Popular Today

Jumaat, Oktober 23, 2009

TEKS UCAPAN BAJET 2010 OLEH PERDANA MENTERI

Ucapan Bajet 2010 Datuk Seri Najib Razak
Perdana Menteri Dan Menteri Kewangan

'1MALAYSIA, KEMAKMURAN BERSAMA'

Tuan Yang di-Pertua,

1. Saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk "Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2010 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu" dibaca bagi kali kedua.

PENDAHULUAN

2. Alhamdulillah, dipanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala kerana dengan izin dan limpah kurniaNya jua, dapat saya membentangkan Bajet 2010 di Dewan yang mulia ini. Sesungguhnya bajet ini merupakan bajet sulung saya sejak memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan.

3. Bersempena itu, suka saya memulakan bajet pertama ini dengan membacakan firman Allah SWT dalam surah Al-Zukhruf, ayat ke 32 yang bermaksud, "Adakah mereka berkuasa membahagi-bahagikan rahmat Tuhan mu wahai Muhammad? Kami telah menentukan antara mereka segala keperluan hidup di dunia ini dan Kami juga telah meninggikan darjat sesetengah mereka melebihi sesetengah yang lain, semuanya ini supaya sebahagian daripada mereka mendapat kemudahan menjalani kehidupan daripada sebahagian yang lain".

4. Jadinya, beriktibar daripada ayat tersebut, sebagai pihak pemerintah yang telah diberi amanah, Kerajaan memikul tanggungjawab besar untuk memastikan bahawa hasil negara dapat dinikmati oleh seluruh rakyat secara adil dan saksama. Tambahan pula, kita berada dalam suasana getir berikutan krisis ekonomi global yang melanda. Sehingga kini, ekonomi dan perdagangan dunia masih belum menunjukkan tanda-tanda pemulihan yang kukuh. Persekitaran ini menuntut kepada satu perancangan yang teliti sekali gus mengambil keputusan berani dan tegas dalam keadaan terbatas demi merangsang semula ekonomi negara.

5. Sekalipun Bajet 2010 ini adalah bajet terakhir untuk tempoh Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9), tetapi ianya amat penting sebagai asas pembentukan model ekonomi baru dan pembuka tirai kepada Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).

6. Kini, negara berada di kedudukan kritikal sama ada untuk terus terperangkap dalam kelompok negara berpendapatan sederhana atau memilih untuk melonjak sebagai sebuah ekonomi berpendapatan tinggi. Lantaran itu, kita perlu menjadi negara pelaku perubahan dan pencipta penyelesaian dalam mengharungi saat-saat paling mencabar iktisad global.

7. Sehubungan itu, seandainya suatu masa lalu, kita telah berjaya melakukan transformasi ekonomi berasaskan pertanian kepada perindustrian, kini, kita akan beranjak kepada satu bentuk model ekonomi baru berasaskan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi. Hanya sa-nya dengan tindakan inilah, kita akan berupaya untuk kekal relevan dalam persaingan ekonomi global.

8. Inovasi merupakan agenda utama negara. Kerajaan akan mentransformasikan Malaysia melalui proses inovasi yang menyeluruh, merangkumi inovasi tadbir urus dalam sektor awam dan swasta, inovasi dalam kemasyarakatan (societal innovation), inovasi bandar, inovasi desa, inovasi korporat, inovasi industri, inovasi pendidikan, inovasi penjagaan kesihatan, inovasi pengangkutan, inovasi jaringan keselamatan sosial dan inovasi penjenamaan. Sebahagian daripada proses inovasi ini sedang dilaksanakan melalui pelbagai prakarsa seperti Gagasan 1Malaysia, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Penunjuk Prestasi Utama (KPI), model ekonomi baru dan pewujudan PEMUDAH, PEMANDU dan NEAC. Kerajaan amat komited dan serius untuk melakukan total innovation untuk membawa negara ke tahap ekonomi yang lebih maju. Innovative Leadership for 1United, Innovative Malaysia.

Tuan Yang di-Pertua,

9. Sejak memegang teraju Kerajaan, saya telah mengambil beberapa langkah penting bagi merangsang ekonomi negara demi menjamin kesejahteraan rakyat. Antaranya adalah:

* i. Memperkenalkan Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan;
* ii. Meliberalisasikan 27 subsektor Perkhidmatan dan Kewangan;
* iii. Melaksanakan NKRA dan KPI;
* iv. Memansuhkan garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing dan menubuhkan Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS);
* v. Melaksanakan program untuk meringankan beban rakyat termasuk Program Perumahan Rakyat dan infrastruktur luar bandar; dan
* vi. Melancarkan Amanah Saham 1Malaysia untuk menggalakkan pelaburan dan meningkatkan pendapatan.


10. Merujuk Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, ianya adalah satu kesinambungan prakarsa dalam memperkukuhkan perpaduan di kalangan rakyat. Gagasan ini berteraskan kepada nilai-nilai murni berpaksikan keadilan sosial, prinsip penerimaan dan meraikan kemajmukan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Maksudnya, dalam apa jua yang dilakukan, kita perlu sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara. Oleh itu, setiap langkah diambil memerlukan pengorbanan dan kerjasama padu daripada semua lapisan masyarakat.

11. Saya juga telah mengumumkan KPI anggota pentadbiran dan perkhidmatan awam. Ini adalah langkah besar yang belum pernah diambil mana-mana negara di dunia. Ia menjadi bukti serius budaya kebertanggungjawaban dan komitmen anggota pentadbiran dan penjawat-penjawat awam dalam melunaskan urusan negara yang mementingkan kesejahteraan dan keperluan rakyat.

12. Bagi mencapai matlamat KPI dengan lebih berkesan, saya telah mengumumkan 6 NKRA iaitu mengurangkan kadar jenayah; memerangi rasuah; meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan; meningkat taraf hidup rakyat yang berpendapatan rendah; memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman; serta menambah baik pengangkutan awam.

PRESTASI EKONOMI

Tuan Yang di-Pertua,

13. Ekonomi Malaysia adalah sebuah ekonomi terbuka, di mana jumlah dagangan lebih kurang 200 peratus daripada KDNK. Oleh itu, ia terdedah kepada ketidaktentuan perdagangan luar dan aliran modal antarabangsa. Natijah daripada krisis global, eksport negara merosot dengan ketara sebanyak 23.4 peratus dalam tempoh separuh pertama tahun 2009 berbanding peningkatan 15.5 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas. Indeks pengeluaran perindustrian pula merosot kepada 12.7 peratus berbanding peningkatan 3.3 peratus. Manakala, jumlah bersih pelaburan langsung asing berkurangan kepada 3.6 bilion ringgit berbanding 19.7 bilion ringgit bagi tempoh yang sama.

14. Sebagai langkah proaktif, Kerajaan telah bertindak pantas dengan melaksanakan dua Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah 67 bilion ringgit. Pakej rangsangan ini merupakan antara yang terbesar dan komprehensif dari segi jumlah dan liputan berbanding negara lain. Pelaksanaan pakej ini nampaknya telah berjaya mengelakkan negara daripada terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi yang lebih teruk. Sehingga 16 Oktober 2009, lebih 48 ribu projek telah siap dan hampir 40 ribu projek sedang dilaksanakan. Alhamdulillah, apa yang ingin saya maklumkan di sini adalah secara keseluruhannya kesemua pelaksanaan pakej rangsangan adalah mengikut jadual seperti mana yang telah ditetapkan.

15. Selanjutnya, tanda-tanda pemulihan ekonomi telah mula dilihat melalui tindakan proaktif Kerajaan. KDNK suku kedua 2009 menguncup dengan lebih perlahan pada kadar negatif 3.9 peratus, berbanding suku pertama pada kadar negatif 6.2 peratus. Prestasi yang baik ini disokong oleh kecergasan sektor pembinaan yang berkembang 2.8 peratus pada suku kedua hasil daripada pelaksanaan projek di bawah pakej rangsangan. Selain itu, sektor pertanian dan perkhidmatan mencatat pertumbuhan 0.3 dan 1.6 peratus. Perbelanjaan penggunaan swasta pula kembali meningkat sebanyak 0.5 peratus berikutan bertambahnya keyakinan sektor isi rumah dan sentimen pasaran buruh yang lebih baik.

16. Seperti yang diunjurkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF pada 1 Oktober, ekonomi dunia tahun 2009 menguncup pada kadar yang lebih rendah iaitu negatif 1.1 peratus berbanding negatif 1.4 peratus semasa anggaran dibuat pada bulan Julai tahun ini. Bagi tahun 2010 pula, ekonomi dunia dijangka kembali berkembang kukuh pada kadar 3.1 peratus. Perdagangan dunia pula, dijangka mencatat negatif 11.9 peratus pada tahun 2009 dan kembali pulih 2.5 peratus pada tahun 2010. Mengambil kira perkembangan ekonomi dan perdagangan dunia ini, serta persekitaran ekonomi domestik yang lebih baik, KDNK negara bagi tahun 2009 diunjurkan negatif 3 peratus, lebih baik daripada anggaran awal antara negatif 4 hingga negatif 5 peratus yang diumumkan pada 28 Mei 2009.

17. Lantaran itu, berdasarkan semua yang dinyatakan tadi, moga beraraklah awan mendung dan sinar mula menampakkan wajahnya. Menjelang tahun depan, ekonomi negara dijangka kembali pulih dan cergas. Bagi tahun 2010, ekonomi negara dijangka berkembang kepada 2 hingga 3 peratus. Semua sektor ekonomi dijangka mencatat pertumbuhan positif, iaitu sektor perlombongan 1.1 peratus, pembuatan 1.7 peratus, pertanian 2.5 peratus dan pembinaan 3.2 peratus. Sektor perkhidmatan kekal menjadi penggerak utama, berkembang 3.6 peratus. Pertumbuhan ekonomi ini juga didorong oleh penggunaan swasta 2.9 peratus dan pelaburan swasta yang kembali pulih 3.4 peratus.

18. Di samping itu, peningkatan semula eksport sebanyak 3.5 peratus, dianggar turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Kadar inflasi kekal rendah antara 1.5 hingga 2.5 peratus. Kadar pengangguran rendah di bawah 4 peratus. Pendapatan per kapita rakyat meningkat 2.5 peratus kepada 24,661 ringgit. Manakala, pendapatan dari segi pariti kuasa beli meningkat kepada 13,177 dolar Amerika.

STRATEGI BAJET 2010

Tuan Yang di-Pertua,

19. Bajet 2010 akan menjadi asas kepada pembentukan model ekonomi baru dan penggubalan Rancangan Malaysia Kesepuluh. Selaras dengan Gagasan 1Malaysia, fokus Bajet kali ini akan mendahulukan kesejahteraan rakyat dan mengutamakan pencapaian matlamat NKRA. Bajet ini juga memberi penekanan kepada usaha melonjakkan peranan sektor swasta sebagai peneraju pertumbuhan ekonomi, membangunkan modal insan berkemahiran tinggi dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam. Bertemakan "1MALAYSIA, KEMAKMURAN BERSAMA" Bajet ini bertumpu kepada 3 strategi berikut:

Pertama: Memacu Negara ke Arah Ekonomi Berpendapatan Tinggi;

Kedua: Memastikan Pembangunan Holistik Dan Mapan; dan

Ketiga: Mengutamakan Kesejahteraan Rakyat.

STRATEGI PERTAMA: MEMACU NEGARA KE ARAH EKONOMI BERPENDAPATAN TINGGI

Tuan Yang di-Pertua,

20. Dalam melonjakkan negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, Kerajaan akan mengambil pendekatan baru berpaksikan inovasi, kreativiti dan nilai tambah tinggi. Langkah ini akan meningkatkan pendapatan per kapita rakyat lebih 2 kali ganda dalam tempoh 10 tahun akan datang.

MENINGKATKAN PELABURAN SWASTA

21. Seperti yang kita maklum, sektor swasta pernah menerajui pertumbuhan ekonomi. Sumbangan pelaburannya mencecah 30 peratus daripada KDNK. Namun, keadaan ini telah berubah sejak krisis kewangan Asia 1997/98. Kini, pelaburan swasta telah menyusut ketara di bawah 10 peratus daripada KDNK. Pelaburan langsung domestik berkurangan daripada 72 bilion ringgit pada tahun 1997 kepada 56 bilion ringgit pada 2008.

22. Oleh itu, sumbangan sektor swasta dalam memacu ekonomi perlu diperkasakan kembali. Bagi tujuan ini, Kerajaan akan memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan pelaburan domestik dan menggalakkan syarikat kita di luar negara membawa balik keuntungan untuk melabur semula dalam negeri. Pada masa ini, negara menghadapi persaingan sengit dari negara serantau untuk menarik pelaburan asing yang terhad. Dengan itu, langkah-langkah agresif dan inovatif akan segera diambil bagi menambat dan meningkatkan semula kemasukan pelaburan asing ke Malaysia.

Menyediakan Persekitaran Mesra Perniagaan

23. Berkait dengan persekitaran yang mesra perniagaan, Kerajaan akan menyediakan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif melalui perubahan struktur menjadi sebuah ekonomi berorientasikan pasaran. Ke arah ini, Pihak Berkuasa Tempatan hendaklah memudahkan urusan pendaftaran perniagaan dan mempercepatkan pengeluaran Perintah Pembangunan. 2 buah Mahkamah Baru Bahagian Dagang juga telah ditubuhkan oleh Kerajaan dalam usaha mempercepatkan pelupusan kes-kes dagang dan memendekkan tempoh masa penyelesaian kepada 9 bulan saja.

24. Memenuhi maksud sistem penyampaian yang efektif, individu dan syarikat kini hanya perlu menggunakan nombor rujukan tunggal. Maknanya kita tidak perlu lagi bersusah payah menghafal pelbagai nombor rujukan yang kadang-kala mengelirukan dalam urusan seharian di pejabat-pejabat Kerajaan. Perkara ini sudah dimudahkan. Bagi individu, ia dikenali sebagai MyID menggunakan nombor MyKad. Bagi syarikat, dikenali sebagai MyCoID dengan menggunakan nombor pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

25. Kedua-dua inisiatif ini telah diperkenalkan pada 1 September 2009. Pada peringkat awal, MyID digunakan di Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Imigresen, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). MyCoID pula, digunakan di LHDN, KWSP, Pembangunan Sumber Manusia Berhad dan SOCSO. Penggunaan MyID dan MyCoID ini akan diperluaskan kepada agensi Kerajaan lain secara berperingkat mulai awal tahun 2010.

Tuan Yang di-Pertua,

26. Didapati usaha gigih untuk menarik individu berbakat dan berkemahiran tinggi dari negara luar adalah kritikal. Untuk ini, Kerajaan akan mempermudah pelaksanaan program pemberian Taraf Pemastautin Tetap (PR) kepada individu berbakat dan berkemahiran tinggi bagi mempercepatkan pemindahan teknologi dan proses transformasi. Selain itu, kini ahli keluarga ekspatriat yang masih berada di bawah tanggungan akan diberi visa secara automatik dalam tempoh 14 hari sahaja. Dengan itu juga, kemudahan PR akan dipanjangkan kepada lelaki warga asing yang berkahwin dengan wanita warganegara Malaysia seperti mana yang diberikan kepada wanita warga asing.

27. Persekitaran mesra perniagaan juga menuntut bekalan elektrik berkualiti tanpa sebarang gangguan untuk menjamin kelancaran operasi perniagaan. Untuk ini, Tenaga Nasional Berhad akan membelanjakan 5 bilion ringgit bagi melaksanakan pelbagai projek penjanaan, penghantaran dan pengagihan bekalan elektrik pada tahun 2010. Ini termasuk pelaksanaan projek hidroelektrik Ulu Jelai di Pahang dan Hulu Terengganu. Manakala, Sabah Electricity Sendirian Berhad akan meningkatkan kapasiti penjanaan elektrik dan memperkukuhkan sistem penghantaran dan pengagihan di negeri Sabah. Langkah ini akan dapat mengurangkan Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem ke tahap 700 minit menjelang 2010.

Pelaksanaan Inisiatif Penswastaan

28. Dalam melaksanakan inisiatif penswastaan, Kerajaan akan mengurangkan secara beransur-ansur penglibatannya dalam aktiviti ekonomi yang bersaing dengan sektor ini. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan akan menswastakan syarikat di bawah Kementerian Kewangan dan agensi Kerajaan yang berdaya maju. Gelombang kedua penswastaan ini bermatlamat untuk membolehkan syarikat dan agensi berkenaan beroperasi dengan lebih cekap. Kesan penswastaan ini akan mengurangkan kebergantungan kewangan kepada Kerajaan.

Meningkatkan Inisiatif Projek Perkongsian Awam-Swasta (PPP)

29. Kerjasama awam-swasta akan dipergiatkan dalam usaha untuk menjadikan sektor swasta sebagai peneraju pertumbuhan ekonomi negara. Pelaksanaan projek berimpak tinggi oleh sektor swasta akan dijalankan secara kerjasama dengan Kerajaan. Dalam kerjasama ini, peranan Kerajaan adalah untuk membantu menyediakan prasarana asas agar projek-projek swasta ini berdaya maju. Antara projek yang akan dilaksanakan pada tahun 2010 adalah Pembangunan Kompleks Bersepadu Imigresen, Kastam dan Kuarantin di Bukit Kayu Hitam, pembinaan 6 buah kampus UiTM dan pembangunan Pusat MATRADE.

Mempergiatkan Kemasukan Pelaburan Asing

30. Seperti mana yang kita maklum Malaysia dihimpit persaingan yang sengit daripada negara serantau di dalam merebut pelaburan asing. Dalam keadaan ini, kita tidak boleh berpeluk tubuh dan membiarkan segala peluang berlalu begitu sahaja. Oleh yang demikian, Kerajaan telah mengambil keputusan untuk melonggarkan syarat serta memudahkan prosedur bagi syarikat asing beroperasi di Malaysia.

31. Khazanah Nasional Berhad dan Permodalan Nasional Berhad pula akan terus mempertingkatkan usaha sama dengan pelabur asing dalam bidang seperti pendidikan, pelancongan dan infrastruktur. Kerajaan akan mempergiatkan lagi kemasukan pelaburan asing dengan membenarkan pemilikan ekuiti syarikat dan penglibatan secara usaha sama dalam projek tempatan yang telah dikenal pasti.

32. Jelasnya lagi, tanpa berlengah, kita telah mengorak langkah agresif untuk menarik pelabur dari negara-negara seperti Timur Tengah, China dan India. Syukur, inisiatif ini telah mula membuahkan hasil. Baru-baru ini, sempena lawatan saya ke Arab Saudi, sebuah syarikat negara itu telah menyuntik dana sebanyak 1.5 bilion dolar Amerika. Usaha sama pelaburan berimpak tinggi ini dijayakan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB.), iaitu sebuah "Sovereign Wealth Fund" dimiliki Kerajaan Malaysia, yang turut melabur sebanyak 1 bilion dolar Amerika.

33. Sehubungan hal ini, saya sering mengingatkan kepada pihak swasta dan syarikat berkaitan Kerajaan, dalam kejayaan meraih keuntungan, hendaklah jangan di lupa kepada tanggung jawab sosial. Kembalilah berbudi kepada masyarakat. Bertolak dari situ, saya ingin mengumumkan bahawa 1MDB akan menubuhkan satu dana tanggungjawab sosial korporat atau CSR, antara tabungan yang terbesar berjumlah 100 juta ringgit sebagai permulaan untuk membiayai aktiviti kemasyarakatan.

Tuan Yang di-Pertua,

MEMPERGIAT PENYELIDIKAN, PEMBANGUNAN DAN PENGKOMERSIALAN

34. Pada masa kini, perbelanjaan ke atas aktiviti R&D adalah jauh lebih rendah, sebanyak 0.6 peratus daripada KDNK berbanding 3 peratus di Amerika Syarikat, 3.5 peratus di Republik Korea dan 2.4 peratus di Taiwan. Justeru, untuk melonjak menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, kita memerlukan asas aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan atau R&D&C yang kukuh dengan mengambil langkah-langkah berikut:

Pertama: Merasionalisasikan semua dana juga geran penyelidikan supaya lebih efektif dan mencapai sasaran yang ditetapkan;

Kedua: Menubuhkan sebuah Pusat Inovasi Negara yang dilengkapi dengan satu rangkaian Pusat Kecemerlangan Inovasi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, diselaraskan dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi;

Ketiga: Mengintegrasi aktiviti R&D dengan pendaftaran paten, hak cipta dan cap dagangan supaya proses R&D&C dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan. Kerjasama antara agensi paten dan institusi penyelidikan dapat mempercepatkan pengkomersialan hasil penyelidikan; dan

Keempat: Memberi galakan potongan cukai ke atas perbelanjaan bagi pendaftaran paten dan cap dagangan dalam negara kepada perusahaan kecil dan sederhana.

Tuan Yang di-Pertua,

MEMANFAATKAN SEPENUHNYA NICHE AREAS

35. Kita perlu mempergiatkan usaha untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi sektor di mana negara mempunyai kelebihan, terutama sektor perkhidmatan. Sehingga ini, sumbangan sektor perkhidmatan kepada KDNK ialah sebanyak 58 peratus dan masih banyak lagi ruang untuk dibangunkan. Justeru, kita perlu memberi tumpuan kepada niche areas berpotensi dan mempunyai rantaian nilai tambah tinggi serta dapat menjana pulangan yang lebih besar. Bidang tersebut termasuk pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kewangan, perbankan Islam, industri halal serta teknologi hijau.

Merancakkan Industri pelancongan

36. Industri pelancongan pula perlu dirancakkan kerana potensinya yang mempunyai nilai tambah tinggi meliputi eko-pelancongan, agro-pelancongan, edupelancongan dan pelancongan kesihatan. Meskipun dalam persekitaran ekonomi dunia yang lembap serta penularan wabak influenza A (H1N1), kunjungan pelancong kekal tinggi pada purata 2 juta sebulan. Sehingga Ogos 2009, kemasukan pelancong asing meningkat 4.4 peratus kepada 15.4 juta, berbanding 14.7 juta dalam tempoh yang sama 2008.

37. Kerana itulah Kerajaan memperuntukkan sebanyak 899 juta ringgit kepada sektor pelancongan bagi tahun 2010. Antara program utama yang akan dilaksanakan adalah:

Pertama: Menarik lebih ramai warga asing daripada United Kingdom, Jepun, Republik Korea, Timur Tengah, India dan China menyertai program Malaysia My Second Home (MM2H);

Kedua: Meningkatkan kualiti infrastruktur pelancongan di pusat pelancongan di seluruh negara seperti program pembangunan eco-tourism dan program peningkatan kemudahan homestay;

Ketiga: Memastikan tenaga kerja barisan hadapan terdiri daripada rakyat tempatan. Untuk ini, pekerja asing yang sedang bekerja di barisan hadapan akan ditamatkan perkhidmatan mereka secara berperingkat;

Keempat: Menggunakan kaedah pengiklanan di internet untuk mempromosi aktiviti pelancongan negara; dan Kelima: Mengadakan lebih banyak produk dan acara pelancongan yang lebih menarik, termasuk KL Grand Prix Fest, Pesta Air Nasional, Rain Forest EcoChallenges dan Malaysia International Golf Exhibition. Kita juga akan membuka pusat membeli-belah barangan berjenama berkonsepkan factory outlet yang berskala besar.

38. Bagi terus memajukan industri pelancongan kesihatan, Kerajaan akan menambah baik galakan cukai untuk penyedia perkhidmatan jagaan kesihatan yang memberi perkhidmatan kepada pelancong kesihatan asing. Dalam hal ini, berita baik kepada penyedia perkhidmatan jagaan kesihatan adalah pengecualian cukai pendapatan mereka ditingkatkan daripada 50 peratus nilai peningkatan pendapatan eksport kepada 100 peratus. Harapan kita, langkah ini membolehkan penyedia perkhidmatan jagaan kesihatan menawar perkhidmatan kesihatan yang berkualiti bagi menarik lebih ramai pelancong kesihatan.

Memantapkan Industri ICT

39. Dalam memantapkan bidang ICT, Kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan High Speed Broadband dengan jumlah kos sebanyak 11.3 bilion ringgit. Sejumlah 2.4 bilion ringgit datangnya daripada pihak Kerajaan dan 8.9 bilion ringgit lagi daripada Telekom Malaysia. Sebagai permulaan, perkhidmatan jalur lebar dengan kelajuan 10 megabit sesaat akan disediakan di kawasan terpilih di Kuala Lumpur dan Selangor menjelang akhir bulan Mac 2010. Seterusnya, perkhidmatan ini akan diperluaskan ke kawasan terpilih di seluruh negara dalam tempoh 2010 hingga 2012.

40. Untuk pengetahuan ramai, kadar penembusan jalur lebar terkini hanyalah 25 peratus. Ia jauh lebih rendah berbanding 95 peratus di Republik Korea, 88 peratus di Singapura, 64 peratus di Jepun dan 60 peratus di Amerika Syarikat. Melihat situasi ini, pada hemah saya, dalam era menuju negara maju, mahu tidak mahu kadar pemilikan komputer dan penembusan jalur lebar harus ditingkatkan. Barulah nanti masyarakat negara ini celik IT, setanding dengan rakyat di negara maju yang lain. Sebagai tanda galakan kepada rakyat dan komitmen yang bersungguh, Kerajaan dengan ini mencadangkan agar pembayar cukai individu diberi pelepasan cukai ke atas yuran langganan jalur lebar sehingga 500 ringgit setahun mulai tahun 2010 sehingga 2012.

41. Pada masa ini, penjawat awam dibenarkan membuat pinjaman Kerajaan untuk membeli komputer setiap 5 tahun dengan maksimum sebanyak 5 ribu ringgit. Bagi menggalakkan pemilikan komputer, syarat ini akan dilonggarkan dengan membenarkan penjawat awam membuat pinjaman setiap 3 tahun sekali.

Tuan Yang di-Pertua,

Mempergiatkan Industri Halal

42. Umat Islam di seluruh dunia kini jumlahnya melebihi 1.8 bilion. Hari demi hari permintaan untuk perkhidmatan dan produk halal menurut syariah Islam semakin meningkat hingga mencecah 2.1 trilion dolar Amerika setahun. Malah, golongan bukan Islam yang turut berminat terhadap produk halal juga semakin meningkat. Dalam konteks ini, sebagai negara Islam yang sedang berkembang maju, Malaysia sudah mula dikenali sebagai hab makanan dan produk halal. Sayugialah kita mengambil peluang untuk menjadi peneraju kepada industri ini.

Bagi memajukan lagi industri halal, Kerajaan akan:

Pertama: Menggubal Akta Halal dengan kerjasama Majlis Agama Islam negeri yang akan menjadi asas pembangunan, pengawal seliaan dan penguatkuasaan aktiviti industri halal;

Kedua: Memperbadankan Halal Industry Development Corporation (HDC) sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Agensi ini akan menyediakan satu pelan tindakan pembangunan industri halal;

Ketiga: Mempertingkatkan Pensijilan Halal oleh JAKIM melalui kerjasama dengan institusi antarabangsa untuk mendapatkan pensijilan piawaian seperti Hazard Analysis and Critical Control Point (HACCP) dan Amalan Pengilangan Terbaik (GMP). Ini membolehkan sijil Halal JAKIM mendapat pengiktirafan antarabangsa; dan

Keempat: Membangunkan sistem anti penyeludupan produk halal di 3 entry point dan 3 pelabuhan utama untuk membantu agensi seperti Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan JAKIM dalam usaha mencegah kegiatan penyeludupan dan mengurangkan risiko wabak penyakit. Untuk tujuan ini, sebanyak 24 juta ringgit akan disediakan oleh pihak Kerajaan.

Tuan Yang di-Pertua,

MEMAJUKAN SEKTOR PERTANIAN

43. Bak kata orang tua-tua, berbudi pada tanah akan tentu membawa hasilnya. Ternyata, lapangan pertanian merupakan antara sektor yang menjadi sumber penting pendapatan rakyat di luar bandar dan pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan yakin sektor ini berupaya dipertingkatkan untuk memainkan peranan yang lebih besar dalam menjana ekonomi rakyat. Oleh itu, transformasi sektor ini perlu dipergiatkan bermula daripada peringkat tanaman hingga ke pemasaran hasil pertanian. Proses ini membabitkan program menarik lebih ramai usahawan tani muda, menggalakkan amalan pertanian terbaik dan menaik taraf prasarana pertanian. Saya ingin memaklumkan di sini bahawa satu peruntukan besar sejumlah 6 bilion ringgit akan digunakan untuk sektor ini seperti berikut:

Pertama: Menaik taraf dan membaik pulih sistem infrastruktur pengairan dan saliran di dalam dan luar jelapang padi. Nikmatnya akan melimpah ruah kepada seramai 180 ribu petani dengan peruntukan sejumlah 137 juta ringgit;

Kedua: Tahun depan, sejumlah 70 juta ringgit telah diperuntukkan oleh Kerajaan bagi melaksanakan projek Empangan Paya Peda di Terengganu. Ini pastinya akan membawa kemudahan kepada ramai pesawah apabila keupayaan bekalan air Skim Pengairan Padi daerah Besut ditingkatkan;

Ketiga: Berita baik kepada industri akuakultur. Sejumlah 82 juta ringgit akan diagihkan manfaatnya kepada lebih 1,150 peserta dalam memodenkan industri akuakultur serta melaksanakan skim latihan pengusaha dan penternak akuakultur. Penumpuan akan diberikan kepada pembenihan perikanan dan pembangunan ikan hiasan;

Keempat: Tidak lupa kepada industri tanaman makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran, perladangan organik, herba, rumpai laut dan sarang burung walit, Kerajaan telah bersetuju memperuntukkan sebanyak 149 juta ringgit;

Kelima: Untuk membangunkan prasarana keperluan asas ladang ternakan dan mewujudkan rantaian bekalan dalam industri pengeluaran daging lembu dan kambing, peruntukan sejumlah 58 juta ringgit telah dikhaskan; dan

Keenam: Kita akan melaksanakan program inkubator untuk melatih dan membimbing belia serta graduan menjadi usahawan tani berjaya. Program ini akan dijalankan secara kerjasama di antara Kementerian Pertanian, Industri dan Asas Tani, Kementerian Belia dan Sukan, Universiti Putra Malaysia, AgroBank dan Wilayah Pembangunan Koridor.

44. Sejajar dengan matlamat ini, saya gembira dengan agenda FELDA untuk menjadi gedung makanan negara yang mampu mengeluarkan hasil tanaman berskala besar. Kawasan tanah lapang di penempatan FELDA akan ditanam dengan tanaman seperti cili, terung, bunga kantan dan pisang. FAMA akan membantu memasarkan hasil tanaman tersebut. Selain itu, pada 23 Ogos yang lalu, saya telah menyarankan FELDA, FELCRA dan RISDA bekerjasama mewujudkan satu konsortium bagi melaksanakan pelbagai projek industri hiliran dan huluan berimpak tinggi.

45. Sukacita ingin saya umumkan, bahawa konsortium usaha sama ini akan ditubuhkan pada akhir tahun 2009 dengan modal berbayar sebanyak 300 juta ringgit, iaitu 100 juta ringgit daripada setiap agensi tersebut. Konsortium ini akan terbabit dalam perkongsian teknologi, pengurusan perladangan, kerjasama perniagaan termasuk aktiviti pembekalan dan pemprosesan keluaran pertanian.

46. Manakala, bagi memastikan hasil pertanian negara dapat dipasarkan ke luar negara dengan lebih cekap dan cepat, usaha penambahbaikan kemudahan kargo perlu dipertingkatkan. Untuk ini, MASkargo akan meningkatkan kapasiti kemudahan kargo udara bagi pengedaran hasil pertanian yang mudah rosak untuk dieksport. Langkah ini akan dapat membantu pengusaha untuk mengeksport lebih banyak hasil pertanian.

Tuan Yang di-Pertua,

47. Sebagai sebuah pentadbiran yang mendahulukan rakyat, segala sumpah janji dan khidmat diabdikan tidak lain tidak bukan, adalah untuk melihat kesejahteraan serta kemakmuran dinikmati semua pihak tanpa sebarang pengecualian. Saya sentiasa mahukan pentadbiran Kerajaan ini prihatin terhadap keluh kesah dan rintihan golongan seperti petani dan nelayan. Kita faham akan jerih payah mereka menongkah arus kehidupan, memugar tanah dan bergelut dengan badai demi mencari rezeki. Jadinya, untuk membela untung nasib golongan ini, sukacita diumumkan di sini bahawa Kerajaan akan menyediakan subsidi, insentif dan bantuan berjumlah hampir 2 bilion ringgit.

48. Antara subsidi dan insentif yang disediakan pada tahun 2010 adalah subsidi harga padi lebih 400 juta ringgit, subsidi baja padi hampir 300 juta ringgit. Manakala insentif peningkatan, pengeluaran hasil padi dan subsidi beras membabitkan hampir 220 juta ringgit. Selain itu elaun sara hidup nelayan dan insentif mendapat peruntukan 170 juta ringgit. Inilah buktinya bahawa Kerajaan bukan sekadar membuat omongan dan janji-janji kosong. Kita telah merencana yang terbaik untuk rakyat, kita telah mendahulu dan mempertamakan kehendak rakyat, hakikatnya kita sedang mengota apa yang dijanjikan, bahkan, akan berusaha membuat lebih daripada ini sebagai sebuah Kerajaan yang menjuarai kebajikan serta periuk nasi rakyat.

Tuan Yang di-Pertua,

MENGGALAKKAN INDUSTRI PEMBINAAN

49. Jika ditinjau secara keseluruhannya, industri pembinaan telah mencatat pertumbuhan positif dicelah-celah persekitaran ekonomi yang sukar. Tampaknya, sektor ini berupaya untuk diperkembangkan lagi dengan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan Kerajaan. Sememangnya langkah ini turut mencergaskan industri berkaitan bahan binaan dan merancakkan sektor perkhidmatan. Bagi tahun 2010, saya ingin mengumumkan bahawa peruntukan lebih 9 bilion ringgit disediakan untuk membiayai projek infrastruktur termasuk:

Pertama: 4.7 bilion ringgit untuk projek jalan dan jambatan. 2.6 bilion ringgit untuk bekalan air dan perkhidmatan pembetungan; dan

Kedua: Menyediakan 899 juta ringgit untuk kemudahan rel, 820 juta ringgit untuk pelabuhan dan perkhidmatan laut dan bakinya sebanyak 276 juta ringgit untuk projek lapangan terbang.

MEMPERKASA PERUSAHAAN KECIL DAN SEDERHANA

50. Di sudut yang lain, seperti yang sering saya nyatakan, Kerajaan ini bukan lah sekadar menumpu kepada inisiatif niaga besar-besaran atau projek mega saja. Dalam nafas yang sama adalah menjadi tanggung jawab Kerajaan untuk terus memperkasa perusahaan kecil dan sederhana atau PKS. Pada masa ini, terdapat 79 bentuk dana pinjaman dan geran PKS berjumlah 8.8 bilion ringgit yang dikendalikan oleh pelbagai agensi. Bagi memudahkan akses pembiayaan PKS, ia sedang diperkemaskan kepada hanya 33 jenis dana yang akan diselaraskan oleh SME Corp.

51. Kerajaan juga memperuntukkan sebanyak 350 juta ringgit kepada SME Corp. di mana 200 juta ringgit untuk skim pinjaman mudah PKS dan 100 juta ringgit untuk skim peningkatan dan keupayaan PKS dan bakinya untuk program penjenamaan dan promosi PKS. Kadar faedah bagi pinjaman mudah yang ditawarkan oleh SME Corp. akan diselaraskan supaya sama dengan kadar yang dikenakan oleh Institusi Kewangan Pembangunan.

52. Selain itu, terdapat 6 tabung PKS yang dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia berjumlah 13.4 bilion ringgit. Tabung ini telah memberi manfaat kepada 46 ribu PKS dengan nilai pembiayaan 20 bilion ringgit. Dalam hal ini, pihak Kerajaan telah menerima maklum balas dan sedar tentang rungutan ramai berkaitan betapa susah dan lecehnya untuk mendapatkan pinjaman seperti ini. Lantas, demi memastikan dana ini disalurkan dengan cepat dan mudah, Kerajaan memutuskan bahawa institusi kewangan hendaklah meluluskan pembiayaan mikro dalam purata 6 hari, manakala tempoh pengeluarannya pula dalam purata 4 hari saja.

53. Kerajaan juga memperuntukkan 538 juta ringgit bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan PKS. Ini termasuk:

Pertama: Peruntukan sebanyak 281 juta ringgit kepada Perbadanan Negeri;

Kedua: Peruntukan 200 juta ringgit kepada Tabung Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN). Ini termasuk 20 juta ringgit disediakan kepada usahawan kecil kaum India yang merupakan tambahan kepada peruntukan sedia ada 15 juta ringgit. Untuk meningkatkan kecekapan pengurusan TEKUN, proses pembiayaan dan bayaran balik pinjaman akan di struktur semula supaya lebih berkesan dan hasilnya boleh dinikmati oleh lebih ramai usahawan kecil; dan

Ketiga: Peruntukan 57 juta ringgit untuk pembelian ruang niaga, penyediaan infrastruktur luar kawasan perindustrian dan Skim Kilang Bimbingan menerusi SME Bank.

Tuan Yang di-Pertua,

MEMBANGUNKAN TEKNOLOGI HIJAU

54. Teknologi hijau, yang menjangkau pelbagai bidang, berpotensi menjadi sektor penting dalam pembangunan ekonomi. Ke arah ini, Kerajaan telah melancarkan Dasar Teknologi Hijau Negara pada bulan Ogos yang lalu. Dasar ini bertujuan menyediakan hala tuju pengurusan alam sekitar yang mapan. Untuk menggalakkan lagi pembangunan aktiviti teknologi hijau, Kerajaan akan:

Pertama: Menstruktur semula Pusat Tenaga Malaysia sebagai Pusat Teknologi Hijau Negara dengan tanggungjawab untuk menyediakan pelan tindakan pembangunan teknologi hijau. Pusat ini berperanan sebagai focal point untuk menetapkan piawaian dan mempromosi teknologi hijau. Untuk memperhebatkan aktiviti kesedaran mengenai betapa perlunya menghijau persekitaran dan mengamalkan budaya hidup yang mesra alam, peruntukan sebanyak 20 juta ringgit akan disediakan;

Kedua: Menganjurkan pameran antarabangsa tentang teknologi hijau pada April 2010. Pameran ini dijangka dapat menarik syarikat terkemuka dunia dan pakar dalam bidang teknologi hijau;

Ketiga: Menjadikan Putrajaya dan Cyberjaya sebagai Bandar Teknologi Hijau yang akan menjadi pelopor kepada pembangunan bandar lain; dan

Keempat: Memberi keutamaan kepada barangan dan perkhidmatan yang mesra alam sekitar dan mematuhi standard produk teknologi hijau dalam perolehan Kerajaan.

55. Seterusnya, bagi memajukan pembekalan dan penggunaan teknologi hijau, Kerajaan akan mewujudkan satu dana berjumlah 1.5 bilion ringgit. Dana ini membolehkan syarikat pengeluar dan syarikat pengguna teknologi hijau membuat pinjaman mudah untuk membiayai aktiviti mereka. Bagi syarikat pengeluar, pinjaman maksimum yang boleh dibuat adalah 50 juta ringgit dan syarikat pengguna 10 juta ringgit. Sebagai tanda komitmen, Kerajaan akan menanggung 2 peratus daripada jumlah kadar faedah dengan nisbah jaminan Kerajaan 60 peratus dan institusi perbankan 40 peratus. Permohonan pinjaman boleh dibuat melalui Pusat Teknologi Hijau Negara. Skim ini dijangka akan memberi faedah kepada lebih 140 buah syarikat dan dimulakan pada 1 Januari 2010.

Menggalakkan Pembinaan Bangunan Hijau

56. Bagi tujuan meluaskan penggunaan teknologi hijau lagi, Kerajaan telah melancarkan Green Building Index (GBI) pada 21 Mei 2009. GBI adalah satu indeks penarafan hijau ke atas bangunan mesra alam. Didapati, bangunan hijau dapat menjimatkan kos utiliti dan memelihara kualiti alam sekitar. Kerana itulah Kerajaan menggalakkan teknologi hijau dan mencadangkan agar:

Pertama: Pemilik bangunan yang telah memperoleh Sijil GBI mulai 24 Oktober 2009 hingga 31 Disember 2014 diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan perbelanjaan modal tambahan bagi memperoleh Sijil berkenaan; dan

Kedua: Pembeli yang membeli bangunan dan rumah kediaman yang telah memperoleh Sijil GBI daripada pemaju hartanah diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik. Amaun pengecualian adalah bersamaan dengan kos tambahan bagi memperoleh sijil berkenaan. Pengecualian ini adalah layak bagi pembeli yang menyempurnakan perjanjian jual beli mulai 24 Oktober 2009 hingga 31 Disember 2014.

Tuan Yang di-Pertua,

MENGGALAKKAN INDUSTRI KREATIF

57. Dalam memacu negara ke kemuncak kemajuan, kreativiti dan daya pemikiran di luar kotak perlu dicambah dan dirangsangkan. Lantaran itu, industri kreatif wajar dimajukan lagi untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Industri ini meliputi seni persembahan dan muzik, reka bentuk, animasi, pengiklanan dan pembangunan kandungan. Bagi menyelaras perkembangan pelbagai segmen dalam industri ini, Kerajaan akan:

Pertama: Menggubal Dasar Industri Kreatif yang komprehensif sebagai asas pembangunan industri kreatif negara;

Kedua: Menyediakan Dana Industri Kreatif berjumlah 200 juta ringgit bagi membiayai aktiviti seperti pengeluaran filem dan drama, muzik, animasi, pengiklanan dan pembangunan kandungan tempatan. Dana berbentuk pinjaman dengan kadar faedah rendah akan dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional. Yang mustahaknya, urusan mendapatkan pinjaman ini akan dipermudahkan supaya boleh dimanfaatkan oleh industri; dan

Ketiga: Kepada para penggiat seni, mereka tidak sekali-kali diabaikan. Kerajaan akan menubuhkan Tabung Kebajikan Penggiat Seni bagi memastikan kebajikan warga seni sentiasa terbela dan diberi perhatian. Dengan ini, sejumlah 3 juta ringgit akan diperuntukkan sebagai geran pelancaran.

STRATEGI KEDUA: MEMASTIKAN PEMBANGUNAN HOLISTIK DAN MAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

58. Untuk membolehkan negara menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, pembangunan secara tuntas dan mapan perlu diberi penekanan. Pembangunan setiap bidang ekonomi memerlukan modal insan berkualiti tinggi dengan kemahiran yang bersesuaian. Kita juga perlu memastikan pembangunan seimbang supaya dapat merapatkan jurang di antara bandar dan luar bandar.

Selain itu, kemajuan yang ingin dicapai memerlukan asas sistem kewangan dan perbankan yang kukuh. Pengurusan Kerajaan yang cekap dan profesional serta berintegriti dengan nilai-nilai positif juga penting untuk mencapai matlamat pembangunan negara.

MENINGKATKAN MODAL INSAN BERKEMAHIRAN TINGGI

59. Modal insan berkualiti tinggi merupakan prasyarat utama untuk menyokong agenda pembangunan negara. Oleh itu, Kerajaan akan memastikan pembangunan modal insan dilaksanakan secara komprehensif, meliputi usaha meningkatkan kemahiran dan pengetahuan. Selain itu, langkah akan diambil untuk membentuk individu berintelek dalam bidang sains dan teknologi, menggilap keupayaan keusahawanan serta memupuk nilai-nilai positif dan progresif.

Meluaskan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti Dan Berkemampuan

60. Selaras dengan matlamat untuk membangunkan modal insan yang berkualiti tinggi, Kerajaan memperuntukkan lebih 30 bilion ringgit kepada pendidikan rendah dan menengah, yang akan memberi manfaat kepada 5.5 juta pelajar di seluruh negara. Peruntukan ini termasuk bayaran emolumen operasi pendidikan sebanyak 19 bilion ringgit serta 2.8 bilion ringgit untuk program bantuan pelajar dan biasiswa. Sejumlah 1.6 bilion ringgit disediakan bagi pembinaan 80 buah sekolah baru serta 1,100 buah blok tambahan dan 347 projek gantian sekolah. Peruntukan ini adalah untuk pembinaan Sekolah Kebangsaan Rendah dan Menengah, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil serta Sekolah Mubaligh (mission school). Di samping itu, sebanyak 1.1 bilion ringgit disediakan bagi mengubahsuai dan menaik taraf, termasuk sekolah di seluruh negara, terutama di Sabah dan Sarawak.

61. Selanjutnya Kerajaan telah mengumumkan NKRA bagi meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Ia bertujuan supaya setiap rakyat menikmati pendidikan terbaik bermula daripada peringkat asas hingga ke tahap tertinggi. Untuk ini, 4 komponen kecil NKRA akan diberi tumpuan.

Pertama: Memantapkan pendidikan prasekolah

62. Kata orang tua-tua, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tiap kanak-kanak itu adalah bersih dan jernih seperti kain yang putih. Makanya, menyedari peri pentingnya asuhan di peringkat umur yang sementah ini, Kerajaan, akan menjadikan pendidikan prasekolah sebagai sebahagian daripada arus perdana sistem pendidikan kebangsaan. Sehingga kini, kadar penyertaan kanak-kanak lingkungan umur 5 dan 6 tahun dalam prasekolah Kerajaan dan swasta adalah 67 peratus. Kerajaan berhasrat untuk meningkatkan kadar penyertaan kepada 87 peratus menjelang 2012.

63. Bagi mencapai sasaran ini, semua kemudahan dan kurikulum prasekolah di bawah KEMAS dan agensi lain akan diubahsuai, selaras dengan dasar dan piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran. Prasekolah yang dikendalikan oleh pihak swasta juga diberi peluang untuk menyertai inisiatif ini.

Selain itu, Kerajaan akan mewujudkan kemudahan prasekolah berpusat menggunakan premis sekolah sedia ada dan memberi latihan serta kursus kepada guru prasekolah sama ada Kerajaan mahupun swasta. Untuk ini, peruntukan sebanyak 48 juta ringgit akan disediakan bagi tahun 2010.

Kedua: Meningkatkan kadar literasi dan numerasi;

Tuan Yang di-Pertua,

64. Tiada gunanya kita bercakap tentang kemajuan seandai dan sekiranya masih kedapatan golongan yang tercicir hatta tidak boleh membaca dan mengira.

Sedangkan ilmu itu adalah penyuluh dan pelita. Menurut maklumat, pada masa ini, terdapat sebilangan daripada kalangan murid normal sekolah rendah yang masih belum dapat menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi. Oleh yang demikian, Kerajaan bertekad untuk memastikan semua murid normal dapat menguasai asas literasi dan numerasi selepas 3 tahun mereka bersekolah. Antara program yang akan dilaksanakan termasuk menyediakan modul khas untuk murid dan guru, menyaring murid mengikut keupayaan serta menyediakan program latihan khas untuk guru. Langkah ini akan mula dilaksanakan pada tahun 2010, melibatkan semua murid tahun satu dengan peruntukan sebanyak 32 juta ringgit.

Ketiga: Mewujudkan sekolah berprestasi tinggi

65. Di peringkat lain, kita perlu memperbaiki kualiti pendidikan dan memberi autonomi kepada pengurusan sekolah supaya dapat menghasilkan pelajar yang cemerlang. Untuk tujuan ini, Kerajaan akan mengklasifikasikan sekolah yang dikenal pasti sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Prinsip asas SBT akan menumpukan kepada kecemerlangan akademik dan pencapaian keseluruhan pelajar termasuk disiplin dan kebersihan, aktiviti kokurikulum dan penguasaan bidang keutamaan sekolah. Kerajaan mensasarkan 20 buah sekolah di beri pengiktirafan SBT pada tahun 2010 dengan peruntukan tambahan sebanyak 20 juta ringgit.

Keempat: Mengiktiraf Pengetua dan Guru Besar Sekolah

66. Kerajaan akan memastikan sekolah ditadbir secara profesional oleh Pengetua dan Guru Besar serta pasukan pengurusan mereka. Bagi sekolah yang menunjukkan prestasi cemerlang, Kerajaan akan memperkenalkan New Deal atau Bai'ah Baru bagi menghargai jasa dan prestasi para Pengetua serta Guru Besar.

Kerajaan akan menentukan sasaran prestasi yang perlu dicapai oleh Pengetua dan Guru Besar yang dipersetujui bersama. Sekiranya sasaran tersebut dicapai, ganjaran berbentuk insentif kewangan dan bukan kewangan serta autonomi dalam mentadbir sekolah akan diberikan. Namun, bagi mereka yang tidak mencapai sasaran selama 2 tahun berturut-turut, tidaklah pula terlepas daripada pemerhatian pihak Kerajaan. Tentunya tindakan yang bersesuaian akan diambil.

Kesemuanya ini dilakukan atas prinsip kebertanggungjawaban untuk melahirkan generasi hari muka yang cemerlang.

Menjaga Kebajikan Golongan Pelajar

67. Selain itu sebagai galakan, Kerajaan berhasrat memberi ganjaran kepada pelajar yang cemerlang dalam pendidikan. Untuk ini, Kerajaan akan:

Pertama: Menganugerahkan Biasiswa Nasional kepada 30 pelajar terbaik di kalangan yang terbaik atau crème de la crème berasaskan kepada merit sepenuhnya. Penyandang Biasiswa Nasional ini akan melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia;

Kedua: Menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar yang berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama atau setaraf dengannya bermula tahun 2010;

Ketiga: Kerajaan prihatin terhadap kebajikan golongan pelajar terutamanya mereka yang datang daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah. Untuk itu kita akan memberi diskaun tambang 50 peratus bagi perkhidmatan kereta api KTMB jarak jauh kepada pelajar berumur 13 tahun sehingga mereka masih bertaraf pelajar. Kad diskaun pelajar 1Malaysia percuma boleh diperoleh dari KTMB.

Diskaun tambang ini bermula 1 Januari 2010; dan

Keempat: Menawarkan pakej netbook, termasuk perkhidmatan broadband percuma, kepada pelajar universiti dengan bayaran 50 ringgit sebulan untuk tempoh 2 tahun. Pakej ini adalah jauh lebih murah daripada harga semasa di pasaran dengan prioriti diberikan kepada pelajar tahun pertama dan dari keluarga berpendapatan rendah.

Sebagai permulaan, pakej ini akan ditawar oleh Telekom Malaysia kepada 100 ribu pelajar di semua universiti tempatan bermula 1 Januari 2010.

Menggilap Kemahiran Tenaga Kerja

68. Usaha berterusan akan diambil untuk melatih dan menggilap tenaga kerja supaya menepati keperluan pasaran. Kualiti tenaga kerja akan dipertingkatkan dengan pendidikan dan latihan yang bersesuaian. Bagi tujuan ini, Kerajaan akan:

Pertama: Menyediakan 1.3 bilion ringgit bagi membiayai pengurusan dan menaik taraf politeknik dan kolej komuniti serta menyediakan peruntukan kepada tabung pinjaman pelajaran untuk 32 ribu pelajarnya;

Kedua: Memperuntukkan 504 juta ringgit bagi membina dan menaik taraf serta menyelenggarakan peralatan di Institut Latihan Perindustrian dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi;

Ketiga: Menyediakan 438 juta ringgit kepada Institut Kemahiran MARA dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA serta Institut Kemahiran Belia Negara

juga Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara untuk tujuan pengurusan latihan termasuklah menaik taraf institusi;

Keempat: Menyediakan 110 juta ringgit kepada pusat latihan kemahiran negeri dan institusi latihan terpilih bagi menjalankan program latihan industri, terutamanya dalam bidang teknikal, hospitaliti, kulinari serta perabot; dan

Kelima: Mengiktiraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 4 dan ke atas supaya setaraf dengan aliran akademik. Dengan pengiktirafan ini, pemegang SKM tahap 4 layak memohon untuk berkhidmat di sektor awam, manakala bagi mereka yang berkhidmat di sektor swasta dapat menikmati gaji setaraf dengan pemegang sijil diploma.

Tuan Yang di-Pertua,

Mempergiatkan Program PERMATA

69. Setiap anak itu adalah permata. Merekalah pelaburan terbaik kita sebagai pewaris masa mendatang. Justeru, program PERMATA memberi penekanan terhadap kaedah pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak secara bersepadu dan terancang. Program ini menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berilmu dan berprestasi tinggi. Sehingga kini, program PERMATA diperkenalkan kepada 457 pusat asuhan dan telah berjaya mendidik seramai 17,565 kanak-kanak. Untuk terus memperkasakan program ini, Kerajaan akan memperuntukkan 100 juta ringgit bagi perlaksanaan programnya seperti berikut:

Pertama: PERMATA Negara melibatkan program asuhan dan didikan awal kanak-kanak sebelum mencapai umur 5 tahun. Satu garis panduan akan disediakan untuk menyelaras kurikulum, latihan dan kelayakan tenaga pendidik di semua taman asuhan kanak-kanak;

Kedua: PERMATA Seni membabitkan latihan pelajar yang pintar dan berbakat dalam bidang seni. Program ini akan dilaksanakan oleh Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi;

Ketiga: PERMATA Pintar bertujuan membimbing pelajar yang mempunyai tahap kepintaran yang luar biasa untuk menjadi lebih cemerlang.

Program ini akan dilaksanakan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama University of Johns Hopkins, Amerika Syarikat. Pengambilan kumpulan pertama akan dibuat pada 2011;

dan

Keempat: PERMATA Insan adalah bertujuan melatih pelajar supaya memahami, mendalami dan mengaplikasikan ilmu yang berteraskan Al-Quran. Program ini akan dikendalikan oleh Universiti Sains Islam Malaysia bagi pelajar berumur 9 hingga 12 tahun.

70. Selain itu, PERMATA akan turut melaksanakan program Perkasa Remaja untuk melatih dan membimbing remaja berumur 18 hingga 25 tahun bagi mengelakkan mereka terlibat dalam gejala sosial. Program ini yang dikendalikan oleh UKM akan membolehkan belia dibentuk menjadi lebih bertanggungjawab serta berguna kepada masyarakat dan negara.

Memperkasa Institusi Pengajian Tinggi Awam

71. Dalam usaha Kerajaan memperkasakan IPTA supaya lebih berdaya saing dan dapat meningkatkan ranking mereka berbanding universiti lain di dunia, maka Kerajaan akan menimbangkan untuk memberi lebih autonomi dalam pengurusan kewangan, sumber manusia, pentadbiran, kemasukan pelajar dan penjanaan pendapatan. Dengan autonomi yang bertambah ini, IPTA, misalnya akan dibenarkan untuk menjana hasil pendapatan melalui penubuhan anak syarikat.

72. Bagi mencapai objektif ini, Kerajaan sedia mempertimbangkan kelonggaran peraturan dan syarat yang menyekat IPTA menjana pendapatannya sendiri.

Langkah ini akan mengurangkan kebergantungan kewangan IPTA kepada Kerajaan. Walau bagaimanapun, Kerajaan akan memastikan bahawa usaha menjana pendapatan sendiri tidak akan menjejaskan fungsi teras IPTA sebagai gedung ilmu untuk melahirkan modal insan yang berkualiti demi pembangunan ekonomi negara.

MEMANTAPKAN SISTEM PERBANKAN DAN KEWANGAN

73. Satu lagi sektor yang diberi penekanan oleh Kerajaan adalah, perbankan dan kewangan. Sesungguhnya sistem perbankan dan kewangan yang kukuh dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Industri insurans, sebagai salah satu cabang dalam sektor ini, akan diperkemaskan supaya memenuhi kehendak pasaran. Selain itu, langkah liberalisasi dan pemodenan pasaran modal akan terus dilaksanakan untuk sentiasa mencergaskan aktiviti pasaran saham.

74. Pada masa ini, struktur skim insurans motor tidak begitu fleksibel kerana tidak mengambil kira kos perniagaan dan kadar tuntutan yang kian meningkat.

Untuk memastikan rakyat terus mendapat akses kepada perlindungan insurans motor, satu skim insurans dan takaful asas akan ditawarkan. Premium skim perlindungan insurans akan ditetapkan pada kadar yang berpatutan dan tidak membebankan rakyat serta berpadanan dengan tahap perlindungan. Skim ini akan memberi perlindungan insurans asas mandatori bagi kecederaan kepada anggota badan dan kematian pihak ketiga serta membolehkan pihak yang menuntut untuk mendapatkan pampasan pada kadar segera. Skim ini dijangka diperkenalkan pada pertengahan tahun 2010.

75. Golongan berpendapatan rendah pula, yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan sering menghadapi masalah kewangan apabila berlaku perkara di luar jangkaan, seperti kemalangan, kebakaran dan kehilangan harta benda. Bagi memastikan golongan ini menikmati jaminan kewangan yang lebih baik, perlindungan insurans dan takaful mikro akan diperluaskan. Dengan bayaran premium serendah 20 ringgit sebulan, peniaga kecil-kecilan ini boleh mendapat manfaat perlindungan dalam lingkungan 10 ribu ringgit hingga 20 ribu ringgit.

Kerajaan menyokong inisiatif industri insurans dan takaful dalam membangunkan produk kewangan bagi memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah.

Usaha ini juga akan membantu meningkatkan kadar pemilikan perlindungan kewangan di kalangan rakyat Malaysia.

76. Mutakhir ini kegiatan pemberi pinjaman wang yang tidak mematuhi undang-undang dan membebankan peminjam, terutamanya kegiatan pemberi pinjaman tidak berlesen atau 'ah long' semakin menjadi-jadi. Kerajaan memandang serius akan hal ini dan akan bersikap tegas terhadapnya. Kejadian mangsa pinjaman ah long diperlakukan tanpa perikemanusiaan, sama sekali tidak boleh diterima. Untuk membendung kegiatan seperti ini, Kerajaan akan mengguna pakai Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 bagi mendakwa mereka yang terlibat. Kerajaan akan mengkaji semula Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 bagi memperkemaskan keberkesanannya dan penguatkuasaan ke atas pemberi pinjaman wang berlesen.

Tuan Yang di-Pertua,

Mencergaskan Pasaran Saham

77. Struktur pasaran saham akan diliberalkan lagi untuk meningkatkan kecekapan serta menarik aktiviti pelaburan dalam dan luar negara. Bagi tujuan ini, Kerajaan akan melaksanakan langkah berikut:

Pertama: Meliberalisasikan struktur perkongsian komisen antara broker saham dan remisier dalam dua peringkat untuk menggalakkan penyertaan pelabur runcit dalam pasaran saham. Pada peringkat pertama, berkuat kuasa serta merta, kadar perkongsian komisen dilonggarkan dengan kadar minimum 40 peratus bagi remisier. Di peringkat kedua, perkongsian komisen ini akan diliberalisasikan sepenuhnya mulai 1 Januari 2011;

Kedua: Membenarkan penyertaan 100 peratus ekuiti asing dalam syarikat kewangan korporat dan syarikat perancangan kewangan, berbanding syarat sedia ada yang memerlukan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti tempatan; dan

Ketiga: Menghendaki semua syarikat awam tersenarai untuk menawarkan e-Dividen kepada pemegang saham dalam usaha meningkatkan sistem pembayaran yang lebih cekap. Begitu juga, syarikat pembrokeran saham akan menyediakan pilihan e-Payment kepada pelanggan untuk menerima dan membuat bayaran.

Memajukan Lagi Sistem Kewangan Islam

78. Sememangnya sejak awal 80-an, Malaysia telah menjadi pelopor penting dalam pembangunan sistem kewangan Islam. Kita telah maju setapak demi setapak sebagai pelaku utama bukan sahaja di rantau ini bahkan di seantero dunia. Nilai aset perbankan Islam kini mencecah 18.8 peratus daripada keseluruhan aset industri perbankan Malaysia. Manakala, aset industri takaful menyumbang 7.7 peratus daripada jumlah aset industri insurans dan takaful. Kita berbangga dengan pencapaian Malaysia di bidang ini kerana Malaysia mampu menerbitkan jumlah sukuk terbesar di dunia. Ia melibatkan 94.7 bilion dolar Amerika, iaitu 62 peratus daripada keseluruhan sukuk dunia pada tahun 2008.

Atas perkembangan dan pencapaian seperti ini, bagi memastikan perkhidmatan kewangan khususnya kewangan Islam berkembang pesat, Kerajaan mencadangkan galakan cukai sedia ada dilanjutkan sehingga tahun 2015 manakala skop galakan diperluaskan seperti berikut:

Pertama: Pengecualian duti setem 20 peratus ke atas surat cara pembiayaan kewangan Islam;

Kedua: Pengecualian cukai ke atas keuntungan bank daripada operasi luar negara. Pengecualian ini juga diperluaskan kepada keuntungan syarikat insurans dan takaful daripada operasi luar negara;

Ketiga: Memberi potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan mempromosi Malaysia sebagai Pusat Kewangan Islam Antarabangsa;

Keempat: Meluluskan potongan ke atas perbelanjaan penubuhan syarikat broker saham Islam;

Kelima : Bersetuju ke atas potongan perbelanjaan penerbitan sekuriti Islam yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti. Galakan cukai ini juga diperluaskan kepada perbelanjaan penerbitan sekuriti Islam yang diluluskan oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (LOFSA);

Keenam: Layanan cukai bagi Special Purpose Vehicle (SPV) yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 diperluaskan kepada SPV yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat Luar Pesisir 1990 yang memilih untuk dicukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967; dan

Ketujuh: Memberi pengecualian cukai ke atas keuntungan daripada sukuk bukan Ringgit berasal dari Malaysia yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti diperluaskan kepada keuntungan daripada sukuk bukan Ringgit berasal dari Malaysia yang diluluskan oleh LOFSA.

Program Mikro Kredit Ar-Rahnu

79. Program mikro kredit Ar-Rahnu merupakan satu instrumen penting dalam membantu golongan yang tidak layak mendapat pembiayaan dari institusi kewangan memperoleh modal perniagaan dengan mudah dan cepat. Program ini yang menggunakan emas sebagai cagaran telah mendapat sambutan menggalakkan dari semua kalangan rakyat Malaysia. Sehingga 13 Oktober 2009, program ini telah melibatkan pembiayaan secara terkumpul berjumlah 4.7 bilion ringgit dan memberi manfaat kepada 3.7 juta pelanggan. Sebagai langkah untuk memperluaskan skim Ar-Rahnu, Kerajaan akan menggalakkan institusi kewangan dan perbankan yang mengamalkan pematuhan syariah, antaranya Bank Muamalat dan Bank Islam untuk menawarkan skim ini.

Tuan Yang di-Pertua,

MEMERANGI RASUAH

80. Ke arah masyarakat yang bersih dan dihormati, Kerajaan menjadikan salah satu NKRA yang utama untuk memerangi rasuah. Usaha ini bertujuan untuk meningkatkan lagi keyakinan dan persepsi masyarakat dalam membanteras rasuah di kalangan anggota penguat kuasa dan pentadbiran awam serta memastikan proses juga prosedur Perolehan Kerajaan dipatuhi. Langkah ini akan dapat memastikan negara berada di kedudukan yang lebih baik dalam Indeks Persepsi Rasuah antarabangsa. Untuk melaksanakan NKRA ini, Kerajaan akan:

Pertama: Menggubal Whistle Blower Act bagi menggalakkan pemberi maklumat untuk tampil membuat pendedahan jenayah rasuah dan salah laku yang lain. Akta ini akan memberi kekebalan kepada pemberi maklumat dari diambil tindakan sivil atau jenayah akibat pendedahan yang dilakukan. Akta ini akan diperkenalkan pada tahun 2010;

Kedua: Menubuhkan 14 buah lagi Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan 4 buah Mahkamah Tinggi Khas Rayuan Kes Rasuah. Pada masa ini, hanya terdapat 2 buah mahkamah khas tersebut di Kuala Lumpur dan 2 lagi di Shah Alam; dan

Ketiga: Meningkatkan usaha memperbaiki imej Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia termasuk, mengadakan persidangan memerangi rasuah peringkat antarabangsa, kempen kesedaran melalui media massa dan menjalin hubungan baik dengan masyarakat.

Tuan Yang di-Pertua,

PEMBANGUNAN WILAYAH KORIDOR

81. Kerajaan telah melancarkan 5 koridor pembangunan untuk merapatkan jurang pertumbuhan ekonomi antara wilayah, meningkatkan pendapatan dan mengagihkan kekayaan untuk dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat. Usaha ini dapat menjana pelbagai peluang perniagaan dan pekerjaan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat. Kerajaan akan memastikan pembangunan wilayah koridor dilaksanakan mengikut jadual. Sehingga kini, sebanyak 126 projek berada di pelbagai peringkat pelaksanaan daripada jumlah 195 projek yang telah dirancang.

Jumlah pelaburan swasta yang direncana berjumlah 221 bilion ringgit, telah melepasi sasaran Rancangan Malaysia Ke-9 sebanyak 145 bilion ringgit.

82. Bagi menyokong pelaksanaan projek oleh sektor swasta di wilayah koridor, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 3.5 bilion ringgit pada tahun 2010 untuk membina infrastruktur dan kemudahan asas serta melaksanakan program latihan dan projek sosio-ekonomi. Antara projek yang akan dilaksanakan termasuk Projek Perumahan Awam dan Pembersihan Sungai Segget di Iskandar Malaysia, Projek Pertanian Bersepadu dan Pusat Latihan Usahawan Tani di NCER, Projek Pelebaran Jalan Persekutuan Kuala Krai-Gua Musang dan Kuala Lipis-Raub-Bentong di ECER. Di koridor yang lain pula, antaranya projek Kluster Industri Minyak Sawit Sandakan dan Keningau Integrated Livestock Centre di SDC serta Projek jalan akses ke Empangan Murum dan jalan akses ke Empangan Baram di SCORE.

Pembangunan Putrajaya Dan Cyberjaya

83. Kerajaan akan terus membangunkan Putrajaya dan Cyberjaya supaya menjadi lebih ceria dan bertenaga. Usaha akan dipertingkatkan untuk memperbanyakkan aktiviti perniagaan, komersial dan rekreasi. Antara projek utama yang akan dilaksanakan di Putrajaya ialah pembinaan hypermarket, sekolah antarabangsa, galeri seni, muzium sejarah, kompleks membaiki kereta serta pusat rekreasi dan riadah. Manakala, di Cyberjaya, antara projek yang akan dilaksanakan ialah pembinaan rumah mampu milik, hypermarket, kompleks perniagaan, kemudahan parkir, pusat rekreasi dan riadah serta sekolah. Selain itu, kemudahan rangkaian pengangkutan awam yang lebih efisien akan disediakan.

Pendek kata, pembangunan kedua-dua bandar ini akan saling melengkapi.

Tuan Yang di-Pertua,

MENINGKATKAN KEBERKESANAN DAN KECEKAPAN PENGURUSAN

KERAJAAN

84. Dalam menjayakan program dan aktiviti pembangunan negara, usaha meningkatkan keberkesanan dan kecekapan jentera pentadbiran Kerajaan akan diberi keutamaan. Kerajaan akan menyusun semula dasar dan garis panduan berkaitan peranan dan fungsi setiap agensi agar lebih bersesuaian dengan perubahan persekitaran dan keperluan semasa. Jalinan kerjasama semua agensi akan dipertingkatkan lagi untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara serta mengelakkan pertindihan.

Memperkukuhkan Pengurusan Kewangan Kerajaan

85. Kerajaan akan mengambil langkah padu untuk memperkukuhkan

kedudukan kewangannya. Kutipan hasil Kerajaan yang mencukupi adalah penting bagi menampung keperluan perbelanjaan yang kian meningkat serta mengurangkan paras hutang negara yang semakin tinggi.

86. Kerajaan adalah dalam peringkat akhir kajian pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), terutamanya untuk menilai impak sosial (social impact study) terhadap rakyat. Tujuan kajian adalah supaya rakyat tidak dibebankan dengan pengenalan cukai ini, jika didapati GST perlu dilaksanakan bagi mencapai kestabilan kewangan Kerajaan. Sekiranya Kerajaan melaksanakan GST, ia akan menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada serta pengecualian tertentu akan diberikan kepada golongan berpendapatan rendah. Kadar GST yang akan dikenakan dijangka lebih rendah daripada kadar cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada.

87. Bagi menyeragamkan sistem taksiran cukai pendapatan dan bagi memastikan aliran tunai Kerajaan menggambarkan prestasi ekonomi semasa, Kerajaan mencadangkan sistem taksiran cukai ke atas pendapatan aktiviti petroleum huluan ditukar daripada sistem taksiran tahun sebelum kepada sistem taksiran tahun semasa. Manakala, sistem taksiran formal turut ditukar kepada sistem taksiran sendiri. Nyatanya, sistem ini telah terbukti dapat meningkatkan tahap pematuhan dan kutipan cukai. Untuk meringankan beban cukai syarikat petroleum huluan, Kerajaan mencadangkan cukai pendapatan bagi tahun taksiran 2010 berdasarkan pendapatan yang diperoleh pada tahun 2009 dibenarkan dibayar secara ansuran selama 5 tahun.

88. Kerajaan perlu memastikan sistem percukaian di Malaysia adalah saksama dan dapat menjana hasil bagi tujuan pembangunan. Selaras dengan ini, Kerajaan mencadangkan cukai sebanyak 5 peratus dikenakan ke atas keuntungan daripada pelupusan hartanah mulai 1 Januari 2010. Walau bagaimanapun, pengecualian cukai sedia ada dikekalkan seperti pemberian hadiah bagi pelupusan hartanah antara ibu bapa dan anak, suami dan isteri, antara datuk, nenek dan cucu. Pengecualian cukai juga diberi ke atas pelupusan sebuah rumah kediaman sekali sepanjang hayat.

89. Dewasa ini perangkaan menunjukkan bahawa penggunaan kad kredit adalah semakin meluas. Bilangan kad kredit meningkat daripada lebih 2 juta pada tahun 1997 kepada 11 juta sehingga Ogos 2009. Bilangan tersebut tidak termasuk kad caj sebanyak 285 ribu yang telah dikeluarkan pada ketika ini. Sebagai langkah untuk menggalakkan perbelanjaan berhemat, Kerajaan mencadangkan cukai perkhidmatan sebanyak 50 ringgit setahun dikenakan ke atas setiap kad kredit utama dan kad caj, termasuk kad yang diberi percuma. Kerajaan juga mencadangkan cukai perkhidmatan sebanyak 25 ringgit setahun dikenakan ke atas setiap kad kredit tambahan. Langkah ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2010.

90. Di atas semuanya, Kerajaan akan terus mengambil langkah untuk menjadikan negara lebih berdaya tahan dan berdaya saing. Usahawan tempatan mestilah melengkapkan diri dan berusaha lebih gigih untuk mengharungi persaingan dan cabaran yang akan dihadapi. Kerajaan akan melaksanakan dasar automotif yang lebih terbuka berikutan liberalisasi dan komitmen negara di peringkat antarabangsa.

91. Untuk ini, Kerajaan akan mengenakan bayaran sebanyak 10 ribu ringgit bagi setiap unit AP yang dikeluarkan kepada pemegang AP Terbuka bagi agihan peruntukan AP tahun 2010. Cadangan ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2010. Sebahagian daripada jumlah kutipan ini akan disalurkan untuk dana pembangunan Bumiputera dalam sektor automotif.

92. Usaha juga akan diambil untuk menambah hasil Kerajaan dengan menggalakkan agensi menggunakan kemudahan ruang bangunan, dewan, asrama, makmal dan peralatan latihan untuk disewakan kepada sektor swasta dan orang ramai. Langkah ini mesti dilaksanakan tanpa menjejaskan aktiviti teras agensi berkenaan. Sebagai insentif, Kerajaan bersetuju membenarkan agensi menggunakan 50 peratus hasil sewaan untuk kegunaan sendiri manakala 50 peratus lagi akan diserah sebagai hasil Kerajaan. Langkah ini akan berkuat kuasa 1 Januari 2010 dan satu garis panduan akan disediakan.

93. Di samping itu, Kerajaan telah mengenal pasti aset Kerajaan termasuk tanah dan bangunan yang boleh dibangunkan secara usaha sama ataupun dijualkan kepada syarikat berkaitan Kerajaan. Pada masa ini, Kerajaan sedang berunding untuk membangunkan tanah milik Kerajaan di kawasan Ampang dan Jalan Cochrane. Di samping itu, kawasan lain yang telah dikenal pasti termasuk di Brickfields, Jalan Stonor, Bukit Ledang dan Sungai Buloh.

94. Kerajaan akan memperkemaskan struktur pengagihan peruntukan dan perbelanjaan supaya lebih cekap dan berkesan. Selaras dengan itu, sistem Outcome-Based Budgeting (OBB) akan dibangunkan dalam tahun 2010. Sistem ini akan diaplikasikan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 bagi menggantikan Modified Budgeting System. Dalam pendekatan OBB, penekanan akan diberikan kepada impak dan keberkesanan projek dan program berbanding mementingkan perbelanjaan dan output semata-mata. Di samping itu, perbelanjaan Kerajaan akan memberi penekanan kepada value for money serta program dan projek yang mempunyai kesan penggandaan tinggi.

Menstruktur Semula Skim Subsidi Minyak

95. Minyak bersubsidi kini dinikmati oleh semua pengguna kenderaan termasuk pemilik kereta mewah dan rakyat asing. Keadaan ini membebankan Kerajaan kerana menanggung subsidi yang tinggi. Bagi memastikan hanya kumpulan sasar diberi subsidi, Kerajaan akan melaksanakan satu sistem pengurusan subsidi minyak pada awal 2010. Sistem yang mesra rakyat ini akan mengguna pakai MyKad dan infrastruktur sedia ada. Pendekatan untuk memberi subsidi bagi kumpulan sasar sahaja akan juga digunakan untuk komoditi lain.

Tuan Yang di-Pertua,

Mempertingkatkan Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan

96. Pada 16 September 2009, Performance Management Delivery Unit atau PEMANDU telah ditubuhkan. Ia bertujuan mengawasi pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan dan jenteranya agar lebih berkesan dan telus. PEMANDU yang dianggotai oleh pegawai daripada sektor awam dan swasta bekerjasama dengan Kementerian dan agensi bagi menyelia dan menyokong pelaksanaan 6 NKRA dan Bidang Keberhasilan Utama Kementerian (MKRA).

97. Kerajaan akan terus mengambil usaha memantapkan institusi latihan Kerajaan untuk membentuk penjawat awam yang berkualiti, berprestasi tinggi dan berpengetahuan. Bagi mencapai hasrat ini, Institut Tadbiran Awam Negara yakni INTAN, Bukit Kiara akan di struktur semula sebagai pusat kecemerlangan ilmu bertaraf dunia. Dengan ini, INTAN Bukit Kiara akan dinaik taraf sebagai School of Government, dengan kuasa autonomi, ditadbir secara profesional, dibantu tenaga pengajar berpengalaman dan menjalin kerjasama dengan institusi terkemuka dunia.

98. Selaras dengan itu, pada 15 September yang lalu pula, saya telah melancarkan Program Penempatan Bersilang (cross-fertilisation) di antara jabatan Kerajaan dan GLC. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan kefahaman mengenai peranan dan tanggungjawab kedua-dua pihak. Ia juga dapat meningkatkan lagi kecekapan dan meluaskan jaringan atau networking. Program ini akan diperluaskan dengan menempatkan pegawai Kerajaan di syarikat swasta dan agensi antarabangsa.

99. Bagi menjaga kebajikan penjawat awam, Kerajaan, dalam Bajet 2009, telah menaikkan tahap kelayakan pendapatan isi rumah bulanan daripada 2 ribu ringgit kepada 3 ribu ringgit untuk mendapat subsidi yuran taska sebanyak 180 ringgit sebulan. Sebagai tanda prihatin kepada para penjawat awam, semua

Kementerian dan jabatan Kerajaan diwajibkan untuk menyediakan pusat penjagaan harian dan pendidikan anak-anak. Untuk ini, Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak 200 ribu ringgit bagi setiap Kementerian dan jabatan Kerajaan untuk menubuhkan pusat penjagaan harian ini.

100. Sehubungan dengan itu, adalah diharapkan sektor swasta juga mengambil langkah yang sama untuk membantu pekerja mereka. Ini memandangkan insentif cukai kepada majikan telah pun disediakan ke atas penyediaan kemudahan pusat jagaan kanak-kanak, antaranya Elaun Bangunan Industri dan potongan cukai ke atas perbelanjaan penyelenggaraan.

Tuan Yang di-Pertua,

Cukai Pendapatan Individu

101. Kerajaan sentiasa ingin memberikan yang terbaik untuk rakyat. Dalam Bajet 2009, Kerajaan telah mengurangkan kadar cukai individu maksimum daripada 28 peratus kepada 27 peratus. Bagi memastikan kadar cukai pendapatan individu kekal kompetitif serta meneruskan agenda ekonomi berasaskan kreativiti, inovasi dan nilai ditambah tinggi, Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan individu maksimum dikurangkan lagi daripada 27 peratus kepada 26 peratus, berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2010. Berikutan dengan ini juga, kadar cukai maksimum bagi koperasi diturunkan kepada 26 peratus, manakala kadar cukai tetap bagi individu bukan pemastautin dikurangkan kepada 26 peratus.

102. Di samping itu, untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, Kerajaan mencadangkan pelepasan diri dinaikkan daripada 8 ribu ringgit kepada 9 ribu ringgit. Ini bermakna, setiap pembayar cukai akan menikmati peningkatan pendapatan boleh guna sebanyak 1 ribu ringgit. Pelepasan ini juga berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2010.

103. Untuk menarik lebih ramai bakat dari dalam dan luar negara dan bagi merancakkan lagi pembangunan Wilayah Iskandar Malaysia, Kerajaan mencadangkan satu insentif cukai yang amat inovatif dan radikal. Dengan ini, Kerajaan mencadangkan cukai ke atas pendapatan penggajian bagi pekerja berpengetahuan rakyat Malaysia serta asing yang bermastautin dan bekerja di Iskandar Malaysia, dikenakan cukai pada kadar 15 peratus, berbanding dengan kadar maksimum 26 peratus untuk seluruh negara.

104. Mereka yang akan menikmati layanan cukai ini adalah dalam aktiviti yang layak seperti teknologi hijau, bioteknologi, perkhidmatan pendidikan, penjagaan kesihatan, industri kreatif, khidmat nasihat kewangan dan konsultasi serta perkhidmatan logistik dan pelancongan. Mereka juga mestilah menambah nilai dalam aktiviti yang diceburi. Galakan ini ditawarkan kepada mereka yang memohon dan mula bekerja di Iskandar Malaysia sebelum akhir tahun 2015, dan akan menikmati insentif ini secara berterusan.

Tuan Yang di-Pertua,

STRATEGI KETIGA: MENGUTAMAKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT

105. Walau apa pun rintangan, walau apa pun cabaran, Kerajaan akan terus memperjuangkan kepentingan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat, sama ada di kota mahupun di desa. Hasil kemajuan yang dicapai akan dinikmati bersama dalam suasana aman, selamat dan selesa. Untuk menjamin keselamatan rakyat, Kerajaan akan menumpu kepada langkah memantapkan ketenteraman awam dan mencegah jenayah. Di samping itu, usaha meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat termasuk membasmi kemiskinan tegar akan diberi penekanan. Kerajaan juga akan menyediakan kemudahan perumahan, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam.

MENCEGAH JENAYAH

106. Kerajaan sentiasa mahu memastikan bahawa setiap individu boleh menjalani urusan harian masing-masing dalam suasana yang tenteram dan selamat. Untuk itu, peruntukkan 3.7 bilion ringgit disediakan untuk mempertingkatkan lagi kecekapan anggota keselamatan, termasuk menyediakan kelengkapan yang moden dan canggih.

107. Kerajaan serius dalam memastikan kadar jenayah terus berkurangan.

Untuk mencapai matlamat ini, Kerajaan akan melaksanakan langkah mencegah jenayah yang telah dikenal pasti sebagai satu NKRA yang terpenting. Kerajaan mensasarkan untuk mengurangkan indeks jenayah sebanyak 5 peratus termasuk mengurangkan kadar jenayah jalanan seperti ragut dan samun sebanyak 20 peratus pada akhir 2010. Sejumlah 1 bilion ringgit disediakan untuk meningkatkan lagi perkhidmatan Polis di-Raja Malaysia pada tahun 2010. Antara langkah utama yang akan diambil adalah:

Pertama: Meningkatkan kehadiran anggota polis untuk meningkatkan keyakinan dan rasa selamat di kalangan orang awam. Untuk ini, Kerajaan akan menyediakan balai polis bergerak di 50 hot spots yang telah dikenal pasti di kawasan yang berisiko tinggi berlakunya jenayah;

Kedua: Melatih dan meningkatkan kecekapan 3 ribu anggota Ikatan Relawan Rakyat atau RELA dan Jabatan Pertahanan Awam

Malaysia untuk turut melakukan rondaan bersama polis; dan

Ketiga: Meningkatkan kempen pencegahan jenayah dan melaksanakan program integrasi polis dalam komuniti dan masyarakat.

108. Bersabit hal ini juga, keselamatan sempadan negara juga tidak terkecuali daripada diberi perhatian serius. Untuk ini, sejumlah 1.9 bilion ringgit akan diperuntukkan bagi meningkatkan kelengkapan anggota tentera serta membina dan menaik taraf pos kawalan. Selain itu, Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia disediakan 622 juta ringgit bagi memastikan kawasan perairan negara bebas dari penyeludupan dan pencerobohan, termasuk ancaman lanun.

Tuan Yang di-Pertua,

MENINGKATKAN PENDAPATAN DAN TARAF HIDUP RAKYAT

109. Kerajaan prihatin akan kesukaran yang dihadapi oleh rakyat terutamanya kos sara hidup yang semakin membebankan. Ke arah ini, Kerajaan akan melaksanakan NKRA untuk membasmi kemiskinan tegar serta meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat.

Membasmi Kemiskinan Tegar

110. Kerajaan komited untuk mencapai matlamat sifar kemiskinan tegar pada tahun 2010. Untuk ini, hampir 50 ribu isi rumah miskin tegar yang berdaftar di bawah program eKasih dan 4 ribu isi rumah Orang Asli yang telah dikenal pasti akan dibantu. Kerajaan akan menyediakan peluang latihan kemahiran dan program penjanaan pendapatan bagi menangani kemiskinan tegar. Antara langkah utama yang akan dilaksanakan adalah:

Pertama: Mengagihkan bantuan kebajikan Persekutuan pada hari pertama setiap bulan. Bagi negeri-negeri Semenanjung, ia telah bermula pada 1 September 2009 dan bagi Sabah dan Sarawak akan bermula pada 1 Januari 2010; dan

Kedua: Meneruskan Skim Program Lonjakan Mega dengan peruntukan 141 juta ringgit seperti di Batang Sadung dan Batang Lupar, Sarawak, di Pulau Banggi, Sabah dan di Tanjung Gahai dan Chemomoi, Pahang.

Program ini akan dapat mengeluarkan 5,600 keluarga daripada kemiskinan tegar.

Membantu Golongan Miskin dan Mudah Terjejas

111. Kerajaan juga akan melaksanakan pelbagai program untuk membantu golongan miskin dan mudah terjejas. Bagi maksud ini, usaha akan diambil untuk mengurangkan kadar kemiskinan kepada 2.8 peratus pada tahun 2010 berbanding 3.6 peratus pada tahun 2007. Kerajaan akan menyediakan latihan kemahiran dan kemudahan mikro kredit bagi kumpulan produktif supaya menjana pendapatan berterusan untuk lebih berdikari. Antara langkah yang akan diambil:

Pertama: Meneruskan Program Pembasmian Kemiskinan dan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) yang meliputi Program Peningkatan Pendapatan, Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya, Program Kecemerlangan Pendidikan, Program Bantuan Rumah dan Program Pembangunan Masyarakat Setempat. Sukacita diumumkan Kerajaan akan meluluskan peruntukan sebanyak 180 juta ringgit bagi tujuan yang murni ini; dan Kedua: Mengiktiraf kesungguhan golongan wanita dalam membantu memperbaiki kehidupan sekeluarga, Kerajaan dengan ini tidak teragak-agak untuk menyediakan program latihan kemahiran dan keusahawanan kepada lebih 3 ribu wanita yang akan dikendalikan oleh Jabatan Pembangunan Wanita dan Amanah Ikhtiar Malaysia.

Pembinaan Kedai Desa

112. Untuk meningkatkan pendapatan rakyat di kawasan luar bandar, Kerajaan akan menyediakan peluang untuk memulakan perniagaan dengan menyediakan lebih banyak premis perniagaan terutamanya di lokasi strategik di luar bandar.

Untuk tujuan ini, sebagai permulaan, sebanyak 30 juta ringgit akan diperuntukkan kepada UDA Holdings Berhad bagi membina 300 unit kedai desa di seluruh negara. Program ini adalah tambahan kepada pelbagai program yang telah dijalankan oleh agensi Kerajaan yang lain.

Tuan Yang di-Pertua,

Menangani Kemiskinan di Bandar

113. Landskap kehidupan semasa menyaksikan kadar urbanisasi berkembang pesat dengan 63 peratus daripada penduduk tinggal di kawasan bandar. Kita sedar bahawa kehidupan di bandar pada kala ini bukannya mudah. Masalah kemiskinan kian meningkat disebabkan kos sara hidup yang tinggi, pendapatan yang rendah dan masalah tempat tinggal. Untuk menangani masalah ini, suka saya menyampaikan khabar istimewa bahawa Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 48 juta ringgit bagi melaksanakan program pembasmian kemiskinan bandar. Ini meliputi bantuan kebajikan dan program bayaran sewa rumah.

114. Bagi mengatasi masalah kemiskinan bandar secara holistik, peranan Kementerian Wilayah Persekutuan akan diperkukuh dan diperluaskan untuk turut bertanggungjawab membasmi kemiskinan bandar seluruh negara, termasuk golongan yang berpendapatan di bawah 3 ribu ringgit sebulan. Dengan ini, saya mencadangkan Kementerian Wilayah Persekutuan kini dikenali sebagai Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Antara tugas utama Kementerian ini ialah menyediakan satu pelan tindakan komprehensif dan melaksanakan program bersesuaian untuk menangani masalah kemiskinan di bandar.

Meningkatkan Pemilikan Rumah

115. Seiring dengan itu, Kerajaan akan berusaha menyediakan kemudahan perumahan supaya rakyat mampu memiliki dan mendiami rumah yang selesa.

Keutamaan diberi kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki dan menyewa rumah yang disediakan oleh Kerajaan. Demi membela untung nasib rakyat terbanyak, pada 10 Oktober 2009 yang lalu, saya telah mengumumkan lebih 44 ribu rumah kos rendah dijual dengan harga antara 21,500 ringgit hingga 35 ribu ringgit seunit. Ia diuruskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Perumahan Negara (JPN). Sebagai langkah tambahan, JPN telah menyediakan sebanyak 74 ribu unit rumah kos rendah untuk disewa pada tahun 2010.

116. Kerajaan amat prihatin masalah yang dihadapi oleh rakyat terutama golongan yang berpendapatan rendah akibat projek perumahan terbengkalai.

Setakat ini, terdapat sebanyak 148 projek swasta yang terbengkalai melibatkan 49,913 unit rumah serta 31,824 pembeli rumah. Daripada jumlah ini, sebanyak 87 projek masih belum dapat dipulihkan di mana 41 projek terdiri daripada rumah kos rendah dan kos sederhana. Oleh itu, Kerajaan akan mempertimbangkan bantuan kewangan yang bersesuaian untuk memulihkan rumah kos rendah dan sederhana mengikut senarai projek sedia ada. Untuk tujuan ini, peruntukan sebanyak RM200 juta akan disediakan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

117. Selaras dengan objektif untuk menggalakkan pemilikan rumah dan menikmati taraf hidup lebih selesa, Kerajaan akan melancarkan satu skim yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan simpanan sedia ada dan mengambil kira simpanan masa depan dalam Akaun 2. Ini bertujuan untuk mendapatkan jumlah pembiayaan yang lebih bagi membolehkan mereka membeli rumah yang bernilai lebih tinggi atau membeli rumah tambahan. Skim ini meningkatkan daya pembelian pencarum KWSP dan adalah terhad pada pembelian satu rumah pada satu masa serta tertakluk pula kepada syarat-syarat yang ditentukan oleh KWSP. Skim ini akan dilancarkan pada Januari 2010.

Menambah Kemudahan Kesihatan Awam 118. Akal yang sihat datangnya daripada jasmani yang sihat. Rakyat yang sihat pula menjadi nadi kemajuan negara. Lantaran itu, Kerajaan sentiasa cakna dan mengambil peduli tahap kesihatan rakyat. Untuk ini, sebanyak 14.8 bilion ringgit diperuntukkan bagi mengurus, membina dan menaik taraf kemudahan hospital dan klinik. Bagi tahun 2010, hospital dalam peringkat pembinaan dan dinaik taraf termasuk di Kluang, Bera, Shah Alam, Alor Gajah dan Tampoi. Di samping itu, Kerajaan akan memperkenalkan perkhidmatan kesihatan klinik komuniti yang akan dinamakan Klinik 1Malaysia di kawasan bandar, seperti mana klinik desa di luar bandar.

119. Klinik ini akan ditempatkan di kawasan perumahan dengan menyewa rumah kedai untuk memudahkan masyarakat setempat mendapat rawatan sakit biasa, seperti demam, batuk dan selsema. Klinik ini akan dikendalikan oleh pembantu pegawai perubatan dan dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Sebagai permulaan, sebanyak 50 buah klinik akan dibuka di kawasan terpilih dengan peruntukan sebanyak 10 juta ringgit.

Tuan Yang di-Pertua,

Meningkatkan Jaringan Keselamatan Sosial

120. Kerajaan prihatin terhadap semua pihak yang memerlukan bantuan kebajikan termasuklah orang kurang upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal dan kanak-kanak. Untuk menjamin penyaluran bantuan kebajikan dibuat secara menyeluruh dan efektif serta tidak ada pertindihan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri sedang melengkapkan pangkalan data eKasih yang akan menjadi pusat rujukan unggul. Selain itu, bagi memperkukuhkan lagi jaringan keselamatan sosial, Kerajaan akan:

Pertama: Memperuntukkan sejumlah 224 juta ringgit kepada OKU untuk bantuan, melaksanakan Program Pemulihan Dalam Komuniti serta membina dan menaik taraf 4 buah Taman Sinar Harapan. Selain itu, peruntukan sebanyak 174 juta ringgit disediakan kepada warga emas termasuk bantuan dan membina serta menaik taraf 2 buah Rumah Seri Kenangan;

Kedua: Memperuntukkan sejumlah 15 juta ringgit kepada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia, Majlis Hospis Malaysia, Persatuan Orang Buta bagi membantu pesakit miskin dan membiayai peralatan perubatan;

dan

Ketiga: Menaikkan kadar elaun kanak-kanak OKU di sekolah pendidikan khas kelolaan NGO daripada 50 ringgit kepada 150 ringgit sebulan bagi setiap seorang mulai 1 Januari 2010. Sesungguhnya peruntukkan sebanyak 3.3 juta ringgit yang disediakan ini akan memberi manfaat dan rahmat kepada hampir 4 ribu orang kanak-kanak OKU.

Tuan Yang di-Pertua,

Sukuk 1Malaysia

121. Alhamdulillah, Bon Simpanan Kerajaan berasaskan syariah berjumlah 5 bilion ringgit yang dilancarkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua telah mendapat sambutan luar dugaan. Untuk membolehkan individu yang tidak berpeluang melanggan sebelum ini dan menggalakkan pelaburan tambahan, Kerajaan akan menerbitkan Sukuk 1Malaysia berjumlah 3 bilion ringgit. Sukuk ini akan ditawarkan kepada semua rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas dengan pelaburan minimum seribu ringgit dan maksimum 50 ribu ringgit. Sukuk ini mempunyai tarikh matang selama 3 tahun dengan kadar pulangan sebanyak 5 peratus setahun yang akan dibayar kepada pemegang sukuk pada setiap suku tahun.

Skim Persaraan 1Malaysia

122. Kerajaan memahami kesukaran yang dihadapi oleh golongan yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap, termasuk pemandu teksi, penjaja, petani dan nelayan, apabila mencapai umur persaraan. Ini kerana mereka tiada pencen atau simpanan di KWSP untuk hari tua. Untuk golongan seperti ini, Kerajaan akan menubuhkan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia yang diuruskan oleh KWSP.

Melalui skim ini, mereka boleh mencarum secara sukarela mengikut kemampuan.

123. Sekali lagi, sebagai bukti Kerajaan yang sentiasa mendahulukan kebajikan rakyat, sukacita diumumkan bahawa bagi setiap 100 ringgit caruman, Kerajaan akan memberi sumbangan sebanyak 5 peratus tertakluk kepada jumlah maksimum sebanyak 60 ringgit setahun. Akan tetapi sumbangan Kerajaan ini adalah hanya untuk tempoh 5 tahun dan merupakan tambahan kepada dividen sedia ada KWSP. Sebagai contoh, sekiranya seorang nelayan berumur 35 tahun membuat caruman sebanyak 100 ringgit sebulan secara konsisten selama 20 tahun, beliau akan mempunyai simpanan terkumpul yang dianggarkan sebanyak 40 ribu ringgit pada umur 55 tahun kelak. Namun caruman ini tidaklah boleh dikeluarkan awal, kenalah tunggu sehingga mencapai umur 55 tahun.

Caruman KWSP

124. Jika semua masih ingat, semasa pengumuman Pakej Rangsangan

Pertama dulu, Kerajaan telah membenarkan pekerja untuk mengurangkan potongan caruman KWSP secara sukarela daripada 11 peratus kepada 8 peratus selama 2 tahun mulai 1 Januari 2009. Terkini, mengambil pandangan umum dan memandangkan keadaan ekonomi dijangka pulih, sukacita saya mengumumkan untuk membenarkan kadar potongan caruman pekerja KWSP dinaikkan semula ke kadar 11 peratus secara sukarela berkuat kuasa secara serta-merta. Walau bagaimanapun, mulai 1 Januari 2011, caruman pekerja KWSP akan dikekalkan pada kadar 11 peratus.

125. Kerajaan sedar betapa pentingnya rakyat menyimpan semasa usia muda bagi memastikan aliran pendapatan yang tetap dan berterusan selepas persaraan.

Ini adalah kerana tabungan di KWSP mungkin tidak mencukupi memandangkan jangka hayat rakyat Malaysia semakin meningkat. Justeru itu, skim anuiti merupakan satu instrumen kewangan yang sesuai untuk tujuan penampungan pendapatan semasa persaraan. Untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menyertai skim anuiti, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai individu sebanyak 6 ribu ringgit yang sedia ada untuk tujuan caruman KWSP dan premium insurans hayat dinaikkan kepada 7 ribu ringgit. Kenaikan 1 ribu ringgit ini adalah bagi pelepasan ke atas premium anuiti yang mula dibayar pada 1 Januari 2010 untuk tujuan persaraan yang ditawarkan oleh syarikat insurans.

Pembangunan Hartanah Wakaf

126. Kerajaan akan membangunkan hartanah wakaf di seluruh negara bagi tujuan khairat dan amal jariah. Untuk ini, Yayasan Waqaf Malaysia akan melaksanakan program pembangunan ekonomi, pendidikan, sosial dan kebajikan ummah terutamanya projek kecil berbentuk ekonomi yang berimpak besar kepada masyarakat. Fokus utamanya adalah untuk membasmi kemiskinan tegar serta meningkatkan taraf sosio-ekonomi umat Islam. Antara projek yang dirancang adalah membina kedai wakaf rakyat di kawasan masjid terpilih dan bazar peniaga kecil untuk orang ramai, termasuk golongan asnaf. Sebagai permulaan, bagi menjayakan inisiatif yang penuh barakah ini, sejumlah 20 juta ringgit akan disediakan.

MEMPERKASA PRASARANA LUAR BANDAR DAN PEDALAMAN

127. Pembangunan luar bandar akan terus diberi tumpuan agar kemajuan yang lebih seimbang dicapai supaya masyarakat luar bandar dapat menikmati kemudahan prasarana yang mencukupi dan berkualiti. Untuk ini, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan merangka satu pelan induk pembangunan luar bandar yang komprehensif.

128. Pada tahun 2010, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 2.3 bilion ringgit untuk membina dan menaik taraf infrastruktur di kawasan luar bandar. Ini termasuk:

Pertama: Membina jalan luar bandar sepanjang 510 kilometer dan jalan kampung sepanjang 316 kilometer dengan peruntukan sebanyak 857 juta ringgit. Antara jalan yang akan dibina ialah di Kapit, Lawas dan Simunjan di Sarawak serta Kinabatangan, Kota Belud dan Keningau di Sabah;

Kedua: Mengutamakan penggunaan soil stabiliser bagi pembinaan jalan luar bandar di mana sesuai. Ini kerana kos pembinaan dan penyelenggaraan menggunakan kaedah ini adalah lebih rendah;

Ketiga: Memperuntukkan 530 juta ringgit untuk menyediakan bekalan air kepada 16 ribu buah rumah, manakala sebanyak 825 juta ringgit bagi membekal elektrik kepada 30 ribu buah rumah; dan

Keempat: Menyediakan 88 juta ringgit untuk melaksanakan 5,356 projek ameniti sosial seperti klinik desa, balai raya dan kawasan riadah awam.

129. Dalam gagasan 1Malaysia, tiada mana-mana golongan pun yang akan dipersiakan. Kerajaan turut prihatin terhadap masyarakat Orang Asli dan berusaha mengintegrasikan mereka ke dalam arus perdana pembangunan negara. Bagi meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup masyarakat Orang Asli, Kerajaan akan menyediakan sejumlah 41 juta ringgit. Antara program yang akan dilaksanakan termasuk membina 55 buah perkampungan Orang Asli, memberi bantuan input pertanian kepada 800 petani dan nelayan serta menyediakan peralatan perniagaan kepada 100 usahawan.

Tuan Yang di-Pertua,

MENAMBAHBAIK PENGANGKUTAN AWAM

130. Kerajaan juga telah meletakkan pengangkutan awam bandar sebagai salah satu NKRA untuk memudahkan mobiliti rakyat bagi menjalankan aktiviti harian.

Kemudahan pengangkutan awam yang baik mampu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas. Untuk tujuan ini, kita memerlukan satu sistem pengangkutan awam yang cekap dan berkesan. Langkah berikut akan diambil:

Pertama: Mempercepat penubuhan dan operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat atau SPAD sebagai pihak berkuasa tunggal untuk mengawasi dan menguatkuasakan piawaian perkhidmatan serta menyedia rancangan jangka panjang pengangkutan awam bandar.

SPAD dijangka mula beroperasi pada 2010;

Kedua: Menambah 8 Electric Multiple Unit (EMU) yang baru dan membaik pulih 9 EMU oleh KTMB. Langkah ini akan dapat meningkatkan kekerapan dan kecekapan perkhidmatan Komuter;

Ketiga: Menambah 35 unit tren Aliran Transit Ringan (LRT) oleh Syarikat Prasarana Negara Berhad bagi laluan Kelana Jaya-Taman Melati. 4 unit tren telah diterima dan sedang beroperasi, manakala 22 unit akan diterima pada tahun 2010 dan bakinya pada tahun 2011.

Langkah ini akan dapat menampung jumlah pengguna yang semakin meningkat;

Keempat: Membina laluan berbumbung menghubungkan stesen LRT ke pusat aktiviti berhampiran. Stesen terlibat adalah Plaza Rakyat, Pasar Seni, Bandaraya, Jalan Sultan Ismail, PWTC dan Jalan Hang Tuah;

Kelima: Memperluaskan laluan khas dan menambah bilangan bas untuk meningkatkan kekerapan perkhidmatannya di Kuala Lumpur. Di samping itu, 4 hab baru juga akan dibina di Pulau Pinang bagi meningkatkan perkhidmatan bas dan penambahan rangkaian laluan;

Keenam: Mempercepatkan pembinaan Terminal Pengangkutan Bersepadu di Gombak yang dapat mengurangkan kesesakan di pusat bandar raya; dan Ketujuh: Menyediakan laluan khas untuk bas di lebuh raya yang kurang digunakan dan mengubahsuai laluan Touch & Go di plaza tol.

PERUNTUKAN BAJET 2010

Tuan Yang di-Pertua,

131. Bagi melaksanakan tiga strategi dan langkah-langkah yang saya bentangkan tadi, Kerajaan mencadangkan sejumlah 191.5 bilion ringgit diperuntukkan bagi Bajet 2010. Ini merupakan pengurangan 11.2 peratus, berbanding peruntukan disemak sebanyak 215.7 bilion ringgit bagi tahun 2009.

Daripada jumlah Bajet 2010, sebanyak 138.3 bilion ringgit atau 72.2 peratus adalah untuk perbelanjaan mengurus dan 53.2 bilion ringgit atau 27.8 peratus bagi perbelanjaan pembangunan.

132. Di bawah peruntukan mengurus, sejumlah 42.2 bilion ringgit adalah bagi emolumen dan 20.8 bilion ringgit disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan.

Manakala, 73.9 bilion ringgit diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah 524 juta ringgit disediakan untuk Pembelian Aset dan baki sebanyak 800 juta ringgit untuk perbelanjaan lain.

133. Bagi peruntukan pembangunan pula, sebanyak 25.4 bilion ringgit disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar. Sejumlah 20.3 bilion ringgit diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat. Seterusnya, 3.7 bilion ringgit diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, 1.8 bilion ringgit bagi pentadbiran am dan 2 bilion ringgit untuk simpanan luar jangka.

134. Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2010, jumlahnya dianggarkan berkurangan 8.4 peratus kepada 148.4 bilion ringgit, berbanding 162.1 bilion ringgit pada tahun 2009. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2010 dijangka lebih baik pada paras 5.6 peratus daripada KDNK, berbanding 7.4 peratus pada tahun 2009.

135. Peruntukan ini mencerminkan dasar perbelanjaan Kerajaan yang lebih berhemat dan mengutamakan value for money. Kita perlu mengambil peluang untuk menyusun semula program, proses dan jentera pentadbiran Kerajaan supaya lebih efisien dan berkesan serta memenuhi keperluan rakyat. Penjawat awam perlu berusaha meningkatkan lagi produktiviti dengan menggunakan sumber yang terhad. Kerajaan akan memastikan langkah penjimatan ini tidak menjejaskan prestasi perkhidmatan penjawat awam serta projek dan program yang telah dirancang dilaksanakan mengikut jadual.

136. Sememangnya kegigihan penjawat awam dalam memastikan pembangunan negara tercapai demi kesejahteraan rakyat adalah dihargai. Lalu, baru-baru ini, saya telah mengumumkan bayaran khas kewangan sebanyak 500 ringgit kepada penjawat awam kumpulan sokongan. Sukacita saya ingin mengumumkan bayaran khas ini dipanjangkan kepada semua penjawat awam gred 41 hingga gred 54 dan setaraf dengannya serta pesara wajib Kerajaan.

Bayaran khas ini akan dibuat pada bulan Disember tahun ini. Langkah ini memerlukan peruntukan tambahan sebanyak 400 juta ringgit. Ini menunjukkan Kerajaan amat prihatin dengan beban perbelanjaan yang ditanggung oleh penjawat awam dan pesara. Oleh itu, Kerajaan berharap supaya penjawat awam dan pesara menggunakan pemberian ini dengan sebaik-baiknya.

PENUTUP

Tuan Yang di-Pertua,

137. Kesimpulannya, sebagai sebuah negara sedang membangun dan bercita-cita besar, Malaysia seperti mana yang lainnya sedang bertarung digelanggang dunia yang sungguh mencabar. Malah, sejak merdeka, kita tidak sunyi daripada dihambat pelbagai dugaan dan rintangan. Syukur kepada Tuhan, semuanya kita harungi dan tempuhi dengan semangat dan perancangan yang tersusun.

138. Marilah kita mencipta helaian kisah Malaysia yang lebih maju dan progresif. Pujangga berpesan kalau hendak seribu daya, kalau tak hendak seribu dalih. Makanya, saya menyeru setiap seorang daripada kita yang kasihkan negaranya, tidak kira bangsa atau keturunan, apa jua latar kedudukan mahupun fahaman, bergerak sederap dan seiring, dengan satu suara, satu harapan, membentuk satu cita untuk Malaysia tercinta.

139. Akhirul kalam, seperti mana mafhum ayat suci Al-Quran di awal pembentangan tadi, kepada Allah kita memohon segala kerahmatannya agar Bajet 2010 ini bakal menjadi landasan kepada haluan yang ingin ditujui.

Bersama api semangat Bagan Pinang yang masih bergejolak dan membakar sukma, bersama harapan yang marak lagi menyala, marilah kita membuat satu transformasi besar-besaran seraya menjulang Malaysia tercinta ini ke persadanya.

140. Sesungguhnya, inilah bajet yang menelusuri keperluan dan meresapi denyut nadi rakyat. Sesungguhnya inilah satu persembahan yang tulus dan ikhlas daripada kerajaan yang menjiwai rakyat. Bulatkanlah tekad, tetapkanlah hasrat, menjunjung gagasan 1Malaysia, segala yang mustahil kan pasti menjadi nyata.

1Malaysia, Kemakmuran Bersama.

Tuan Yang di-Pertua,

Saya mohon mencadangkan.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda