Jumaat, Jun 06, 2008

Exco: 90% JKKK S'gor digugurkan

Jimadie Shah Othman | Jun 6, 08 10:33am
Lebih 90 peratus ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Selangor sekarang akan digugurkan perkhidmatan mereka atas alasan enggan berkerjasama, kata exco kerajaan negeri Yaakob Sapari.

"Mereka ini tidak memberikan kerjasama dengan kerajaan negeri. Program menteri besar pun mereka tidak turun," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

"Kita akan hantar surat tamat perkhidmatan. Kita hendak (ahli JKKK) yang setia pada kerajaan. Semua JKKK akan terima surat tamat perkhidmatan."

Manakala hampir 10 peratus lagi daripada 364 orang yang tamat perkhidmatan pada akhir Jun ini "dipertimbangkan" untuk disambung semula, katanya.

Selain tidak melibatkan diri di majlis-majlis yang dihadiri Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, tambah Yaakob, mereka juga enggan ikut serta dalam pertemuan anjuran kerajaan negeri dengan semua ahli JKKK bulan lalu.

"Kita menyusun pertemuan dengan mereka 20 Mei lepas. Tetapi pengerusi ketua kampung menelefon beritahu enggan bertemu (dengan kerajaan negeri)," kata Yaakob selaku pengerusi jawatankuasa tetap permodenan pertanian, pengurusan sumber alam dan pembangunan usahawan Selangor.

Ditanya tujuan pertemuan itu dianjurkan, beliau berkata: "Kita hendak menjelaskan dasar-dasar kerajaan negeri kepada mereka."

Perak dan Kedah, dua lagi negeri Pakatan Rakyat, turut mengalami masalah seumpamanya sejak kerajaan-kerajaan baru itu mengambil alih pentadbiran selepas pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Malaysiakini semalam melaporkan, satu sumber PKR mendakwa Tan Sri Muhammad Muhd Taib mengarahkan ketua kampung dan ahli JKKK di Selangor agar tidak meletakkan jawatan dan menerima elaun daripada kerajaan negeri tetapi tidak menjalankan tugas.

Beliau, yang juga pengerusi perhubungan Umno negeri, didakwa turut mengarahkan mereka agar tidak memberikan kerjasama kepada setiausaha kerajaan negeri dan pegawai daerah.

Langkah-langkah itu didakwa disampaikan dalam satu pertemuan dengan ketua kampung dan ahli JKKK tidak lama selepas Muhammad dilantik sebagai menteri kemajuan luar bandar dan wilayah pada Mac lalu.

Dalam pertemuan itu, beliau didakwa turut meminta ahli JKKK "mengacau" setiausaha politik kepada menteri besar Nik Nazmi Nik
Nik Ahmad.

Dihubungi hari ini, wakil rakyat Seri Setia berkata beliau tidak pernah mengalami sebarang "gangguan" sehingga kini.

"Tak ada apa. Setakat ini belum ada," kata Nik Nazmi.

Beliau juga mengakui mendapat sedikit maklumat tentang pertemuan Muhammad itu daripada satu sumbernya minggu lepas.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut maklumat tersebut.

"Tetapi tidak terperinci macam dilaporkan (semalam) itu," kata Nik Nazmi.

Ditanya tindakan kerajaan Selangor jika kerajaan persekutuan melantik JKKK sendiri, di samping JKKK yang ditadbir oleh negeri, Nik Nazmi berkata:

"Kita akan lantik JKKK kita dan bekerja macam biasa. Mereka tidak hendak buat (kerja) tidak apa. Kita buat kerja kita.

"(Dengan dua JKKK) ada banyak saluran, (itu) positif dalam satu segi," katanya.

"Tetapi yang saya risaukan, rakyat menjadi kelam-kabut. Tidak tahu hendak meminta (bantuan) dari (pihak) mana. Lebih senang rujuk pada satu wakil saja."

Sumber : Malaysia Kini

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda