Selasa, Mei 06, 2008

Laporan polis terhadap Karpal Singh

Oleh Abdul Razak Din

IPOH 5 Mei - Pemuda UMNO Perak hari ini membuat laporan polis terhadap kenyataan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh (gambar) bahawa Sultan Perak tidak mempunyai kuasa untuk menukar Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury.

Ketua Pemuda UMNO Perak, Zainol Fadzi Paharudin berkata, beliau membuat laporan itu supaya polis menyiasat dan meminta pemimpin DAP itu tidak lagi mengeluarkan kenyataan berbau hasutan itu.

''Kita meminta polis menyiasat Karpal Singh di bawah Akta Hasutan 1948 kerana kenyataan itu telah meresahkan rakyat Perak, khususnya berhubung dengan kuasa Sultan Perak itu," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di sini hari ini.

Sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini melaporkan Sultan Perak tidak mempunyai kuasa terhadap penukaran Pengarah JAIP, Datuk Jamry Sury.

Karpal dilaporkan berkata, Sultan Perak tidak boleh berkata apa-apa terhadap keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri dan mengikut undang-undang, istana tidak boleh melantik kembali Jamry Sury ke jawatannya.

Selasa lalu, Sultan Perak, Sultan Azlan menitahkan agar ditarik balik arahan pertukaran serta-merta Pengarah JAIP, Datuk Jamry Sury oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Istana Perak menyifatkan perbuatan Mohammad Nizar menukar Jamry pada hari Selasa lalu, telah membelakangkan kedudukan Sultan Perak sebagai Ketua Agama Islam dan Raja Muda Perak selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIAMP).

Zainol berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Karpal Singh itu menimbulkan satu polemik serta keresahan dalam kalangan rakyat atas bidang kuasa raja ke atas agama dan istiadat Melayu di negeri ini.

Katanya, ia sekali gus menjejaskan kepercayaan atas hujah tersebut.

''Oleh itu, polis perlu menyiasat atas kenyataan ini kerana ia telah menghasut kerana ia boleh menjejaskan di atas kuasa sultan terhadap agama Islam dan adat istiadat Melayu di negeri ini," katanya.

Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda