Rabu, Disember 17, 2014

ANWAR MINTA MOHD PUAD LOMPAT PARTI

Menerusi kenyataan saksi yang  dikemukakan hari ini, Mohd Puad berkata dua individu lagi ialah bekas setiausaha agung PKR Saifuddin Nasution yang menghubunginya ketika berada di Taiwan.

Seorang lagi ialah rakan Anwar, Dr Abdul Rahim Ghouse, yang menemuinya di Johor.

Kedua-dua kejadian itu berlaku pada September 2008.

Mohd Puad dipanggil sebagai saksi defendan dalam kes saman RM100 juta yang dikemukakan oleh Anwar terhadap Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berhubung kenyataan Anifah dalam sidang media di Washington pada Mei 2009.

Mohd Puad berkata Saifuddin telah menghubunginya semasa beliau bersama 30 anggota Parlimen BN mengadakan lawatan sambil belajar ke Taiwan, anjuran Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), beberapa hari sebelum 16 Sept 2008, iaitu tarikh yang disebut oleh Anwar untuk membentuk kerajaan baru.

Mohd Puad berkata program itu diadakan oleh BNBBC bagi mengelak percubaan ahli Parlimen pembangkang menghubungi ahli Parlimen BN supaya melompat parti.

“Pada ketika itu, sesiapa yang tidak mengikuti program tersebut ke Taiwan, mereka akan menjadi suspek atau disyaki akan melompat parti,” katanya.

Mohd Puad berkata Saifuddin turut memaklumkan bahawa Tian Chua dan Fuziah Salleh turut bersamanya di negara itu, dan mereka menginap di hotel yang sama dengan anggota Parlimen BN.

“Saya telah bertanyakan kepadanya bagaimana boleh mengetahui nombor bilik hotel penginapan saya sedangkan kami telah mengarahkan kepada pihak pengurusan hotel untuk tidak memberitahu berkenaan butiran tersebut kepada sesiapa.

“Saifuddin telah memberitahu bahawa beliau mendapatkan pertolongan daripada salah seorang Ahli Parlimen Taiwan,” katanya.

Mohd Puad berkata selepas perbualan tersebut, beliau dan ahli Parlimen yang lain bersiap sedia ke Macau untuk mengelak didekati ahli Parlimen pembangkang sebelum pulang ke Malaysia pada 18 September 2008.

Sekembalinya dari Macau, beliau pula dihubungi oleh Abdul Rahim pada 19 Sept 2008 untuk bertemu dan turut menyatakan yang “rancangan 16 Sept akan tetap berlaku beberapa minggu selepas itu atau sekitar 25 September.”

Abdul Rahim turut berkata Anwar memerlukan sekurang-kurangnya seorang ahli Parlimen Melayu dari Johor, dan bersetuju untuk menemui Abdul Rahim di gerai makan di Perhentian Batu Pahat di Jalan Omar, katanya.

Mohd Puad berkata dalam pertemuannya dengan Abdul Rahim pada 2 pagi 20 September 2008 di Batu Pahat, Abdul Rahim turut menyatakan bahawa bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak lama lagi akan hilang suara majoriti di Dewan Rakyat.

Abdul Rahim berkata “Beberapa ahli Parlimen BN telah menandatangani surat persetujuan untuk menyatakan sokongan terhadap Anwar sebagai Perdana Menteri, dan beliau difahamkan surat tersebut sebagai suatu Akuan Berkanun,” katanya.

Mohd Puad berkata Abdul Rahim juga turut menyatakan bahawa 30 orang ahli Parlimen BN akan melompat parti dan surat persetujuan tersebut akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai bukti Anwar telah mendapat suara majoriti di dalam Dewan Rakyat.

“Saya telah memberitahu bahawa saya belum bersedia untuk menandatangani Akuan Berkanun tersebut,” katanya.

Abdul Rahim kemudian telah menghubungi Anwar melalui telefon bimbitnya, dan meminta ketua pembangkang itu bercakap sendiri dengannya, kata Mohd Puad.

Beliau berkata: ” Anwar sempat menyatakan “Puad, we have enough numbers and its going to happen, but we still need a Malay MP from Johor like you to be with us.”

(Puad, kami mempunyai bilangan yang cukup dan ia akan berlaku, tapi kami perlukan seorang MP dari Johor seperti awak untuk bersama kami).

Mohd Puad berkata Anwar juga menyatakan “dengan nada yang menyakinkan bahawa empat Sultan telah bersetuju dan menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat untuk mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan Persekutuan.

Antara negeri yang disebut adalah Perlis, Perak, Terengganu dan Selangor, katanya.

“Saya telah bertanya kepada Anwar tentang bagaimana dengan agenda Melayu dan plaintif telah menjawab bahawa beliau akan melindungi agenda Melayu.

“Saya berasa gementar, dan telah menyatakan kepada Anwar bahawa saya orang Johor dan Umno telah dilahirkan di Johor,” katanya.

“Jika saya tandatangan surat tersebut, Sultan akan murka dan memerintahkan saya untuk meninggalkan Johor. Kemudiannya saya memberitahu Anwar bahawa saya hendak pulang ke rumah dan melakukan solat istikharah. Perbualan saya dan Anwar terhenti setakat itu,” katanya.

Mohd Puad berkata selepas pulang ke rumah dan solat, beliau telah mendapat petunjuk mimpi bahawa sekiranya menandatangani surat tersebut bererti beliau telah menjual negara.

Susulan itu, beliau telah menghubungi Abdul Rahim dan memberitahunya “you tell Anwar, tumbang-tumbanglah, I am prepared to be the opposition but I will not sign the letter.” (anda beritahu Anwar, tumbang-tumbanglah, saya sedia jadi pembangkang, tapi saya tidak akan tandatangani surat itu).

Mohd Puad berkata selepas kejadian itu beliau telah berlepas ke Aceh kerana tidak mahu diganggu.

Anwar telah mengemukakan saman terhadap Anifah dan kerajaan Malaysia pada 27 Mei 2009 kerana mendakwa kenyataan Anifah pada sidang media di Washington, pada 16 Mei 2009, yang turut dihadiri oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat yang ketika itu Hillary Clinton, telah mencemarkan nama baiknya.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Siti Khadijah S. Hassan Badjenid bersambung 26 Disember ini. – Bernama

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda