Jumaat, Jun 06, 2008

Mukhriz bantah kenaikan harga minyak

Jun 5, 08 5:14pm
Anggota exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Mahathir meminta kerajaan menilai semula keputusan menaikkan harga minyak secara mendadak, berkuatkuasa hari ini, kerana kenaikan itu terlalu tinggi dan membebankan rakyat.

Ahli Parlimen Jerlun itu - pemimpin Umno pertama yang menyuarakan bantahan secara terbuka - berkata, rakyat belum mampu menangani masalah kenaikan itu pada ketika kos sara hidup juga semakin meningkat.

Sepatutnya, kata beliau, kenaikan itu dilaksanakan secara berperingkat dan diumumkan tarikh kenaikan lebih awal agar rakyat tidak terlalu terbeban.

Bernama memetik Mukhriz sebagai berkata keputusan yang dibuat semalam bagi menaikkan harga minyak yang berkuatkuasa hari ini, terlalu drastik dan tidak boleh diterima rakyat.

Tambahan pula, kenaikannya terlalu tinggi, kata anak mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Mukhriz berkata implikasi kenaikan harga minyak dan diesel itu bukan sahaja dirasakan penduduk luar bandar tetapi juga di bandar yang akan turut berhadapan dengan kenaikan harga barangan makanan dan kos pengangkutan.

"Saya agak terkilan dengan kenyataan perdana menteri yang meminta rakyat agar sesuaikan cara hidup dengan keadaan semasa.

"Jika dilihat di kawasan pedalaman seperti di Jerlun, kebanyakan masyarakat hidup kais pagi makan pagi. Bagaimana lagi mereka ingin sesuaikan dengan kenaikan harga minyak sekarang,"
katanya.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataan membantah keputusan kerajaan itu yang beliau sifatkan sebagai membebankan rakyat dan yang mengabaikan tanggungjawabnya kepada rakyat.

Beliau berkata bahawa selepas kenaikan harga minyak, akan menyusul pula kenaikan harga tarif elektrik yang sudah pasti mengakibatkan keadaan rakyat sbertambah parah.

Ahli Parlimen Ipoh Timur Lim Kit Siang pula berkata rebat tunai yang diberi kepada pemilik kenderaan tertentu tidak akan mengurangkan kesan inflasi terhadap rakyat berpendapatan rendah dan sederahana

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda