Popular Today

Rabu, Oktober 28, 2009

Liow Dan Penyokong Mahu Ong Hormati Keputusan EGM

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- MCA nampaknya akan berdepan dengan perbalahan dalaman sekali lagi bila timbalan presiden yang baru dipilih Datuk Seri Liow Tiong Lai dan 15 anggota jawatankuasa pusat (CC) parti itu yang cukup berkuasa Selasa secara terbuka meminta pucuk pimpinan menghormati keputusan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 10 Okt.

Tanpa menyebut dengan jelas sama ada presiden Datuk Seri Ong Tee Keat harus kekal atau berundur, Liow berkata Ong dan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek perlu menghormati keputusan perwakilan yang telah meluluskan usul tidak percaya terhadap Ong dan menolak pelantikan semula Dr Chua sebagai timbalan presiden.

"Kami semua di CC menghormati keputusan EGM pada 10 Okt. Namun, pelaksanaannya tidak dijalankan sepenuhnya dan presiden tidak menyatakan pendiriannya dengan jelas," katanya pada sidang media bersama 15 anggota CC di Wisma MCA di sini hari ini.

"Ini menimbulkan beberapa kekeliruan," katanya.

Antara mereka yang hadir ialah Ketua Pemuda MCA Datuk Wee Ka Siong, Ketua Wanita Datuk Paduka Chew Mei Fun, Setiausaha Pengelola Kebangsaan Yoo Wei How dan beberapa anggota lain CC termasuk yang dilantik oleh Ong.

Liow dan yang lain tidak memberikan jawapan jelas bila ditanya sama ada mereka mahukan Ong meletak jawatan yang memerlukan kelulusan dua-pertiga perwakilan.

Mereka menggesa Ong membincangkan "rancangan perpaduan lebih luas" dengan CC, sambil menyatakan mereka tidak dirundingi bila rancangan itu dikemukakan.

Liow berkata beliau hanya diberitahu mengenai rancangan itu oleh Ong sejurus sebelum presiden mengadakan sidang akhbar Khamis lepas untuk mengumumkan rancangan damai dengan Dr Chua, penentang Ong dalam parti itu.

"Saya diberitahu mengenai rancangan itu sejurus sebelum sidang akhbar. Ya, saya menyetujuinya demi perpaduan parti. Namun, saya tidak diberitahu mengenai butir-butirnya. Hanya bila sidang akhbar hendak bermula saya tahu yang Dr Chua ada di sana," kata beliau.

Chew berkata Liow hanya menyambut baik "rancangan perpaduan lebih luas" pada prinsipnya demi perpaduan parti tetapi CC masih perlu membincangkannya kerana mereka tidak langsung diberi penerangan mengenai perkara itu.

"Rancangan perpaduan tidak melibatkan seorang dua tetapi semua," kata beliau.

Wee menyatakan bahawa Ong yang berjanji akan berundur sekalipun beliau menang dengan majoriti mudah.

"Tidak timbul soal kami memaksa beliau. EGM ialah kuasa tertinggi, semua dalam parti mesti menyokong keputusan anggota," kata beliau.

Liow mendakwa antara EGM 10 Okt dan mesyuarat CC pada 15 Okt, Ong menyatakan beliau akan berundur.

"Presiden sendiri memberitahu kami yang beliau akan meletak jawatan dan memberitahu saya dan Datuk Wong Foon Meng (setiausaha agung) supaya meneruskan kerja yang perlu diselesaikan.

"Bagaimanapun, kami kesal kerana kini kami dituduh memaksa presiden meletak jawatan," katanya.

Mengenai cadangan supaya parti itu mengadakan pemilihan baru, Liow berkata: "Siapa saja boleh memberikan pandangannya, termasuk wartawan".



-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda