Popular Today

Sabtu, Mac 20, 2010

Rencana : Pas sudah semakin hilang keyakinan diri

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
rencana@utusan.com.my

SEORANG ketua Pas cawangan secara ikhlas menghubungi seorang Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang keluar parti untuk mengucapkan tahniah atas tindakannya itu.

Menurut ketua Pas itu, ia sebagai isyarat kepada pucuk pimpinan PKR dan Pas supaya tidak terlalu mengikut telunjuk DAP. Bagaimanapun, kita tidak pasti sejauh manakah sentimen yang sama dikongsi oleh pucuk pimpinan Pas.

Ia memandangkan pada masa ini, Pas yang mula bergabung dalam pakatan pembangkang pada pilihan raya umum lalu terlalu teruja untuk terus bersama pakatan berkenaan.

Kenyataan demi kenyataan yang dibuat oleh pemimpin-pemimpin Pas jelas menampakkan demi kepentingan politik, mereka semakin hilang keyakinan diri.

Bagi Pas, jika mereka tidak terus bersama pembangkang, maka berakhirlah impian untuk menjadi sebuah parti yang kuat, apatah lagi memimpin negara. Atas sebab itulah, mahu tidak mahu, mereka akan terus berada di dalam pakatan biarpun hari demi hari, parti itu seolah-olah diperkotak-katikkan.

Dalam soal ini, penulis teringat pesanan Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim yang menyatakan, Pas janganlah kelabu mata dengan misi untuk menawan Putrajaya bersama PKR dan DAP.

''Janganlah mengorbankan prinsip perjuangan hanya semata-mata kerana kuasa politik, apabila sudah 'kelabu mata', kita lupa kepada perjuangan ahli-ahli,'' itulah kata Zahrain.

Namun penulis yakin, sebahagian pemimpin Pas tidak peduli itu semua. Bagi mereka Pilihan Raya Umum Ke-13 adalah detik terbaik untuk menjadi kerajaan bersama-sama kedua-dua parti berkenaan.

Sebahagian ahli Pas pula begitu taksub dan yakin dengan keupayaan pembangkang di bawah kepimpinan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebab itulah, ada di antara mereka ketika berbual-bual dengan penulis berkata, Barisan Nasional (BN) akan berkubur pada pilihan raya umum nanti dan segala apa yang berlaku kepada Anwar sekarang disebabkan BN takut kepada beliau.

Demikianlah taksubnya mereka membuat andaian sehingga mereka terlupa bahawa Pas selama ini berjuang dan menjadi salah sebuah parti pembangkang yang kuat serta digeruni bukan kerana faktor Anwar Ibrahim.

Mungkin juga jika keputusan pilihan raya- pilihan raya terdahulu dikaji, pegangan ahli-ahli Pas itu berlaku berikutan semakin kurangnya keyakinan mereka bahawa secara bersendirian Pas sebenarnya tiada kekuatan apa-apa.

Jika diukur dari segi bilangan kerusi Parlimen sejak pilihan raya umum 1982, Pas hanya memenangi lima kerusi, 1986 (satu kerusi), 1990 (tujuh kerusi), 1995 (tujuh kerusi), 1999 (27 kerusi), 2004 (tujuh kerusi) dan 2008 (23 kerusi). Jika keputusan ini diambil kira, adalah jelas Pas hanya akan memperoleh kerusi mendadak jika berlaku sesuatu di dalam UMNO.

Ini jelas, apabila dalam pilihan raya umum 1999, Pas mencatatkan perolehan 27 kerusi berikutan isu pemecatan Anwar daripada parti dan kerajaan manakala pada tahun 2008 pula, ia dicapai hasil daripada perasaan tidak puas hati rakyat kepada BN.

Namun begitu semua ini bukanlah alasan kepada Pas untuk terus bersekongkol dengan PKR dan DAP semata-mata ingin berkuasa.

Berbanding dengan PKR dan DAP, kewibawaan Pas adalah jauh lebih baik daripada kedua-dua parti berkenaan. Tetapi Pas sudah tidak ada keyakinan diri sehingga dilihat sanggup mempertaruhkan prinsip perjuangannya semata-mata kerana mahu berkuasa bersama- sama kedua-dua parti itu.

Walaupun dalam sesetengah tindakan PKR dan DAP bertentangan dengan apa yang diperjuangkan oleh Pas, tetapi ia 'ditutup mata' begitu sahaja kerana kononnya tidak mahu menjejaskan pembangkang.

Lanjutan itu, keluarlah kenyataan yang bukan-bukan daripada sesetengah pemimpin Pas termasuk mendakwa DAP mula menerima Islam dan kalau keluar parti pembangkang adalah 'haram', tetapi kalau keluar BN 'halal'.

Semua ini menampakkan dengan jelas bahawa Pas semakin 'kelabu mata' dengan janji-janji Anwar bahawa pembangkang berupaya menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Pas seolah-olah semakin kemaruk untuk merebut kuasa pemerintahan sehingga ia akhirnya menghakis keyakinan diri dan kepercayaan terhadap kemampuan pemimpin-pemimpin parti itu sendiri.

Penulis masih ingat bagaimana seorang penyokong Pas mengakui bahawa tanpa Anwar, maka 'leburlah kekuatan pembangkang'. Pandangan seumpama itu wujud kerana pemimpin Pas sendiri sejak selepas pilihan raya umum lalu tidak pernah meyakinkan ahli-ahlinya bahawa mereka secara bersendirian mampu menjadi parti yang kuat, malah tidak mustahil boleh memerintah negara.

Sebenarnya, berdasarkan perbualan dan pemerhatian penulis, di peringkat akar umbi sudah ada keresahan ketara mengenai pendirian kepimpinan Pas dalam soal terus bekerjasama dengan pakatan pembangkang.

Mereka khuatir Pas hanya menjadi alat bagi memenuhi cita-cita PKR dan DAP bagi memenangi pilihan raya, sedangkan matlamat perjuangan Pas adalah jauh lebih baik berbanding kedua-dua parti itu.

Justeru adalah wajar jika kepimpinan dan sebahagian ahli-ahli Pas duduk sejenak dan berfikir dengan tenang, apakah wajar mereka terus berada dalam pakatan pembangkang.

Fikirkanlah apakah PKR benar-benar ikhlas berkawan dengan Pas dan apakah DAP akan menerima konsep perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas? Dalam pilihan raya umum nanti, apakah PKR dan DAP akan membenarkan Pas menjadi peneraju pembangkang seperti mana pernah ditegaskan oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa masanya sudah tiba untuk Islam memimpin.

Kepimpinan Pas perlu sedar, asas perjuangan parti itu bukanlah hanya mahu merebut kuasa semata-mata tetapi demi mendaulatkan syiar Islam di negara ini. Oleh itu, janganlah prinsip perjuangan ini dikorbankan hanya kerana kegelojohan untuk memiliki kuasa politik.

Mungkin saranan seumpama ini tidak akan dipedulikan kerana dianggap hanya mahu memecah belahkan pakatan pembangkang, tetapi Pas perlu berfikir dengan tenang, apakah tindakan yang sedang mereka lakukan benar-benar sudah berada di jalan yang betul bagi mencapai impian politik mereka.

Apa yang perlu diingat orang Melayu dan Islam bukan sahaja sedang memerhati tingkah laku UMNO tetapi juga Pas. Mereka sedang mengkaji antara kedua-dua parti itu, pihak manakah yang sanggup mempertaruhkan segala-galanya untuk mencapai cita-cita politik.

Justeru, jika Pas tidak mahu dilihat sudah terlanjur dalam tindakannya bagi meraih sokongan termasuk sanggup menerima DAP sebagai kawan rapat, maka bermuhasabahlah.

Ingatlah pesanan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin antara lain beliau berkata, ''Pada saya, Pas kena betul-betul buka mata. Pendirian saya, Pas sepatutnya keluar daripada pakatan pembangkang dan berjuang sendiri seperti dulu. Yakinlah kalau kita betul-betul berjuang atas Islam, Allah akan tolong. Kenapa tiba-tiba tidak yakin dan berasa hanya dengan DAP sahaja boleh. Ini adalah persepsi yang salah.''

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda