KUALA KANGSAR 5 Mei - Satu laporan polis dibuat ke atas penceramah Pas, Nor Azli Musa kerana didakwa menyampaikan ceramah berunsur pembohongan mengenai isu pertukaran serta-merta Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury.
Laporan itu dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manong, Datuk Ramly Zahari dan ADUN Bukit Chandan, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad di Balai Polis Kuala Kangsar di sini hari ini.
Kedua-dua wakil rakyat tersebut turut menyerahkan satu salinan cakera padat video (VCD) yang mengandungi ceramah Nor Azli yang diadakan di Arena Square di sini, pada 3 Mei lalu.
Ramly berkata, isi ceramah yang disampaikan oleh Nor Azli mengenai kemelut pertukaran serta-merta Jamry itu jelas sekali telah diputar belit hingga mengelirukan orang ramai.
''Nor Azli dalam ceramahnya menyebut pertemuan antara Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin dengan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah adalah atas permintaan Menteri Besar sendiri.
''Kononnya ia bertujuan untuk memaklumkan keputusan-keputusan yang dibuat dalam mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri sedangkan kenyataan istana jelas menyatakan bahawa Mohammad Nizar telah dititah menghadap oleh baginda,'' katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis tersebut.
Ramly berkata, kenyataan enam perenggan yang antara lain menyebut Sultan Perak selaku Ketua Agama Islam dan Raja Muda Perak selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIAMP) telah menitahkan Menteri Besar untuk menghadap baginda pada pukul 11 pagi di Istana Raja Muda Perak Jumaat lalu.
Katanya, kenyataan itu adalah sahih kerana ia dikeluarkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Perak, Toh Raja Diraja Kolonel Datuk Abd. Rahim Mohamad Nor.
''Jadi kenyataan Nor Azli dalam ceramah di antara pukul 10 malam ke 10.45 malam pada 3 Mei itu secara terang-terangan bercanggah dengan kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pejabat Sultan Perak,'' katanya.
Menurutnya, laporan polis yang dibuat bersama Wan Mohammad Khairil itu adalah untuk menghentikan salah laku Nor Azli yang juga Pegawai Khas kepada Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam dan Wanita, Mohd. Zainudin Mohd. Yusof.
Katanya, ini kerana jika tindak-tanduk itu tidak dihentikan, ia boleh mendatangkan kerosakan pada mental dan jiwa masyarakat mengenai kedudukan sebenar isu itu.
''Masyarakat akan kerap kali dihujani dengan maklumat palsu yang menjelikkan dan kerana itu kami terpanggil untuk membuat laporan ini.
''Saya harap dengan laporan ini akan dapat menghalang Nor Azli daripada menyampaikan ceramah yang tidak benar di kawasan Manong dan Bukit Chandan,'' katanya.
Utusan Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan