Jumaat, Januari 15, 2010

Anwar keluar kenyataan mengelirukan, fakta tidak tepat boleh rosakkan akidah

ISU kalimah Allah sudah dipolitikkan dan 'dipromosikan' ke peringkat antarabangsa. Ini dilakukan Penasihat Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila beliau menyiarkan kenyataan Pertubuhan Islam Amerika Utara (Isna) dalam laman blognya.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menyokong keputusan Mahkamah Tinggi, 31 Disember lalu yang membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly. Tanpa mengetahui kandungan Perlembagaan Malaysia yang memberi kebebasan beragama kepada rakyat dan Perkara 11 (4) melarang penyebaran ajaran bukan Islam kepada orang Islam, Isna menggesa kerajaan mengiktiraf prinsip kebebasan beragama sewajarnya kepada penganut Kristian di negara ini.

Anwar juga menyiarkan kenyataan sebuah lagi NGO Amerika - Majlis Perhubungan Islam Amerika (Cair) yang memohon umat Islam negara itu mengumpul sumbangan bagi membaik pulih gereja di Malaysia yang rosak akibat vandalisme.

Sumbangan itu akan diserahkan kepada Duta Malaysia di Washington untuk disampaikan kepada gereja terbabit. Akhbar The Cambodia Daily, menyiarkan tulisan Anwar dalam ruangan pendapat dengan tajuk 'God Is God to Both Islam and Christianity' (Tuhan ialah Tuhan kepada Islam dan Kristian).

Dalam perenggan pertama beliau menulis: "We are outraged by the tragic attacks on our Christian brothers and sisters and reiterate our unequivocal condemnation of the bombing of churches in Malaysia" (Kita amat marah dengan serangan tragis yang dilakukan terhadap saudara Kristian kita dan mengulangi bahawa kita mengutuk dengan keras tindakan mengebom gereja di Malaysia)

Dalam perenggan keempat pendapatnya menyebut: "... We must remember that the God who we worship is in fact the same God, the Creator and Sustainer of the Universe" (kita harus ingat bahawa Tuhan yang kita sembah sebenarnya sama, iaitu pencipta dan pentadbir alam semesta ini". Di perenggan akhir daripada 12 perenggan pendapatnya, Anwar berkata, Pakatan Rakyat mengambil langkah menganjurkan dialog dan perbincangan di seluruh negara.

Daripada fakta berkenaan, timbul beberapa persoalan, antaranya siapa Isna? NGO itu tidak ada 'locus standi' untuk bercakap bagi mana-mana pihak termasuk orang Islam di Malaysia. Isna tidak tahu budaya, sejarah dan latar sosial rakyat negara ini. Tetapi kenapa Anwar menyiarkan kenyataan Isna? NGO itu antara organisasi yang berpengaruh dan mempromosikan toleransi beragama.

Apa pula niat Anwar menyiarkan kenyataan Cair yang menggambarkan kerosakan teruk kepada gereja terbabit? Tindakan NGO itu mahu mengutip sumbangan juga seolah-olah memperlihatkan kerajaan tidak prihatin dan memberi pembelaan saksama kepada penganut Kristian di negara. Sedangkan hakikatnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan bantuan serta-merta RM500,000 bagi membolehkan pengurusan gereja terbabit berpindah dan membina premis baru.

Turut dipersoalkan sikap dan pendirian Anwar ialah kenapa beliau menyebut istilah 'bombing' (pengeboman) sedangkan hakikatnya tidak berlaku pengeboman tetapi kejadian gereja dibakar. Di sini, beliau sudah mengelirukan atau menukar fakta 'membakar' dengan mengatakan 'pengeboman'. Fakta palsu beliau ini pasti menjadi rujukan, sekali gus penanda aras seriusnya kejadian berkenaan kepada masyarakat antarabangsa.

Anwar sekali lagi mengelirukan termasuk orang Islam bahawa 'Tuhan kita sama dengan Tuhan mereka.' Apakah falsafah dan pendirian beliau terhadap Islam. Inikah yang dikatakan beliau mendukung konsep kesamarataan, kepelbagaian dan kebebasan beragama?

Pada akhir pendapat beliau menyebut, parti dalam Pakatan Rakyat akan menganjurkan dialog dan perbincangan di seluruh negara. Kenapa penganjuran itu dilakukan di seluruh negara atas platform politik. Bukankah ini yang dikatakan mempolitikkan isu kalimah Allah. Kenapa mereka tidak sama-sama menyertai usaha kerajaan menangani isu ini supaya tindakan kerajaan juga tidak anggap sebagai usaha mempolitikkan isu sama.

Pada 5 Disember lalu di Melbourne, Anwar memberitahu majlis Parlimen Agama Sedunia bahawa Islam mesti menangani ketidakadilan dan rasuah dalam negara mereka sebelum mereka boleh menuding Barat. Beliau berkata: "How Islam treats minorities is excessive, no question � Hindus, Buddhists, Christians, Jews." Kenyataan itu sekali gus mengundang persepsi orang lain bahawa keadaan itu turut berlaku di negara ini.

Kelmarin, Anwar berada di Beirut, Lubnan bagi menghadiri persidangan bersama pemikir dan pemimpin Islam anjuran Institut Pemikiran Islam Antarabangsa (IIIT). Pada 16 Disember lalu, ia menubuhkan Majlis Sarjana di Amerika yang berfungsi memberi nasihat kepada IIIT dalam soal akademik.

Malah jika kita ingat, seorang profesor kajian Islam di Universiti Virginia Commonwealth, Amina Wadud, mengimamkan solat berjemaah lelaki dan wanita di sebuah gereja besar, New York kononnya bagi menonjolkan kewujudan status hidup kelas dua wanita dalam Islam. Tetapi itu hasil kesamarataan dan kebebasan beragama dalam konteks Islam yang dipromosikan Amerika.

Dalam semua fakta dan situasi ini, bukti Anwar mempolitikkan isu untuk menonjolkan dirinya. Selepas gagal merealisasikan cita-cita menukar kerajaan seperti yang beliau canang ke seluruh dunia pada 16 September lalu, Barat hilang keyakinan pada Anwar. Maruah dan kewibawaan beliau tercalar teruk.

Lantas beliau menukar strategi dan menggunakan platfom agama kononnya memperjuangkan kesamarataan dan kebebasan beragama untuk memulihkan sokongan Barat kepadanya.

Dalam konteks tempatan, pendirian dan suara Anwar dalam isu kalimah Allah juga dipolitikkan untuk meraih sokongan bukan Islam menjelang pilihan raya akan datang khususnya di Sabah dan Sarawak yang kian lama beliau idamkan untuk membina kekuatan di sana. Isu ini akan terus dimainkan dengan membuat kenyataan berbeza sesuai dengan khalayak di mana beliau berada.

Bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari, berkata: "Anwar ketika menjadi Menteri Pertanian pada 1984 ada menyebut terjemahan Injil dalam bahasa Melayu mempunyai niat lain yang tidak baik. Ini ada agenda tertentu untuk mengkristiankan orang Melayu. Tetapi hari ini pula (beliau memperkatakan) kebebasan beragama dan dia membenarkan perkataan Allah itu dalam terjemahan Injil. Ini sesuatu yang cukup bertentangan. Ini memang politik untuk kepentingan diri sendiri."

Oleh Kamal Ahmad
mohdkamal@bharian.com.my

2 ulasan:

Jeffry berkata...

SLM BRO..DIA TU MMG PLURISMA AGAMA. DIA BERTAUHIDKAN ISLAM LIBERAL ALA2 USA. SB TU SEME KOMEN DIA BERTUNJANGKAN PENGANUT LIBERAL. AGAMA DH JADI BAHAN KOMODITI DAHHH

Aspirasi berkata...

itulah hakikatnya... senang kata dia anut bukan amalan Islam pun.. mana ada istilah islam liberal... Islam hanya satu.. jenis manusia macam ni yang merosakkan Islam.. dahulu Rasulullah SAW sangt tegakkan Ad din dan sekarang mereka ni suka-suka saja nak longgarkan Addin sampai kalimah Allah boleh diguna untuk agama Kristian.

Kongsi Link Anda