Popular Today

Jumaat, Jun 06, 2008

Pengerusi Gerakan WP digantung

Jun 6, 08 3:16pm
Parti Gerakan telah menggantung keahlian Pengerusi Gerakan Wilayah Persekutuan, Dr Tan Kee Kwong sementara menunggu tindakan disiplin diambil terhadapnya kerana menerima jawatan yang ditawarkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Chia Kwang Chye berkata, ia diputuskan oleh jawatankuasa kerja pusat Gerakan yang bermesyuarat malam Rabu lalu.

"Mengikut Artikel 17, beliau (Tan) juga diminta memberi sebab mengapa beliau tidak patut disingkirkan dari Gerakan.

"Beliau diberi tempoh satu (1) minggu untuk menjawabnya," kata Chia dalam satu kenyataan hari ini.

Sasaran kritik

"Jawatankuasa pusat telah membincangkannya beberapa faktor secara mendalam sebelum membuat keputusan tersebut," kata Chia dalam satu kenyataan hari ini.

Chia berkata, sebagai ahli jawatankuasa pusat, Tan sendiri sepatutnya tahu pendirian parti itu yang tidak akan bertolak ansur dengan pemimpin atau ahli yang menerima tawaran memegang jawatan dalam kerajaan negeri Pakatan Rakyat.

Baru-baru ini, Tan menjadi sasaran kritikan pemimpin Gerakan apabila menerima tawaran kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk mengetuai sebuah badan petugas mengenai halehwal tanah.

Chia berkata, Tan telah menerima tawaran tersebut tanpa terlebih dahulu berbincang atau memaklumkannya kepada pucuk pimpinan Gerakan, malah rakan-rakan senegeri dengannya.

Katanya, pihak parti juga tidak dapat menerima alasan-alasan yang diberikan oleh Tan untuk menerima tawaran tersebut.

Ekoran itu, Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa Tan supaya keluar dari Gerakan selepas menerima tawaran jawatan tersebut.

Chia juga berkata, pihak parti juga memandang berat tindakan Tan yang mengkritik pucuk pimpinan sebelum dan seleaps menerima tawaran tersebut.

Rosak imej parti

Menurutnya, kenyataan Tan kepada pihak media selepas menerima jawatan tersebut juga berniat untuk merosakkan imej parti itu.

"Ekoran sikap dan pendekatan negatif Tan, maka jawatankuasa pusat memutuskan bahawa tindakan disiplin akan diambil terhadapnya mengikut Artikel 17 perlembagaan parti itu.

"Oleh itu, keahliannya dalam Gerakan telah digantung dan (Tan) telah diminta memberi sebab-sebab mengapa dia tidak harus dipecat dari Gerakan," katanya.

Sebelum ini, seorang lagi pemimpin Gerakan, Datuk Lee Kah Choon, yang juga bekas timbalan setiausaha agung parti itu, turut menerima jawatan yang ditawarkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang.

Beliau menerima jawatan di Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang dan InvestPenang.

Tan digugurkan dari bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Segambut dalam pilihanraya umum 8 Mac lalu.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda