Rabu, Mei 28, 2008

Pakatan Pembangkang gesa boikot Utusan

May 27, 08 12:53pm
Pakatan Rakyat menggesa pembaca dan pengiklan supaya memboikot akhbar Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia yang didakwanya terus-menerus menyiarkan laporan yang cuba merosakkan gabungan tersebut.

Gesaan itu terkandung dalam satu kenyataan yang ditandatangani bersama oleh presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail, timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa dan setiausaha agung DAP Lim Guan Eng yang juga ketua menteri Pulau Pinang.

Ketika membaca kenyataan tersebut di bangunan Parlimen pagi ini, Wan Azizah berkata, kini nampaknya sudah ada "pembukaan kecil" dalam laporan media arus perdana terhadap berita-berita mengenai Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun, tambah kenyataan itu lagi, media perdana masih bersikap tidak adil dan terus menyiarkan lebih banyak laporan untuk BN berbanding dengan Pakatan.

Namun begitu, tegasnya, laporan mengenai Pakatan mempunyai unsur-unsur keterlaluan dan bersifat merosakkan parti-parti dan para pemimpin gabungan tersebut.

Kenyataan itu mendakwa, akhbar paling teruk Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia yang didakwanya masih menggunakan cara tidak adil untuk mengkritik dan merosakkan Pakatan dan pemimpin-pemimpin utamanya, seolah-olah kempen pilihanraya masih berjalan.

Kenyataan itu juga mendakwa, Utusan cuba mengapi-apikan sentiman perkauman sempit, terutama membangkitkan kemarahan orang Melayu terhadap Pakatan dan pemimpin-pemimpin utamanya.

Oleh sebab sikap yang tidak adil dan tidak bertanggungjawab itu, maka Pakatan menggesa semua orang mulai hari ini memboikot dua akhbar kumpulan Utusan Melayu (M) Bhd.

Dalam kenyataan itu, mereka menggesa para pengiklan yang prihatin supaya segera berhenti daripada mengiklan dalam akhbar-akhbar berkenaan.

Kenyataan Karpal

Berhubung isu kenyataan pengerusi DAP Karpal Singh, ketiga-tiga pemimpin berkenaan sependapat bahawa menteri besar mempunyai hak untuk menukar kakitangan kerajaan tetapi pada masa yang sama, harus mengiktiraf peranan Sultan dalam isu-isu mengenai Islam.

"Pakatan berpendapat, semua pihak patut menerima bahawa menteri besar mempunyai kuasa untuk menukar pegawai-pegawai dalam negerinya," kata kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, kata mereka, dalam isu jawatan ketua agama negeri, Sultan sebagai pemimpin agama negeri, patut diminta pandangan terlebih dahulu.

Dalam kenyataan itu lagi, Pakatan menegaskan bahawa pandangan Karpal bersifat peribadi yang berdasarkan kepada undang-undang.

Katanya, Pakatan menerima penjelasan Karpal bahawa beliau tidak berniat menghina Sultan.

Sehubungan itu, mereka berharap semua pihak dapat menerima penjelasan tersebut dan berhenti daripada mengapi-apikan isu itu bagi mengelak ketidakstabilan dalam hubungan kaum.

Dalam kenyataan yang sama, Pakatan membidas media yang dikuasai oleh BN dan pemimpin Umno kerana mempolitikkan isu tersebut.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda