Jumaat, Mei 22, 2009

Penarikan diri Haron Din memberi peluang kepada puak 'Muqabalah'

Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Dr Haron Din menarik diri daripada perebutan kerusi timbalan presiden hari ini tetapi keputusan itu belum tentu membuka peluang Datuk Husam Musa memenanginya.

Sebagai tokoh agama popular, Dr Haron (foto) dilihat berpotensi memecahkan undi kumpulan pro-muqabalah yang sealiran dengan penyandangnya Nasharuddin Mat Isa, sekaligus memberikan kelebihan kepada naib presiden PAS itu.

Undi aliran bukan pro-muqabalah di belakang Husam mungkin berpecah dua jika seorang lagi naib presiden Mohamad Sabu enggan menarik diri daripada persaingan sengit tersebut.

Daripada lima nama yang dicalonkan untuk jawatan nombor dua, hanya Husam dan Mohamad yang tidak dikenali sebagai ulama, sementara dua lagi termasuk Haron telah menarik diri.

Datuk Seri Azizan Razak kelmarin menjadi orang pertama menarik diri dengan alasan ingin menumpukan kepada tugasnya sebagai menteri besar Kedah.

Tidak dapat dipastikan sama ada penarikan diri Dr Haron itu sengaja dirancang dalam strategi aliran pro-muqabalah untuk memantapkan sokongan terhadap Nasharuddin.

Dalam pertandingan tiga penjuru, Husam jelas sekali terpaksa berdepan populariti Nasharuddin – berdasarkan jumlah pencalonan – sewaktu sokongan kepadanya terbelah dua dengan Mohamad.

'Sedang berunding'

Mohamad, seorang lagi tokoh popular PAS, walaupun bersemangat sekali untuk mencabar Nasharuddin, disebut-sebut akan membuka laluan kepada Husam.

Keputusan muktamad akan diketahui seawal-awalnya 25 Mei ini - tarikh tutup untuk calon-calon mengesahkan pencalonan mereka bertanding dalam pemilihan pucuk pimpinan PAS kali ini.

Malaysiakini bagaimanapun difahamkan, rundingan antara kumpulan Husam dengan Mohamad akan terus berjalan walaupun di saat-saat akhir pertanding di muktamar di Shah Alam, yang dijadual bermula 5 Jun ini.

Sumber-sumber dua kumpulan tersebut memberitahu, beberapa siri rundingan antara dua tokoh PAS itu telah berlangsung "tetapi belum ada kata sepakat" dicapai.

"Matlamat mereka (berdua) sama, mahu jatuhkan Nasharuddin, sebab itu ada kemungkinan wujud kompromi," kata sumber.

Sumber-sumber percaya Nasharuddin kini amat selesa dengan jumlah pencalonan yang diperolehinya - dilaporkan lebih separuh daripada 137 kawasan yang bermesyuarat bulan lalu.

'Tunggu Isnin ini'

Difahamkan, Husam mendapat hanya mendapat 28 pencalonan, sementara Mohamad tidak jauh di belakang dengan 26 sokongan kawasan.

Haron mendapat tujuh pencalonan, manakala maklumat pencalonan Azizan pula tidak diperolehi.

Sementara menunggu tarikh pengesahan pencalonan Isnin ini, Husam akan "berpuasa" daripada memberikan sebarang kenyataan media berhubung pertandingan ini.

Beliau difahamkan masih meninjau sikap para perwakilan sebelum memutuskan sama ada wajar mencabar Nasharuddin atau mempertahankan jawatan naib presiden yang disandangnya sekarang.

Sumber yang sama memberitahu, walaupun ahli-ahli akar umbi umumnya menolak rundingan sulit Umno-PAS seperti yang disertai sendiri oleh Nasharuddin, tetapi para perwakilan belum tentu menolak beliau dengan alasan "kesetiaan atau wala' kepada pucuk pimpinan."

Kesetiaan ini lebih kuat jika pemimpin itu berlatarbelakang agama seperti Nasharuddin, kata sumber lagi.

Muktamar di Stadium Malawati sehingga 7 Mei ini akan menentukan sama ada doktrin tersebut akan memberikan kelebihan kepada timbalan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu atau berjaya dipecahkan dan sekali gus menguntungkan Husam, bekas setiausaha Nik Abdul Aziz Nik Mat.

1 ulasan:

bungaraya berkata...

Muqabalahkah, muqabalighkah, mukabaloqhkah, namun PAS adalah sebuah parti yang terbukti secara fakta telah memecahkan undi orang melayu Malaysia. Apaun gelaran yang diberikan namun PAS dan sekarang PKR adalah dua buah parti yang bertanggungjawab sekirnya kuasa melayu jatuh ketangan kaum lain di Malaysia ini.

Kongsi Link Anda