Jumaat, Jun 06, 2008

Azizah: Rakyat tertipu isu minyak

Siti Nurul Zahra Hamdan | Jun 5, 08 1:19pm
Pengumuman kerajaan mengenai kenaikan masing-masing 40 dan 63 peratus harga petrol dan diesel amat mengecewakan seluruh rakyat sehingga mereka "terasa tertipu", kata presiden PKR.

"Dalam pada kononnya kerajaan simpati dengan beban yang ditanggung rakyat atas kenaikan harga barang, tindakan kerajaan ini barang pasti akan melonjakkan lagi harga tanpa mampu dibendung dan ditanggung rakyat," kata Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata hujah kerajaan bahawa kenaikan tersebut akibat kenaikan harga minyak mentah dunia dan kerajaan terlalu terbeban dengan subsidi sebagai "alasan basi" dan tidak dapat diterima rakyat.

"Bukan setakat itu sahaja, kenyataan bercanggah beberapa menteri berkenaan jumlah subsidi minyak, banyak menimbulkan persoalan.

"Datuk Shahrir Samad baru-baru ini mengatakan subsidi minyak adalah sebanyak RM56 billion manakala semalam Tan Sri Nor Mohamad Yakcop mengatakan subsidi minyak sekadar RM28 billion.

"Apatah lagi menurut Laporan Kewangan Kerajaan 2007, anggaran keseluruhan subsidi 2007 adalah RM12.0 billion, justeru itu kami menganggarkan bahawa jumlah subsidi petrol adalah hanya sekitar RM8-10 billion," katanya.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) pula menggesa duit sebanyak RM13.7 bilion hasil penjimatan bagi mengurangkan beban kos sara hidup pengguna.

Gabungan itu mencadangkan kerajaan meningkatkan khidmat pengangkutan awam dan menyelaraskan kadar perkhidmatan lain dengan tarif baru elektrik.

“Di samping tarif elektrik, tarif dan kadar-kadar (caj) perkhidmatan telekomunikasi, air, cukai jalan, tambang pengangkutan awam, (yuran) kesihatan, pendidikan dan perumahan harus diselaraskan supaya golongan berpendapatan rendah dan sederhana mendapat keselesaan hidup," kata setiausaha agungnya Muhammad Sha’ani Abdullah.

Beliau juga berkata, kerajaan harus menggesa bank-bank menjadualkan semula bayaran balik pinjaman, termasuk kemudahan kad kredit dan overdraf yang bermasalah.

Fomca turut mencadangkan ahli-ahli Kumpulan Wang Simpanan Persekutuan (KWSP) diberikan pinjaman perumahan dengan kadar faedah yang rendah melalui Malaysia Building Society Bhd (MBSB) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) untuk golongan berpendapatan rendah.

Wan Azizah juga berkata, Malaysia adalah negara pengeksport minyak mentah, justeru harga petrol dalam negara perlu dibandingkan dengan negara-negara pengeksport minyak seperti Emirian Arab Bersatu atau Nigeria (lihat jadual).

Ketua menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melahirkan kebimbangan mengenai kenaikan harga minyak yang berkuatkuasa hari ini.

Guan Eng, yang kini dalam lawatan ke Korea, berkata kenaikan mendadak ini “tidak efisyen dari segi sosial dan tidak adil dari segi ekonomi” kerana ia tidak mengambil kira masalah meningkatkan produktiviti dan penjimatan tenaga.

Beliau juga menganggap kenaikan itu “pro-orang kaya dan menghukum si miskin” selagi syarikat besar seperti pengeluar tenaga independen terus dibekalkan subsidi.

Katanya, perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi harus mengkaji sama ada langkah yang dilaksanakan ini benar-benar dapat meringankan beban golongan berpendapatan rendah.

Teras Pengupayaan Melayu (Teras) pula menuntut kerajaan menjelaskan kedudukan perbelajaan Petronas dengan lebih telus dan mewujudkan satu polisi berhemat penggunaan pendapatan negara.

Pengerusinya Mohd Azmi Abdul Hamid melahirkan rasa bimbang dengan ketirisan keuntungan Petronas yang menunjukkan kerajaan tidak bersungguh-sungguh menjaga kebajikan rakyat.

"Kami khuatir dengan gejala ketirisan perbelanjaaan Negara serta keuntungan besar Petronas yang masih dibelanjakan dengan keadaan tidak telus membuat rakyat mempunyai prasangaka besar bahawa kerajaan tidak bertindak bijak ke atas kebajikan rakyat," katanya.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda