May 28, 08 4:52pm (Malaysia kini)
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharin menegaskan bahawa beliau tidak berhasrat untuk menyertai Umno dan menolak sebarang kaitan dengan kemasukan semula bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Noor ke dalam Umno.
Ezam telah menyerahkan borang keahlian untuk menyertai semula Umno, kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi petang tadi.
"Saya juga menafikan bahawa Ezam ada memujuk saya memasuki Umno dan jauh lagi menawarkan habuan untuk saya memasuki Umno atau keluar PKR," katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini sebuah blog mendakwa "satu pertemuan sulit" berlangsung antaranya dengan Ezam beberapa minggu sebelum bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dilaporkan akan menyertai Umno.
Dalam pertemuan tersebut, menurut blog itu lagi, Ezam meyakinkan bekas calon parlimen Rembau itu agar turut menyertai Umno "bagi mengukuhkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan menyekat kemaraan penentang-penentang perdana menteri".
"Dengan ini 'reformasi' dan perang melawan rasuah lebih mudah untuk dilakukan," catatan di blog itu dipetik, yang mendakwa ia menerima maklumat tersebut dari mesej emel yang dikirimkan kepadanya.
"Ezam juga menjanjikan jawatan besar kepada Badrul jika beliau setuju untuk masuk Umno," kata blog itu lagi.
Enggan komen
Badrul Hisham dan Ezam aktif dalam AMK sebelum Ezam meninggalkan sayap pemuda itu dan kemudian bersama Gerakan Demokrasi dan Anti-Korupsi (GERAK), yang ditubuhkan Ezam, selepas pemimpin itu meninggalkan PKR.
Ketika dihubungi Malaysiakini Isnin lalu bertanyakan mengenai perkara tersebut, Badrul Hisham menjawab: "Saya tidak mahu komen mengenai perkara itu. Tetapi saya akan membuat pengumuman selepas saya berbincang dengan Ezam. Saya menerima banyak pertanyaan mengenai perkara ini tetapi ketika ini saya enggan membuat komen."
Dalam kenyataan hari ini, Badrul Hisham berkata, beliau kurang pasti niat mengenai laporan pelbagai media yang melaporkan ada pertemuan sulit antara beliau dengan Ezam.
"Memang diakui saya ada bertemu beliau dan kerap berhubung dengan beliau mutaakhir ini, sebagai seorang teman. Tiada pertemuan sulit.
"Kami membincangkan secara serius mengenai masa depan GERAK sebuah gerakan muda yang memfokuskan usaha pembanterasan rasuah dan pemerkasaan demokrasi yang saya terlibat membantu Ezam menubuhkanya.
"GERAK telah diserahkan kepada sekumpulan anak muda untuk mengekalkan sikap non-partisan demi matlamat kelahirannya yang lebih besar," tambahnya.
'Ezam masih teman saya'
Sebelum ini, kata Badrul Hisham, beliau mengelak memberikan komen kerana melihat perkembangan Ezam yang sememangnya sudah setahun lebih keluar parti, tidak perlu diperbesarkan.
"Saya tidak mahu terperangkap untuk memberi komen dalam peristiwa yang kurang penting. Saya selaku MPT yang dipilih melalui pertandingan parti, tidak akan sekali kali mengkhianati mandat yang diberikan kepada saya oleh perwakilan parti.
"Ezam masih teman saya. Semoga beliau tidak 'hanyut' dalam Umno," tambahnya.
Badrul Hisham berkata, beliau percaya rakan-rakan MPT yang lain juga sedang secara serius dan bersungguh-sungguh mempersiapkan PKR dan Pakatan Rakyat yang berada di peringkat akhir untuk mengambil alih kerajaan pusat.
"Saya menyeru seluruh pimpinan, ahli parti dan aktivis reformasi terus bekerja keras demi merealisasikan agenda pemerkasaan kedaulatan rakyat," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan