Popular Today

Rabu, Mei 07, 2014

DUN Sarawak lulus usul naik royalti minyak, gas 20%



Dewan Undangan Negeri Sarawak semalam meluluskan usul untuk memohon Kerajaan Persekutuan menambah bayaran royalti minyak dan gas kepada negeri ini daripada lima peratus sekarang kepada 20 peratus.
    
Usul yang dibentang Abdullah Saidol (BN-Semop) itu mendapat sokongan sebulat suara daripada 68 anggota dewan yang hadir.
    
Ketika membentangkan usul tersebut, Abdullah berkata semakan semula bayaran royalti itu akan membolehkan negeri ini mendapat hasil tambahan untuk disalurkan secara khusus bagi melaksanakan pembangunan luar bandar.
    
"Sudah tentu Kerajaan Persekutuan akan mendengar dan menerima permohonan kami ini kerana kami, sebagai Barisan Nasional Negeri, adalah rakan akrab mereka, yang mempunyai wakil majoriti dalam kerajaan yang memerintah sekarang," katanya.
    
Abdullah berkata beliau sedar permohonan penambahan kadar royalti itu memerlukan semakan semula dibuat terhadap undang-undang dan perjanjian tertentu antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Abdullah berkata semakan semula bayaran royalti itu akan membolehkan Sarawak mempercepatkan rentak pembangunannya agar setanding dengan tempat lain yang sudah maju di Semenanjung.
    
Katanya untuk mencapai tujuan itu, kewujudan dana lebih besar sahaja tidak memadai kerana ia juga memerlukan negeri ini berada dalam keadaan aman dan stabil.
    
"Tiada gunanya bercakap tentang royalti jika tidak ada kesetiaan dalam kalangan rakyat kita terhadap makna sebenar keamanan dan semangat bersatu-padu," kata beliau.
    
Sementara itu, Chong Chieng Jen (DAP-Kota Sentosa), ketika menyokong usul itu menyuarakan harapannya agar dana tambahan yang diterima kelak akan diguna secara telus, adil dan saksama.
    
"Melalui sokongan kuat sebulat suara dewan ini, (kejayaan mendapat bayaran royalti lebih tinggi) boleh memberi manfaat besar kepada Sarawak," katanya.
    
-Bernama

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Bodohnya Wakil rakyat Sarawak ni. Apasal tak mintak 50%?

Buat apa duit minyak orang Sarawak pi tanggung perbelanjaan orang Semenanjung dan sendiri ramai papa kedana?

Kongsi Link Anda