Popular Today

Khamis, Mei 29, 2008

Cadang naik 100 peratus

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

KUALA LUMPUR 28 Mei - Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas Se-Malaysia (PMBOA) bercadang menaikkan tambang bas ekspres, bas henti-henti dan bas mini sehingga 100 peratus berikutan peningkatan kos operasi terutama diesel serta penyelenggaraan kenderaan.

Keputusan menaikkan tambang bas itu dicapai oleh 111 syarikat bas yang menganggotai PMBOA seperti terkandung di dalam memorandum yang diserahkan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar bertarikh 10 April lalu.

Presidennya, Datuk Mohamad Ashfar Ali berkata, pihaknya berharap kenaikan itu berlaku pada minggu depan seperti yang telah dijanjikan oleh kerajaan pada Oktober tahun lalu.

''Berdasarkan kenyataan Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) pada Oktober tahun lalu, kerajaan akan mengumumkan perkara ini pada bulan depan dan saya amat berharap kerajaan dapat menunaikan janji tersebut,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Kali terakhir tambang semua kategori bas dinaikkan ialah pada 1 Mei 2005 iaitu sebanyak 20 peratus.

Kenaikan tambang bas pernah dibangkitkan oleh PMBOA pada Januari lalu berikutan kenaikan harga diesel sebanyak 70 sen atau 79 peratus antara tahun 2005 hingga sekarang.

Mohamad Ashfar berkata, kerajaan perlu memberi perhatian serius cadangan kenaikan tersebut berikutan sebahagian besar syarikat bas kini dalam keadaan 'nazak' dan boleh gulung tikar pada bila-bila masa.

''Setakat ini kerajaan masih belum membuat apa-apa keputusan tetapi kami sebulat suara telah bersetuju supaya harga tiket dinaikkan,'' katanya.

Beliau berkata, antara struktur kadar tambang baru yang telah dipersetujui ialah bagi Semenanjung, kadar tambang bas henti-henti tanpa hawa dingin adalah RM1 untuk dua kilometer pertama atau sebahagian daripadanya berbanding 48 sen ketika ini.

''Tambahan bagi setiap kilometernya pula ialah 15 sen berbanding 7.2 sen,'' katanya.

Kata beliau, bagi bas henti-henti berhawa dingin pula, kadar tambang yang diminta ialah RM1.50 bagi dua kilometer pertama atau sebahagian daripadanya berbanding 72 sen pada masa ini.

''Manakala perjalanan tambahannya pula ialah 20 sen bagi setiap kilometer. Ketika ini kadar perjalanan tambahan yang ditetapkan bagi bas henti-henti berhawa dingin ialah 7.2 sen sekilometer,'' ujarnya.

Katanya, bagi bas ekspres berhawa dingin pula kadar tambang baru yang dituntut ialah 15 sen bagi tiap-tiap kilometer berbanding 6.5 sen ketika ini.

''Perkara yang sama juga berlaku pada bas ekspres tanpa berhawa dingin. Kita mahu kadar tambangnya dinaikkan sehingga 10 sen dan bukannya 5.5 sen sekilometer seperti sekarang.

''Kadar kenaikan tambang di Sabah dan Sarawak juga terpaksa dinaikkan sehingga 100 peratus. Pengusaha di sana turut mengalami nasib yang sama seperti rakan-rakan mereka di Semenanjung,'' katanya.

Kata Mohamad Ashfar, bagi kategori bas mini berhawa dingin, kadar baru yang dituntut ialah RM1.10 untuk satu tiket berbanding 80 sen ketika ini.

''Sementara bagi bas mini tanpa hawa dingin harga baru yang diminta ialah RM1 berbanding 70 sen pada masa ini,'' katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Ashfar berkata, antara syarikat bas yang menjadi mangsa dan terpaksa gulung tikar ialah Chin Wah Omnibus yang beroperasi di Port Dickson; Sum Omnibus (Kajang-Bangi); Penang Yellow Bus (Pulau Pinang) dan Foh Hup Omnibus (Seremban-Kajang-Kuala Lumpur).

''Syarikat lain yang terpaksa menamatkan perkhidmatan ialah Len Omnibus (Kuala Lumpur-Rawang-Tanjung Malim) dan Lian Hoe Omnibus (Muar-Batu Pahat).

''Untuk terus kekal beroperasi, syarikat-syarikat sedia ada telah mengurangkan perkhidmatan dan antara langkahnya ialah menghentikan operasi di laluan yang tidak menguntungkan,'' katanya.

Kata beliau, dalam keadaan kewangan yang semakin genting, pengusaha terpaksa mengenepikan soal tanggungjawab sosial.

''Memang berat untuk kita menamatkan perjalanan di laluan yang tidak menguntungkan khususnya di kawasan luar bandar namun begitu kita terpaksa mengambil keputusan ini kerana kita tidak ada pilihan,'' katanya.

Ditanya adakah tindakan PMBOA itu akan membebankan rakyat yang kini terpaksa berhadapan dengan kesan kenaikan harga barang, beliau berkata, terdapat dua pilihan iaitu rakyat mendapat perkhidmatan lebih berkualiti atau perkhidmatan bas terpaksa ditamatkan.

''Selain rakyat, pengusaha-pengusaha bas juga menderita dan saya percaya rakyat sedia membayar lebih asalkan mereka mendapat perkhidmatan bas berkualiti,'' katanya.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda