Topik tentang sistem pendidikan negara sentiasa mengundang pelbagai pandangan daripada semua pihak dalam masyarakat Malaysia. Saya telah diminta memberikan komen berhubung perkara ini pada Sabtu lalu. Walaupun saya telah pun memberikan jawapan saya, namun saya merasakan ada kaitannya bagi saya untuk menjelaskannya sekali lagi, dan barangkali mengundang lebih banyak perbincangan tentangnya dalam blog saya ini.
Walau bagaimanapun, ke mana sahaja arah perbahasan ini, kenyataannya adalah: rangka tindakan pendidikan kita telah digubal dari sudut pandangan bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk memilih pendidikan mereka di negara ini. Ia merupakan satu harapan rakyat berikutan dengan Kemerdekaan negara, dan kerajaan telah pun mengambil tindakan yang sewajarnya berhubung hasrat itu.
Sejak sekian lama dan hampir dalam setiap keadaan, isu berkaitan dengan sistem pendidikan yang ideal sentiasa dipolitikkan. Sebagai Perdana Menteri kepada semua rakyat Malaysia, saya berpandangan bahawa kita semua mesti mencari keseimbangan. Marilah kita sama-sama beringat bahawa pada akhirnya, isunya adalah untuk memastikan supaya masa hadapan generasi kita, kepimpinan masa hadapan kita, berupaya mendapat pendidikan yang terbaik. Kita harus meneroka ekonomi yang berasaskan pengetahuan dan inovasi. Inilah antara sebabnya kenapa saya mengumumkan semasa membentangkan belanjawan baru-baru ini, Biasiswa Nasional akan dianugerahkan kepada 30 pelajar SPM yang mendapat keputusan terbaik berdasarkan merit semata-mata.
Saya telah mendengar ramai daripada anda sekalian yang mahukan pertukaran kepada sistem satu aliran sebagai salah satu cara untuk meningkatkan lebih perpaduan dan integrasi di kalangan rakyat. Walau bagaimanapun, ramai orang tidak memberikan pengertian kebanyakan orang. Saya juga ada mendengar ramai yang begitu bertegas akan hak untuk memilih berdasarkan sistem pendidikan sekarang. Saya telah mendengar kedua-dua pendapat yang berbeza ini dan menerimanya. Justeru itu, kita hendaklah secara bersama-sama bersetuju akan satu sistem yang memberikan kebaikan kepada semua rakyat, yang mendukung nilai-nilai yang kita junjung. Sudahkah kita bersedia untuk menjauhkan diri daripada hak untuk memilih dan berkompromi? Dalam menyampaikan sudut pandangan kita, sudahkah kita memikirkan tentang pandangan-pandangan lain yang berbeza itu?
Ketika masyarakat masih mempunyai perasaan yang bertentangan dan agak keberatan untuk membuat keputusan bersama itu, saya tidak ingin ada perbalahan yng timbul dalam masyarakat kita kerana perkara yang sangat sensitif ini. Malah hasrat yang paling murni pun boleh menjadi tidak bermakna langsung jika kita tidak bersedia untuk menerima dan mengamalnya. Kita akan bertukar kepada sekolah satu aliran hanya apabila kita telah bersedia dan hanya jika inilah yang dikehendaki oleh "rakyat".
"1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan"
Sumber : Blog 1Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan