Saya tertarik dengan isu babi yang diperkatakan sekarang. Sebagai rakyat Malaysia, saya inginkan isu itu diselesaikan cepat. Sebagai orang Islam, saya berharap projek jutaan ringgit itu tidak digunakan untuk membiak babi, binatang yang jelas sekali diharamkan dalam Islam.
Pada pendapat saya, sebagai sebuah kerajaan yang ditadbir oleh orang Islam dan penduduknya majoriti adalah orang Islam, kerajaan negeri Selangor mesti mengharamkan projek tersebut untuk kebaikan semua.
Kerajaan negeri Selangor tidak boleh meluluskan projek tersebut walaupun ia ditempatkan di kawasan yang ramai penduduk bukan Islam. Tetapi kita hendaklah menyedari, walaupun tempat itu dikatakan ramai orang bukan Islam, di kawasan sekitarnya mesti ada orang Islam walaupun sedikit jumlahnya.
Asalnya negara ini dikenali dengan Tanah Melayu. Walaupun sudah bertukar kepada Malaysia sejak sekian lama, majoriti rakyat negara ini masih lagi kekal orang Melayu.
Kita semua sedia maklum bahawa babi keseluruhannya membawa penyakit dan kemudaratan; tidak kiralah di mana pun ia hendak dipelihara. Lupakan kepada virus Nipah yang menggemparkan negara sehingga banyak wang digunakan untuk memulihkan keadaan. Industri pelancongan terjejas ketika itu.
Saya juga mendapati kebanyakan penduduk Malaysia lebih gemar menikmati hidangan yang halal seperti daging ayam, kambing dan lembu. Malah makanan ini lebih membawa kebaikan kepada kita semua. Jumlah orang yang menikmati daging babi tentulah kurang daripada itu. Oleh yang demikian, mereka yang berkenaan boleh menggunakan daging babi dari sumber yang sedia ada di Malaysia.
Namun, dalam jangka panjang, perladangan babi secara kecil-kecilan wajar dihentikan. Para penternak berkenaan perlu dibimbing supaya memilih ternakan yang kurang risiko kepada alam sekitar selain ia tidak menjejaskan sensitiviti kaum dan agama di negara ini. Singapura telah pun berbuat demikian. Walaupun majoriti penduduknya orang Cina, mereka memilih untuk mengimport daging itu. Ia sudah tentu mengambil banyak pertimbangan, antaranya sudah pasti soal ancaman kepada alam sekitar.
Oleh itu adalah lebih baik jika projek bernilai jutaan ringgit untuk menternak babi itu ditukar kepada projek menternak haiwan peliharaan yang lebih baik dan memang menjadi keperluan ramai rakyat Malaysia, seperti menternak dan membiak lembu, kerbau, kambing, biri-biri, ayam, itik, ikan dan sebagainya. Risiko ladang babi, sama ada berskala besar dan moden ataupun yang diternak secara kecil-kecilan, terhadap alam sekitar amat tinggi berbanding ternakan haiwan lain. Jadi, saya percaya ternakan haiwan pilihan lain akan lebih bermutu dan lebih menguntungkan rakyat dan negara. Malahan, lebihan daripada ternakan tersebut, boleh diproses dan dieksport.
Jika ini diambil kira, ekonomi negara akan lebih meningkat. Usaha-usaha sebeginilah sepatutnya yang perlu dipertimbangkan oleh kerajaan negeri, bukan sahaja Selangor malah negeri-negeri lain juga. Sediakan tanah dan dana untuk diusahakan oleh golongan belia kita.
Jika betul-betul dihitung, Malaysia mempunyai jumlah bilangan tenaga belia yang cukup untuk membangunkan tanah terbiar atau untuk menjalankan sesuatu projek. Negara perlu mengamati perkara ini dengan lebih teliti.
Jika saranan saya ini benar-benar dilaksanakan, negara tidak akan mengalami masalah pengangguran yang serius. Pekerjaan boleh diwujudkan di kawasan kampung dengan kehadiran belia di kampung itu sendiri.
Negara patut menggalakkan rakyat, terutama belia dan remaja untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian dan perladangan. Ini bagi memastikan bekalan makanan kita mencukupi dan tidak perlu lagi diimport dari negara luar. Itulah gunanya duit ratusan juta itu jika betul-betul hendak dilaburkan.
Saya amat berharap isu ini diambil kira secara serius oleh pihak yang terlibat.
DINA ROSA
Kuala Lumpur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan