Rabu, Oktober 28, 2009

Matlamat PKR juga untuk 3A - Ezam

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Parti Keadilan Rakyat (PKR) bukan setakat mempunyai kekuatan seperti 'bateri 3A' tetapi perjuangan dan matlamatnya juga berkisar kepada 3A iaitu Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (Presiden), Datuk Seri Anwar Ibrahim (Penasihat) serta Azmin Ali (Naib Presiden).

Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd. Noor berkata, sebab itu dilihat ramai pemimpin PKR terdahulu keluar atau meminggirkan diri daripada parti itu apabila menyedari perjuangannya bukan untuk kepentingan rakyat.

Katanya, oleh itu tidak menghairankan apabila beberapa pemimpin yang baru menyertai PKR sudah mula bercakap tentang dominasi individu tertentu dalam parti itu sehingga menimbulkan rasa kurang senang sesama mereka.

''Seperti mana Datuk S. Nallakarupan, saya juga tidak hairan atau pelik tentang apa yang dikatakan bahawa PKR adalah parti 3A. Saya percaya ramai lagi pemimpin terdahulu turut merasakan hal yang sama.

''Kita berpolitik kerana mahu berjuang untuk rakyat tetapi yang berlaku ialah perjuangan peribadi untuk menyelesaikan masalah peribadi.

''Sebab itu saya percaya masa akan membuktikan. Sekarang pun perlahan-lahan ramai mula sedar akan hal tersebut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut beliau, menjadi tanda tanya mengapa Azmin yang boleh dikira gagal melaksanakan tugasnya mengetuai PKR Sabah sehingga mencetuskan kontroversi telah diberi pula tanggungjawab baru menerajui PKR Wilayah Persekutuan.

''Bukankah dari segi politik, itu pelik namanya? Apabila Azmin jadi Pengerusi PKR Sabah, ramai yang tidak puas hati, jadi bukankah itu bermakna dia gagal di situ?" jelasnya.

Ezam berkata, walaupun demikian beliau secara peribadi tidak terkejut dengan pelantikan Azmin sebagai Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sumber : Utusan Malaysia

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda