Popular Today

Rabu, Mei 28, 2008

Keputusan ICJ Cetuskan Isu Pertindihan Hak Kawasan Antara Malaysia-Singapura - MB Johor

JOHOR BAHARU, 24 Mei (Bernama) -- Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda semalam yang memberikan Singapura hak ke atas Pulau Batu Puteh manakala Malaysia terhadap Terumbu Karang Tengah, berkemungkinan mencetuskan isu pertindihan hak kawasan antara kedua-dua negara itu, kata Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman.

Beliau berkata isu pertindihan hak kawasan antara Malaysia dan Singapura itu timbul berikutan kedudukan Pulau Batu Puteh dan Terumbu Karang Tengah yang terlalu hampir antara satu sama lain.

"Saya percaya kerana keputusan mahkamah sebegitu rupa sehingga berkemungkinan ada pertindihan kawasan sempena dengan kedaulatan yang telah pun diberikan kepada Malaysia terhadap Terumbu Karang Tengah dan Singapura terhadap Pulau Batu Puteh."

"Agak menarik keputusan ICJ kerana kedua-dua pulau ini berdekatan tetapi kedaulatan berlainan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kilang bahan-bahan reka bentuk lanskap "Masiff Design" di sini, hari ini.

ICJ melalui pengundian 12-4 yang berpihak kepada Singapura menetapkan bahawa negara jiran itu mempunyai hak kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh, manakala Malaysia pula melalui pengundian 15-1 diberikan hak kedaulatan terhadap Terumbu Karang Tengah.

Berdasarkan penghakiman, keputusan ICJ terhadap Pulau Batu Puteh itu dibuat merujuk surat pegawai yang mewakili setiausaha kerajaan negeri Johor pada 1953 yang dianggap mahkamah sebagai bukti menyerahkan kuasa dan kedaulatan pulau itu kepada Singapura.

Mahkamah itu juga menetapkan bahawa Terumbu Karang Selatin adalah milik negara di perairan mana pulau itu terletak.

Pulau Batu Puteh sebesar separuh padang bola sepak terletak kira-kira 12.8 kilometer (km) dari Pengerang, Johor dan 64 km ke Timur Singapura. Jarak antara Terumbu Karang Tengah dengan Pulau Batu Puteh ialah 0.96 km manakala Terumbu Karang Selatin dengan Pulau Batu Puteh kira-kira 4 km.

Abdul Ghani berkata kini jawatankuasa teknikal yang bakal ditubuhkan oleh kedua-dua negara untuk mengkaji kesan perundangan dan melaksanakan keputusan ICJ itu perlu menyelesaikan dahulu isu pertindihan hak kawasan terbabit.

Ditanya sama ada kerajaan perlu bertindak membesarkan Terumbu Karang Tengah melalui kaedah penambakan bagi membolehkan ia dihuni manusia, beliau berkata kerajaan negeri menyerahkan keputusan itu kepada kerajaan pusat.

Dengan penyelesaian oleh ICJ terhadap tuntutan bertindih di tiga pulau itu, Abdul Ghani berkata selepas ini tidak timbul lagi isu berbangkit berkenaan pemilikan dan kedaulatan melibatkan pulau-pulau lain di perairan Johor, termasuk Pulau Pisang.

"Kedaulatan dan hak milik Pulau Pisang adalah jelas, pendaftaran tanah (Pulau Pisang) itu adalah jelas hak milik Johor," katanya.

Pulau Pisang yang terletak di perairan Pontian itu turut menempatkan sebuah rumah api yang kini diuruskan oleh pihak berkuasa Singapura.

Di MELAKA, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Mustapa Mohamed berharap jawatankuasa teknikal bersama Malaysia dan Singapura dapat menentukan sempadan baru perairan dengan secepat mungkin.

"Sempadan perairan ini penting untuk nelayan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan nama baru Jabatan Perkhidmatan Veterinar menggantikan Jabatan Perkhidmatan Haiwan di sini, hari ini.

Menurutnya terdapat lebih 1,500 nelayan di Pengerang, Johor yang selama ini berharap untuk beroperasi di kawasan Pulau Batu Puteh, tidak kesampaian berikutan keputusan ICJ itu.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda