Popular Today

Selasa, November 03, 2009

Dr M : pemilihan baru melemahkan MCA

PUTRAJAYA: Langkah mengadakan pemilihan baru dalam MCA akan hanya memecah belah dan melemahkan parti itu, kata bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Ini kerana pihak yang kalah tidak akan bertolak ansur. Jadi, akhirnya anda akan mempunyai sebuah parti yang lebih lemah," katanya selepas merasmikan upacara menandatangani kerjasama antara tiga syarikat iaitu Mega Signet Sdn Bhd, Return 2 Green Sdn Bhd dan Bio Green Bags Sdn Bhd di sini, hari ini.

Beliau berkata, masalah sekarang dalam MCA, MIC atau Umno ialah ada pihak yang berebutkan jawatan pemimpin.

"Mereka tidak memikirkan parti, parti hanya sebagai seekor kuda yang mereka tunggangi.

"Dan mereka fikir dengan bergabung dalam parti politik, mereka boleh mendapatkan sesuatu sebagai balasan," katanya.

Dr Mahathir ditanya berhubung laporan dalam akhbar hari ini, bahawa Wanita MCA mahukan parti itu mengadakan pemilihan baru dalam parti.

Beliau berkata, keretakan berlaku dalam parti-parti politik kerana pemimpin tidak berminat terhadap negara atau kepentingan parti masing-masing.

MCA bergolak dalam krisis kepimpinan lebih setahun sekarang.

Parti itu mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 10 Oktober untuk menyelesaikan masalah tetapi bukan semua puak yang bertelagah puas hati dengan keputusan yang dicapai, dengan itu mereka mendesak supaya pemilihan baru diadakan.



Sumber : Berita Harian

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda