Popular Today

Khamis, Jun 12, 2008

Wakil PAS dikritik 'gagal' debat minyak

0 Komen!!!

Abdul Rahim Sabri (Malaysia Kini)

kemaskini 8:55pm Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub hari ini menjadi sasaran kritikan penyokongnya sendiri apabila didakwa "gagal" dalam perdebatannya dengan Datuk Shahrir Samad berhubung isu kenaikan harga minyak.

Perdebatan ahli parlimen Kubang Kerian dengan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna disiarkan secara langsung selama sejam di RTM1 jam 9.30 malam tadi.

Beberapa pembaca mengkritik kelemahan Salahuddin di laman web Tranungkite.net, milik Pemuda PAS Dungun, Terengganu hari ini dan semalam.

"Apa yang saya harapkan dari perdebatan ... tidak langsung mencapai tujuan, ruang dan peluang yang sepatutnya digunakan terus gagal dimanafaatkan Salehuddin, sungguh mengecewakan," kata seorang pembaca web itu, 'Reformis Muda'.

"Saya mencadang selepas ini (ahli parlimen PKR) Saifuddin Nasution (Ismail) ataupun (naib presiden PAS) Husam Musa dihantar mewakili Pakatan Rakyat, kerana Saifuddin lebih bersedia dalam soal fakta dan gaya penyampaian yang sinis. Manakala Husam dilihat lebih berani menyanggah," katanya.

Sementara seorang lagi penulis yang menyumbang kritikan menyatakan hujah-hujah Salahuddin "banyak terdapat di dalam blog-blog internet" dan menyarankan ahli parlimen itu menjalankan kajian awal sebelum menghadiri program tesebut.

"Saya tidak salahkan penonton-penonton apabila kecewa dengan hujah-hujah daripada Salahuddin... Kebanyakan hujah yang dikemukakan oleh Salahuddin pernah terbaca oleh saya (di internet).

"Pada saya, Salahuddin sepatutnya menggunakan hujah beliau sendiri dan boleh menggunakan fakta internet itu sebagai sokongan sahaja," kata 'Ciklee'.

Penulis itu juga menyifatkan Salahuddin gagal "memberikan pukulan KO (kalah terus) kepada Shahrir" yang menyebabkan penonton tidak berpuas hati.

'Pemuda Sabah' menyifatkan ahli parlimen itu suka membuat kesilapan fakta.

"Kadangkala Salahuddin cuba untuk menguatkan hujah beliau berpandukan sejarah dan insiden yang pernah berlaku tetapi cukup memalukan apabila fakta sejarah diubah, malahan Shahrir nampak senyum kambing sambil memperbetulkan beberapa fakta yang didakwa oleh Salahuddin," tulisnya di laman web itu, yang diasaskan sejak 1999.

"Salahuddin sendiri terperangkap dalam data statistik yang disebut oleh beliau apabila kurang memberi perhatian terhadap perbezaan antara 'keuntungan' dengan 'pendapatan'," tambahnya.

Bagaimanapun, katanya lagi, penghujahan wakil PAS itu "agak tercapai" apabila Shahrir kelihatan "tidak mampu memberi satu jawapan konkrit" berhubung isu tersebut.

"Beliau lebih banyak bermain kata-kata dan bercakap tentang teori semata-mata," tulis 'Pemuda Sabah'.

Selepas menganggap Salahuddin gagal menggunakan istilah-istilah umum yang difahami semua, 'Tinta Islam' pula kecewa kerana wakil PAS itu tidak berjaya menimbulkan isu-isu kesusahan orang ramai.

"Namun bagi pihak rakyat, ana (saya) merasa sedikit kecewa kerana Salahuddin tidak dapat membangkitkan hujah-hujah bagi menyuarakan kesusahan dan keperitan hidup rakyat akibat daripada kenaikan harga minyak yang melampau," tulisnya.

'Reformis Muda' bersetuju dengan pandangan ini dan mencadangkan "kita perlu menyampaikan dengan bahasa yang mudah dan senang diterjemah dan dirasai rakyat."

"Gaya bahasa dan rentak beliau bercakap seperti seorang profesor yang didatangkan dari Universiti Tokyo untuk menyampaikan kuliah sains," katanya.

'Reformis Muda' menambah, tidak sesuai Salahuddin membincangkan isu carigali Petronas tetapi seharusnya mengupas "tentang kesannya kepada rakyat."

'Topeng Perak' turut membangkitkan persoalan yang sama.

"Saya kira golongan (berpendapatan rendah) ini amat-amat kecewa dengan Salahuddin kerana beliau juga seolah lupa pada golongan ini. Pada saya kesilapan Salahuddin ialah, terlalu cepat dan gopoh dalam memenangi isu ini," katanya.

Beliau mencadangkan ahli parlimen itu berbincang dengan semua golongan sebelum bertindak sebagai "duta besar" di program TV itu.

Seorang penulis yang dikenali 'Matlan75' menganggap ulasan Salahuddin "terlalu berhati-hati" sehingga "mood penonton hilang apabila mendengar hujahnya."

"Penonton mahu hujah yang kuat dan boleh membuatkan Shahrir jadi bisu dan terus masuk PAS. Itu yang rakyat mahu," katanya.

Rabu, Jun 11, 2008

BPR siasat pegawai MB S'gor 4 jam

0 Komen!!!
Baru 3 Bulan berkuasa, pegawai kanan pejabat menteri Besar Selangor telah disiasat untuk penyalahgunaan kuasa, kalau 3 tahun berkuasa agaknya berapa ramai yang akan didakwa.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) memanggil pegawai kanan pejabat menteri besar Selangor untuk siasatan dakwaan penyalahgunaan kuasa berhubung kelulusan kontrak dan tender pembersihan serta kutipan sampah yang melibatkan kawasan Petaling Jaya.

Pengarahnya BPR Selangor, Ja'afar Mahad berkata pihaknya mengambil masa kira-kira empat jam untuk mengambil keterangan daripada pegawai kanan terbabit yang tiba di pejabatnya di Shah Alam, pada jam 6 petang semalam.

"Kita sudah ambil keterangan pegawai terbabit hari ini dan hasil siasatan akan diketahui dalam jangka masa terdekat ini," katanya kepada Bernama semalam.

Minggu lepas, sekumpulan empat orang yang mendakwa ahli PKR membuat laporan kepada BPR dengan dakwaan pegawai kanan tersebut menggunakan kepala surat pejabatan menteri besar tanpa keizinan.

Mereka mendakwa mempunyai dokumen yang membuktikan pegawai kanan terbabit terlibat dalam meluluskan kontrak dan tender itu kepada empat buah syarikat tanpa pengetahuan menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kerajaan negeri pula berhasrat menjalankan siasatan sendiri kerana bimbang BPR lambat dan boleh mencemarkan imejnya.

Selangor menyeru kepada empat pengadu itu agar hadir di depan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggung- jawaban dan Ketelusan yang diketuai speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chan Kim bagi menentukan kesahihan dakwaan itu.

Menurut agensi berita itu lagi, BPR Selangor kelmarin mengambil keterangan daripada beberapa pegawai Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Alam Flora Sdn Bhd bagi membantu siasatan berhubung perkara itu.

BPR tidak siasat pegawai MB S'gor

Badan Pencegah Rasuah (BPR) belum menyiasat pegawai kanan di pejabat menteri besar Selangor berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam pengagihan kontrak pembersihan dan kutipan sampah di Petaling Jaya.

Pejabat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini laporan sebuah stesen televisyen swasta semalam yang menyebut badan itu telah ke pejabatnya.

"Laporan tersebut tidak benar sama sekali kerana pihak BPR tidak datang ke pejabat menteri besar Selangor bagi menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang pegawai kanan menyalahgunakan kuasa pengagihan kontrak pembersihan dan kutipan sampah di Petaling Jaya," satu kenyataan pejabat itu dipetik.

Menurutnya, kerajaan Selangor berharap laporan stesen televisyen tersebut diperbetulkan kerana ia boleh memberikan gambaran yang tidak benar.

Malaysiakini semalam difahamkan BPR merampas beberapa dokumen dan menyiasat seorang pegawai Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), dipercayai berhubung pengagihan kontrak kontrak tersebut.

Majlis itu mengesahkan BPR menyiasat seorang pegawainya petang semalam.

"Itu adalah prosedur biasa," kata datuk bandar Datuk Hj Mohamad Roslan Sakiman kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan siasatan tersebut sama ada berkaitan dengan pegawai di pejabat Khalid atau kes berlainan.

Siasatan BPR dijalankan selepas satu laporan dibuat minggu lepas oleh sekumpulan lelaki yang mendakwa anggota PKR kepada badan itu dan polis.

Jumaat lepas, sebuah akhbar menyebut, jurucakap kumpulan berempat itu Remy Iskandar berkata mereka mempunyai "semua dokumen yang boleh menjadi bukti" aduan mereka.

Beliau bersama tiga yang lain (foto) juga dilaporkan berkata pegawai kanan itu dipercayai telah meluluskan kontrak dan tender kepada empat buah syarikat tanpa pengetahuan menteri besar.

Remy juga berkata, mereka meragui kelulusan tersebut kerana ia menggunakan kepala surat pejabat menteri besar tanpa nombor rujukan yang jelas dan pegawai tersebut meminta syarikat-syarikat itu diberikan keutamaan dalam pembahagian kontrak itu.

Sumber: Malaysia Kini

Selasa, Jun 10, 2008

KERAJAAN PKR SELANGOR 'MEMBUNUH' DAN MERENDAHKAN MARUAH DAN MARTABAT AGAMA ISLAM

0 Komen!!!
Penghapusan peraturan mengehadkan rumah ibadat bukan Islam di negeri Selangor semakin membuka mata kepada orang Melayu mengenai Pakatan Pembangkang ini.

Hari ini, Kerajaan Selangor yang dipimpin PKR secara langsung 'membunuh' dan merendahkan maruah dan martabat agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan. Seterusnya menyamaratakan antara Masjid dan rumah ibadah dan lain. Tidak pernah berlaku lagi perkara sejak zaman BN memerintah.

Hak dan martabat agama Islam semakin direndahkan oleh kerajaan PKR Negeri Selangor

Ahli Majlis Tertinggi UMNO (MT), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi percaya orang Melayu di Selangor kini mula sedar bahawa mereka terpaksa menanggung padah kerana salah memilih kerajaan.

Menurut beliau, ini berikutan keputusan kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas negeri Selangor menghapuskan peraturan mengehadkan rumah ibadat bukan Islam di negeri itu.

Beliau berkata, walaupun Menteri Besar Selangor beragama Islam tetapi tidak mempunyai kuasa sebaliknya keputusan yang diambil ditentukan oleh barisan Exco negeri itu.

''Apabila kerajaan campuran PKR, DAP dan Pas memerintah Selangor, bidang kuasa adalah di tangan Exco kerana kekuasaan dan keputusan ditentukan oleh mereka,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sijil Penghargaan Perkhidmatan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2007 di Pusat Belia Antarabangsa, Bandar Tun Razak di sini hari ini.

Ahmad Zahid mengulas keputusan kerajaan negeri Selangor untuk menghapuskan peraturan mengehadkan rumah ibadat bukan Islam yang tidak boleh dibina dengan keluasan melebihi 10,000 kaki persegi.

Ia diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri, Dr. Xavier Jayakumar bersama Pengerusi Tetap Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Penyelidikan dan Pembangunan Negeri, Ronnie Liu.

Menurut beliau, sebelum ini kerajaan negeri Selangor telah memberikan jaminan untuk melaksanakan sistem akidah Islamiah.

''Tetapi apa yang boleh dilakukan melainkan terpaksa bersetuju kerana suara mereka hanyalah suara minoriti.

''Cuma saya ingin beritahu orang Islam di Selangor, itulah harga mahal yang terpaksa mereka bayar kerana salah memilih kerajaan,'' katanya.

Beliau yang juga adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, Kerajaan Pusat tidak mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan dengan keputusan kerajaan campuran negeri Selangor itu.

Menurutnya, keluasan sesuatu rumah ibadat bukan Islam hanya ditentukan oleh kerajaan negeri dengan melalui pihak berkuasa tempatan.

Kata beliau, wujud satu garis panduan khas kerana Islam adalah agama rasmi negara dan mempunyai garis panduan tertentu tanpa mengetepikan agama lain.

'HADIAH' UNTUK RAKYAT SELANGOR

0 Komen!!!
KIRA-KIRA 10 tahun lalu, penduduk di sebuah taman perumahan yang majoritinya beragama Islam di Shah Alam, gempar apabila tersebar berita sebuah gereja yang terbesar di Asia Tenggara, bakal dibina berhampiran di kawasan mereka.

Ekoran itu, penduduk dan jawatankuasa masjid berhampiran menubuhkan jawatankuasa bertindak membantah cadangan pembinaan gereja itu dengan menyerahkan memorandum kepada pihak berkuasa termasuk Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Malah, jawatankuasa berkenaan turut menganjurkan forum yang mana salah seorang daripada ahli panel ialah peguam, Mohamed Hanipa Maidin, yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, yang menjelaskan secara panjang lebar mengenai kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan.

Setelah isu itu senyap, tiba-tiba rakyat negara ini dikejutkan dengan kenyataan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin negeri, Dr. Xavier Jayakumar selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin bukan Islam daripada pelbagai kaum, Jumaat lalu.

Tanpa menghiraukan sensitiviti masyarakat Islam, Dr. Xavier memaklumkan cadangan kerajaan negeri menghapuskan peraturan keluasan rumah ibadat bukan Islam yang tidak boleh melebihi 10,000 kaki persegi atas alasan larangan terhadap saiz, panjang dan ketinggian itu tidak lagi sesuai.

Sambil meminta pemaju perumahan mengambil kira keperluan penduduk bukan beragama Islam agar menyediakan tapak yang lebih luas berbanding hanya 0.4 hektar sahaja ketika ini, beliau juga berjanji akan menambah peruntukan tahunan kepada rumah ibadat bukan Islam daripada RM3 juta ketika ini.

Dr. Xavier mungkin menyedari langkah itu bakal mendapat pujian masyarakat bukan Islam yang akan mengangkatnya sebagai 'pejuang', di samping menggunakan sepenuhnya peluang menduduki kerusi Exco kerajaan negeri ketika pakatan pembangkang berkuasa.

Persoalannya di mana suara wakil-wakil Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) lain yang beragama Islam. Meskipun ia baru di peringkat cadangan, tetapi adakan disebabkan alasan untuk memenuhi keperluan penganut agama lain, mereka sedia bertolak-ansur mengenai perkara itu.

Adakah pemimpin-pemimpin Pas negeri kini semakin menyimpang daripada matlamat membina negara Islam yang menjadi wadah perjuangan mereka selama ini, sehingga sanggup mendengar sahaja kenyataan seorang pemimpin yang satu 'selimut' dengan mereka mahu menghapuskan peraturan mempertahankan kedudukan Islam seperti termaktub dalam perlembagaan, sesuatu yang sentiasa tidak disenangi puak- puak cauvinisme.

TenggelamNada itu disuarakan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang melihat biarpun ada wakil Pas dalam barisan kerajaan negeri, tetapi perjuangan Islam mereka seperti tenggelam manakala PKR pula asyik dengan konsep kesamarataan mereka, hatta terhadap masjid atau surau dengan rumah ibadat bukan Islam.

Baginya, cadangan itu sekiranya dipersetujui, seakan memberi lampu hijau bahawa rumah ibadat boleh dibina tanpa sebarang had walaupun di kawasan perumahan yang didiami pelbagai kaum sedangkan selama ini peraturan yang hendak dihapuskan itu berlandaskan garis panduan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berupaya memastikan keperluan sesuatu rumah ibadat di Selangor seimbang dengan jumlah penganutnya sekali gus dapat memelihara keharmonian kaum.

Di Selangor, penduduk beragama Hindu berjumlah kira-kira 700,000 orang tetapi mempunyai lebih 1,000 kuil sedangkan hanya terdapat 380 masjid di seluruh negeri dengan jumlah penduduk beragama Islam seramai empat juta orang.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad sambil mempertahankan cadangan itu berpendapat, walaupun tidak ada had dari segi saiz, namun pembinaan rumah ibadat bukan Islam tetap tertakluk kepada peraturan dengan mengambil kira sensitiviti penduduk setempat.

Timbalan Pesuruhjaya 3 Pas Selangor yang juga Yang Dipertua Pas Pandan itu melihat cadangan berkenaan mampu mengawal bilangan rumah ibadat bukan Islam yang dibina secara haram.

Beliau memberikan contoh di sebuah penempatan setinggan di Selayang yang mempunyai sehingga 20 buah kuil Hindu.

"Mungkin keperluan penduduk kawasan itu tidak mencukupi, jika dibina sebuah kuil yang besar, ia sudah memadai dan tidak akan ada lagi kuil-kuil pada jarak hanya beberapa ratus meter sahaja antara satu sama lain.

"Oleh itu saya melihat cadangan ini tidak menimbulkan masalah kerana pembinaannya tetap tertakluk kepada syarat dan hanya sesuai di penempatan majoriti bukan Islam, bukan boleh dibina dengan sewenang-wenang sahaja.

"Hak orang bukan Islam pun perlu dijaga, itu hak mereka dengan syarat mereka tidak menjejaskan atau mengancam hak orang lain. Boleh besar tetapi kena tengok tempat, jika menyebabkan sensitiviti umat Islam, ia tidak seharusnya dibina," katanya yang mengakui perkara itu pernah disentuh mesyuarat Exco tetapi belum ada kata putus dicapai.

Beliau menolak tanggapan Pas bersetuju dengan cadangan itu demi kepentingan politik kerana menurutnya, jika tidak ditangani dengan betul, ia boleh menimbulkan kemarahan penduduk Melayu pula.

Apa pun, hakikatnya peraturan yang mengehadkan saiz itulah yang mahu dihapuskan Dr. Xavier, yang mungkin tidak disedari oleh Iskandar.

Tidak mustahil apabila dihapuskan peraturan itu, kita boleh melihat rumah ibadat bukan Islam yang menyamai keluasan Masjid Shah Alam memandangkan mereka sudah tentu tidak akan menghadapi masalah dari segi kewangan.

Sudah banyak orang Melayu beralah kepada tuntutan dan desakan kaum lain, jadi sebelum terlambat, kata putus perlu dicapai bagi memastikan suasana harmoni yang dinikmati sebelum ini, teguh terpelihara.

Setelah berkeras mahu melaksanakan projek ternakan babi yang didakwa menggunakan sistem termoden di Sepang, pakatan pembangkang di Selangor terus 'menunaikan janji' dengan menghadiahkan sesuatu yang tidak dijangka oleh umat Islam, semata-mata atas prinsip kesamarataan.

ELAUN KERAIAN MENTERI DIPOTONG 10 PERATUS

0 Komen!!!
Mulai 1 Julai ini, elaun keraian Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kabinet akan dipotong sepuluh peratus.

Menteri Kabinet juga dilarang bercuti di luar negara kecuali di negara Asean. Cuti mereka juga tidak lebih daripada seminggu.

Ketika ini, elaun keraian bulanan bagi Perdana Menteri ialah RM18,865, Timbalan Perdana Menteri (RM15,015), menteri (RM12,320) dan timbalan menteri (RM6,000).

Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata, tugas rasmi menteri-menteri ke luar negara juga akan dihadkan kepada persidangan dan mesyuarat antarabangsa.

Katanya, untuk tugasan itu, menteri hanya layak diiringi tiga orang pegawai kementerian, manakala timbalan menteri hanya dibenarkan membawa tiga orang pegawai.

“Pegawai yang hadir hendaklah terlibat secara langsung dengan tugas yang dipertanggungjawabkan.

“Ketua Setiausaha Kementerian tidak dibenarkan menyertai bersama dalam rombongan menteri untuk tugas rasmi di luar negara kecuali bagi mesyuarat berjadual tertentu,” katanya.

Larang Pakai Songkok - DAP biadap

0 Komen!!!
Selain keris, songkok juga merupakan simbol utama dan kebesaran bangsa Melayu. Menolak pemakaian songkok boleh dianggap sebagai menolak ketuanan Melayu dan Raja-Raja Melayu.

Sikap ekstrem DAP terhadap Melayu semakin hari semkain jelas. Satu persatu tindakan mencabar kedaulatan dan maruah bangsa Melayu.

DAP bersikap berdolak-dalik mengenai arahan larangan pemakaian songkok kepada empat orang wakil rakyat parti itu di Johor pada pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) itu minggu depan.

Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw berkata, wakil rakyat perlu mengikut keadaan di negeri masing-masing.

''Ini isu sensitif. Kita perlu memandang kepada keadaan setiap negeri dan terserah kepada mereka untuk mematuhinya,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez dalam sebuah akhbar bahasa Inggeris semalam yang menyatakan empat wakil rakyat parti itu telah menerima arahan daripada ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang meminta mereka tidak memakai songkok pada pembukaan sidang DUN 19 Jun ini.

Empat wakil rakyat tersebut ialah ADUN Skudai, Dr. Boo Cheng Hau yang juga Presiden DAP Johor; Gwee Tong Hiang (Bentayan); Ng Lam Hua (Mengkibol) dan Ong Kow Meng dari Senai.

Arahan tersebut telah membuatkan kesemua wakil rakyat itu berada dalam keadaan serba salah sama ada hendak memakai atau tidak songkok pada majlis yang akan dihadiri oleh Sultan Johor, Sultan Iskandar Ismail.

Menurut Seng Giaw, terdapat wakil rakyat DAP di negeri seperti Perak dan Selangor yang memakai songkok sewaktu angkat sumpah atau pembukaan sidang.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang komen ketika ditanya adakah benar wujud sebarang arahan yang melarang mana-mana ahli DAP memakai songkok.

Seng Giaw turut meminta keempat-empat wakil rakyat DAP di Johor supaya menghubungi ibu pejabat parti itu bagi mendapatkan penjelasan.

''Berhubung dengan Pusat supaya boleh bagi keterangan jelas mengenai perkara tersebut,'' ujarnya.

Sementara itu, Penasihat parti berkenaan, Lim Kit Siang pula enggan memberikan sebarang komen tetapi menuntut agar bukti mengenai arahan tersebut diberikan kepadanya.

''Tunjuk saya arahan baru itu baru saya boleh komen. Mana saya tahu itu arahan betul-betul dari CEC,'' katanya.

Ahad, Jun 08, 2008

Pegawai MB S'gor didakwa seleweng

0 Komen!!!
Jun 6, 08 8:27pm
dikemaskini Selangor menyeru Badan Pencegah Rasuah (BPR) menyegerakan siasatan terhadap dakwaan salah guna kuasa seorang pegawai kanan di pejabat menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Penyelewengan itu didakwa melibatkan pengagihan kontrak pembersihan dan kutipan sampah di Petaling Jaya.

"Pentadbiran (kerajaan) ini menyeru pihak BPR untuk mempercepatkan proses siasatan jika terdapat bukti-bukti awal yang kukuh," kenyataan itu, yang dikeluarkan awal malam ini, dipetik.

Kerajaan negeri juga akan menjalankan siasatan dalamannya sendiri, menurut pejabat itu lagi, "kerana mengikut pengalaman lepas, pihak BPR lambat bertindak dan ini akan memberi kesan negatif kepada keberkesanan pentadbitan kerajaan negeri."

Sekumpulan ahli PKR dilaporkan telah membuat aduan polis berhubung perkara itu kelmarin dan membawa aduan yang sama kepada BPR semalam.

Menurut akhbar Sinar Harian hari ini, empat wakil PKR bahagian-bahagian Kuala Selangor, Tanjong Karang dan Shah Alam membuat aduan itu dengan harapan "siasatan segera dilakukan kerana perbuatan tersebut menjejaskan integriti pentadbiran Pakatan Rakyat."

Selain mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli parti itu, menurut kenyataan pejabat itu, menteri besar juga berkata kerajaan negeri mempunyai prosedur sendiri untuk memanggil saksi-saksi untuk memberikan keterangan.

"Jika terdapat bukti-bukti kukuh, pihak kerajaan negeri tidak akan teragak-agak mengambil tindakan," katanya dalam kenyataan itu.

Akhbar itu menyebut, jurucakap kumpulan ahli PKR itu Remy Iskandar berkata mereka mempunyai "semua dokumen yang boleh menjadi bukti" aduan mereka.

Beliau bersama tiga yang lain (foto bawah) ke pejabat akhbar itu semalam untuk mendedahkan aduan tersebut.

Beliau juga dilaporkan berkata pegawai kanan itu dipercayai telah meluluskan kontrak dan tender kepada empat buah syarikat tanpa pengetahuan menteri besar.

Remy juga berkata mereka meragui kelulusan tersebut kerana ia menggunakan kepala surat pejabat menteri besar tanpa nombor rujukan yang jelas dan pegawai tersebut meminta syarikat-syarikat itu diberikan keutamaan dalam pembahagian kontrak itu.

"Apa yang berlaku seolah-olah menafikan pendirian menteri besar yang sebelum ini pernah membuat kenyataan bahawa setiap pemberian kontrak atau tender akan dilakukan secara terbuka dan menolak usaha pengagihannya menggunakan pendekatan rundingan," beliau dilaporkan berkata.

"Kami tampil untuk untuk membuktikan PKR telus menolak sebarang usaha salah guna kuasa dan cubaan menafikan kepercayaan rakyat terhadap PKR."

Dalam kenyataan yang sama, menteri besar menyeru kepada pengadu kes tersebut agar menyalurkan maklumat lanjut kepada pejabatnya.

Harga Minyak : Siapa yang tidak faham

0 Komen!!!
Kenaikan harga minyak baru-baru ini amat mengejutkan rakyat khasnya ramai yang menjangkakan harga minyak hanya akan naik pada Ogos 2008.

Selain itu apa yang mengejutkan rakyat juga ialah kenaikan harga minyak sebanyak 78 sen bagi petrol dan RM 1 bagi diesel bagi setiap liter iaitu kenaikan sebanyak 40%.

Kenaikan harga minyak yang mengejut serta kenaikan harga yang begitu besar ini tidak dijangkakan oleh seleuruh rakyat Malaysia.

Rakyat amat memahami kenaikan harga minyak minyak luar negara menuntut kenaikan juga harga minyak didalam negara ini. Namun kenaikan yang mengejut ini serta dengan harga begitu tinggi amat membebankan rakyat. Rakyat tidak bersedia dan seterusnya kecewa.

Apa yang rakyat bimbangkan kenaikan harga minyak ialah kesan jangka panjang kepada rakyat.

Walaupun kerajaan akan memberi pulangan subsidi semula kepada pemilik kenderaan persendirian berkapasiti enjin sehingga 2000cc serta pick up truck dan jip berkapasiti enjin sehingga 2500cc, bayaran tunai sebanyak RM625 setahun dan pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin sehingga 250cc, bayaran tunai sebanyak RM15 setahun namun kesan jangka panjangnya amat besar.

Sehingga kini tindakan kerajaan dilihat masih tidak dapat menampung lagi kenaikan sara hidup yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.

Apalah sangat wang tunai RM 625 dan RM 150 tetapi keseluruhan perbelanjaan sara hidup rakyat akan meningkat sekali ganda. Dalam keadaan ekonomi dunia yang lembap serta pasaran ekonomi tempatan yang biasa sahaja setentunya akan memberi kesan secara langsung kepada rakyat.

Kos sara hidup akan mengingkat akibat kenaikan harga barang dipasaran tempatan. Hakikatnya rkyat tidak boleh menghalang kenaikan ini dan kerajaan pun tidak berupaya untuk menghalang kenaikan harga barang. Inilah kesan inflasi.

Rakyat mengharapkan selepas Pilihanraya Umum ke-12, kerajaan dapat mempelajari sesuatu iaitu lebih peka kepada kehendak rakyat. Malahan kini kerajaan terus membebankan rakyat nukan mengurangkannya.

Apa agaknya kerajaan fikirkan?..

Pada pilihanraya yang lalu terdapat beberapa kumpulan yang dikenalpasti tidak menyokong kerajaan iaitu kumpulan bukan Melayu, kumpulan penduduk Bandar dan golongan muda.

Apakah selepas kenaikan harga minyak yang melampau ini, kumpulan ini akan beralih arah menyokong kerajaan. Dalam keadaan harga minyak tinggi, kumpulan pengundi bukan Melayu ini yang bekerja sendiri/ swasta setentunya akan menghadapi masalah kerana gaji mereka tetap ditakuk yang lama tetapi kenaikan sara hidup telah berubah dengan drastik yang tidak mungkin dapat ditampung dalam sekelip mata.

Manakala bagi kumpulan pengundi bandar pula setentunya pengingkatan sara hidup akan dirasai dengan ketara, sebelum ini kehidupan pengundi bandar sudah tertekan dengan sara hidup yang tinggi dan kini terus tertekan. Hasil usaha mereka siang dan malam hanyalah untuk keperluan hidup semata-mata tidak boleh membuat lebih selain itu. Bekerja lebih kuat bukan untuk bersenang lenang tetapi hanya untuk menampung keperluan semata-mata seperti bayaran sewa rumah, elektrik dan air, bayar kereta, minyak dan makan minum dan kualiti hidup semakin mengurang. Akhirnya anak-anak semakin terabai dan terjebak dalam gejala sosial yang kini semakin membimbangkan.

Bagi kumpulan muda ini, kehidupan mereka akan semakin terdesak. Bagi mereka yang baru akan memulakan kehidupan mereka ini akan semain tersepit dengan sara hidup yang terlalu tinggi.

Apa agaknya yang kerajaan akan terangkan dan jelaskan kepada rakyat?

1. Secara perbandingannya harga minyak kita lebih murah dari negara jiran.

2. Kerajaan tidak mampu menampung subsidi yang terlalu besar kerana kenaikan harga minyak dunia.

3. Kerajaan menampung sekian banyak subsidi untuk rakyat?

4. Kerajaan mengambalikan subsidi kepada rakyat.

5. Rakyat perlu bersama dalam keadaan susah dan senang kerajaan

Persoalannya kenapa naik sehingga 70 sen bagi petrol dan RM 1.00 bagi diesel bagi setiap liter. Tidak bolehkan naik secara berperingkat kerana ianya akan meningkatkan kenaikan harga barang dengan tinggi dan mendadak.

Adakah ini satu-satunya mekanisme dan pendekatan untuk mengatasi masalah kenaikan minyak?

Kita tidak boleh salahkan peniaga kerana kos yang tinggi tetap tidak akan mampu ditampung oleh peniaga.

Gaji rakyat tidak berubah, malah mereka terpaksa berkerja dengan lebih kuat lagi....
Kita perlu ingat sabda Rasulullah SAW yang bermaksud "kemiskinan hampir membawa kepada kekufuran". Manusia amat mementingkan 'perut' mereka. Mereka boleh buat apa sahaja untuk 'perut' mereka. Ini ialah hakikat.

Siapa yang tidak faham agaknya.... nampaknya isyarat rakyat pada pilihanraya umum ke12 lalu masih tidak membawa pengajaran apa-apa kepada kerajaan. Kerajaan masih belum peka kepada kehendak rakyat.

Rakyat: Apa lagi isyarat yang hendak diberi oleh rakyat?

Kongsi Link Anda