Popular Today

Isnin, Februari 28, 2011

PRK Merlimau : PAS Sokong Dinasti DAP dan PKR


Itu namanya cakap tak serupa bikin... bikin tak serupa cakap...

DI Merlimau ketika ini Pas dikatakan tidak senang duduk. Semuanya serba tidak kena kerana tiada isu kukuh yang boleh dipolitikkan. Jenis isu mana yang mahu dikontroversikan untuk berdepan dengan BN menjadi kemelut Pas. Kalut Pas membawa kepada tindak-tanduk calonnya, Yuhaizad Abdullah yang dilihat lebih banyak berdiam diri dan kurang berinteraksi apabila ditanya media mengenai visinya untuk pengundi Merlimau.

Sebaliknya, dia hanya sekadar menyerahkan kepada kepimpinan Pas Melaka dan Pusat untuk menyusun strategi mencipta isu yang sesuai. Kerana ketiadaan isu konkrit inilah maka Ketua Dewan Pemuda Pas Melaka, Kamaruddin Sidik cuba menguji pengundi dengan mencetuskan isu 'dinasti dan legasi' yang mahu dikaitkan dengan calon Barisan Nasional (BN), Roslan Ahmad.

Meskipun pemilihan Roslan dilihat ramai pemerhati tidak bersandarkan latar belakang politik arwah bapanya, Datuk Ahmad Ithin yang meninggal dunia pada 1991 dan bapa saudaranya bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Abu Zahar Isnin yang tidak lagi mengetuai kerajaan Melaka pada 1999 lagi, Kamaruddin tetap tidak 'putus asa'.

Malah, dengan senang hati pula dan tanpa membuat 'kerja rumah', Kamaruddin mendakwa BN yang diwakili UMNO mengamalkan sistem dinasti secara turun temurun bagi jawatan pemimpin dari bapa kepada anak. Yang menjadi mangsa ialah Roslan. Soal jarak masa bapa dan bapa saudaranya tidak lagi berada dalam kerajaan negeri dengan tarikh beliau dinamakan sebagai calon BN bukan lagi persoalan.

Dakwa Kamaruddin, amalan 'dinasti' itu telah lama berlaku dalam UMNO, malah beliau mendakwa lagi kononnya 'orang ramai yang saya temuipun telah menyuarakan rasa tidak puas hati dengan perkara ini'. Benarkah?

Mungkin Kamaruddin sengaja tidak mahu menyamakan perkataan 'nepotisme' untuk 'dinasti'. Barangkali untuk mengelirukan pengundi Merlimau bahawa realiti sebenarnya ialah pihak pembangkanglah yang amat menjuarai dalam hal ini.

Kamaruddin sewajarnya melihat amalan 'dinasti' ini yang mana para pemimpin yang menerajui sesebuah parti menurunkan kuasa kepada anak beranaknya untuk jawatan tertinggi dalam DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) - sekutu utama Pas dalam pembangkang.

Cuba Kamaruddin renung-renungkan dua perkataan iaitu kronisme & nepotisme (juga dinasti) yang menjadi modal Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyerang UMNO dan BN. Sebenarnya yang kuat mengamalkan kronisme dan nepotisme adalah Anwar sendiri.

Sejak beliau memegang jawatan di dalam Kabinet sehinggalah menjadi Ketua Umum PKR, amalan itu tidak pernah lekang daripada beliau. PKR menjadi sebuah parti anak beranak dan kroni Anwar sekeluarga apabila Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menyandang jawatan Naib Presiden parti itu. Si ayah menjadi ketua umum, si ibu menjadi presiden dan si anak pula naib presiden.

Anwar bertindak ala pengurus kempen pula kepada semua calon pilihan semasa bertanding kepimpinan Pusat PKR. Beliau mahukan orangnya menguasai keseluruhan parti dari peringkat cabang sehinggalah ke peringkat pusat. Apabila Kamaruddin melabelkan UMNO sebagai parti yang mengamalkan kronisme dan nepotisme, seolah-olah dia membuka pekung sendiri.

Segala apa yang ditohmah oleh Kamaruddin terhadap Roslan di Merlimau kini kembali kepada diri Pas, partinya yang bersekutu dengan PKR yang paling ketara mengamalkan 'dinasti' dan kronisme ini.

Demikian jugalah wujud dinasti politik lain seperti gandingan pemimpin DAP, Lim Kit Siang dengan Lim Guan Eng dan isterinya Betty Chew, selain Karpal Singh dengan Gobind Singh Deo dan Jagdeep Singh Deo.

Kamaruddin sewajarnya bermuhasabah diri. Seperti mana kata Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pemilihan Roslan sebagai calon pilihan raya kecil DUN Merlimau itu dibuat berdasarkan merit.

Perhubungan dan pertalian tidak boleh diambil kira, malah tidak dapat dielakkan. Yang penting adalah penilaian pucuk pimpinan terhadap potensi Roslan.

sumber : Utusan Malaysia

Kongsi Link Anda