta).

Untuk rekod, syarikat automobil nasional, Proton merupakan syarikat Malaysia pertama melibatkan diri dalam bola sepak England menerusi penajaan jersi bekas kelab Liga Perdana, Norwich City pada musim 2003-2006.

Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia pula menjadi penaja jersi pengadil perlawanan Liga Perdana, yang mana logo mereka tertera di lengan baju pengadil dan pembantu pengadil dalam lebih 50 perlawanan.

Nanti ada sahaja yang kata membazir, lebih baik sponsor dalam negara dari kelab leuar negara... bagi aspirasi... ini mungkin jalan terbaik jika pemain Malaysia dapat didedahkan di sana....

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda