Popular Today

Selasa, Ogos 04, 2009

Pengkhianat upahan?


Peserta demo diupah?

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my

PUTRAJAYA 3 Ogos - Sebahagian individu yang menyertai perhimpunan haram membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di ibu negara, Sabtu lalu dipercayai telah diupah oleh pihak tertentu.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, sumber yang diperoleh pihaknya turut mendapati motif perhimpunan bertujuan mengalihkan perhatian rakyat terhadap beberapa kes mahkamah termasuk kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

''Anak-anak muda yang mengambil bahagian ini secara sinis mengatakan mereka terima upah untuk berarak. Ini agak mengejutkan pihak penganjur kerana mungkin tidak menyangka rahsia mereka akhirnya bocor juga.

''Motif perhimpunan juga mahu mengalih perhatian rakyat terhadap kes mahkamah tertentu dan ini diperoleh daripada maklum balas yang diperoleh ," katanya ketika dihubungi hari ini.

Perhimpunan haram anjuran Gabungan Mansuhkan ISA (GMI) itu mengakibatkan orang ramai terperangkap dalam kesesakan jalan raya manakala peniaga menutup premis masing-masing.

Berikutan itu, banyak pihak menuntut tindakan tegas harus dikenakan terhadap dalang di sebalik GMI supaya kejadian tersebut tidak berulang.

1 ulasan:

Anak Lenggong berkata...

Jangan biarkan 'pagar' terus rakus memakan padi
MASA berlalu begitu pantas. Sedar atau tidak, kita telah melangkah ke bulan Ogos 2009. Namun masa yang berlalu dan meninggalkan kita itu tidak mungkin dapat dikembalikan lagi.

Kebiasaannya, kedatangan Ogos menjadi pemangkin kepada sambutan hari kemerdekaan negara. Namun tahun ini, bulan Ogos dicemari dengan keganasan serta tunjuk perasaan di ibu kota oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Peristiwa 1 Ogos akan terpalit dalam sejarah hitam negara sebagai satu daripada kejayaan demonstrasi oleh petualang negara.

Apa sudah jadi dengan negara kita? Mungkin persoalan ini agaknya yang sering berlegar di fikiran rakyat sewaktu negara menghampiri tarikh keramat 31 Ogos.

Memang tepat kata pepatah Melayu: "Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah". Realiti dalam kehidupan gajah, sentiasa mahu menguji kekuatan.

Namun kisah gajah berlainan dengan kita manusia. Ia tinggal di hutan yang tiada undang-undang dan penguatkuasaan.

Ini kisah rakyat Malaysia yang sekian lama tinggal di dalam negara merdeka dan berperlembagaan. Kita hidup aman dan tenteram. Namun kini diganggu oleh beberapa kerat petualang dan pengkhianat negara. Mereka bijak memainkan isu dengan bertopengkan hak asasi dan keadilan sehingga sanggup menganjurkan rusuhan.

Ini bukan kali pertama. Namun rusuhan serta demonstrasi jalanan ini merupakan budaya songsang manusia tidak bertamadun.

Apa yang menghairankan ialah kenapa hanya bangsa Melayu sahaja yang terlibat setiap kali ada rusuhan atau tunjuk perasaan? Jahilkah bangsa Melayu sehingga boleh diperalatkan oleh ejen-ejen pengkhianat negara? Tidak rasa terhinakah atau tiadakah perasaan malu?

Saya ingin menyarankan agar kerajaan bertindak tegas terhadap mereka yang terlibat dalam usaha menggugat keselamatan negara ini. Tidak kira mereka itu berpangkat, orang politik atau ketua pembangkang.

Pada hemat saya, sudah sampai masanya kerajaan menggunakan undang-undang yang sedia ada untuk mendakwa mereka. Jangan sekadar memberi amaran tetapi tiada tindakan serta kesudahan ceritanya.

Suara hati jutaan rakyat yang memerlukan pembelaan serta keamanan perlu diberi perhatian. Mereka ini golongan majoriti yang perlu dibela daripada kerenah petualang .

Bukankah keganasan serta demonstrasi yang menyebabkan kerugian jutaan ringgit dan menggugat ketenteraman awam itu menandakan bahawa ISA masih relevan?

Saya pasti rakyat daripada segenap lapisan kaum dan masyarakat bersetuju jika petualang-petualang negara itu disumbatkan ke Pusat Tahanan Kemunting.

Terima kasih kepada pihak polis serta pihak keselamatan lain yang bersungguh-sungguh mengawal keadaan. Namun agak terkilan kerana setiap kali rusuhan seperti itu dan berlaku tangkapan, akhirnya mereka yang membuat onar dibebaskan begitu sahaja.

Jika diimbas, ramai di kalangan mereka yang ditahan kerana merusuh - termasuk anggota kumpulan Hindraf - dibebaskan "atas campur tangan politik". Ini membuatkan petualang itu berani mengulanginya lagi.

Petualang-petualang ini boleh diibaratkan seperti "harapkan pagar, pagar makan padi". Sejak zaman Hang Tuah hingga ke zaman 52 tahun selepas negara ini merdeka, sudah banyak padi kita 'dimakan oleh pagar'.

Malah ada 'pagar' yang telah memusnahkan seluruh bendang. Tetapi disebabkan manusia memang insan yang mudah lupa, kita jarang mengingati sejarah. Kita tidak pernah belajar daripada sejarah.

Maka dari semasa ke semasa, kita sering membuat kesilapan demi kesilapan dalam memilih dan mendirikan 'pagar' (pihak pembangkang) yang tidak boleh diharap. Pagar-pagar inilah yang akan memusnahkan negara dan orang Melayu. Bertindaklah dari sekarang. Selamat menyambut bulan kemerdekaan.

Kongsi Link Anda