Popular Today

Khamis, Mei 29, 2008

Akhirnya Idris lepas jawatan Umno, BN Terengganu

Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh melepaskan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri yang disandang sejak 2004, berkuat kuasa hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih itu mengumumkan keputusan berkenaan selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen, petang semalam.

"Saya beritahu PM (Perdana Menteri), saya setuju letak jawatan Pengerusi Perhubungan dan beliau terima. Saya akan menghantar surat peletakan jawatan esok (hari ini).

"Keputusan ini dibuat bagi menghormati keputusan MT (Majlis Tertinggi Umno) berhubung isu pelantikan Menteri Besar dan menghormati kemahuan beliau. Langkah ini dapat menyelaraskan politik dan pentadbiran negeri," katanya menerusi SMS kepada media, semalam.

Idris dilantik Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu menggantikan Abdullah selepas BN menawan semula negeri itu pada Pilihan Raya Umum 2004 dengan memenangi 28 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, BN Terengganu berjaya mengekalkan majoriti dua pertiga apabila memenangi 16 kerusi DUN, tetapi Idris tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar, sebaliknya digantikan Datuk Ahmad Said yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal.

Turut meletak jawatan berkuat kuasa semalam ialah Setiausaha Badan Perhubungan Umno negeri yang juga Setiausaha BN Terengganu, Datuk Rosol Wahid.

Rosol ketika dihubungi berkata, Idris mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri kira-kira 20 minit bagi menyatakan hasrat melepaskan jawatan untuk membolehkan Umno dan BN dipimpin Ahmad.

Rosol yang juga Adun Ajil berkata, beliau dan Idris sedia berundur demi kepentingan parti kerana pembangunan negeri adalah lebih penting.

Sementara itu, Ahmad ketika ditemui di pejabatnya semalam, enggan mengulas lanjut perkara itu kerana belum diberitahu secara rasmi oleh Pejabat Umno Pusat mengenai peletakan jawatan Idris.

"Saya hanya mendapat maklumat awal. Tak apalah... saya tak mahu komen lagi setakat ini. Tidak matang jika saya beri sebarang komen tanpa ada hitam putih mengenainya. Belum keluar di akhbar lagi pun," katanya.

P.s: Nampak perkembangan politik yang lebih menarik di Terengganu dan tidak mengambil masa lama untuk membuat keputusan. Satu kapal 2 nakhoda sebenarnya bukanlah sesuatu yang baik. Apa pun yang diharap oleh rakyat segala perubahan mestilah menguntungkan rakyat.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda