Popular Today

Rabu, Mei 28, 2008

Tukar pegawai masjid perpecahan Melayu

TINDAKAN Kerajaan Selangor yang diperintah oleh Pakatan Rakyat untuk membentuk ahli jawatankuasa masjid baru bagi menggantikan yang sedia adalah semata-mata untuk meletakkan masjid dan surau di bawah kuasa politik sepenuhnya.

Tindakan tersebut boleh dilihat angkuh memandangkan wakil Pas dan wakil PKR Melayu tidak mencerminkan kuasa majoriti orang Melayu khasnya orang Islam di Selangor.

Langkah sedemikian akan memecahbelahkan lagi orang-orang Melayu di Selangor.

Sebarang pertukaran AJK masjid perlu dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh orang-orang Islam. Oleh itu perlu dikaji terlebih dahulu semua masalah berhubung dengan pentadbiran masjid.

Pertukaran AJK masjid yang dicadangkan oleh Selangor perlu berupaya untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi bukan sebaliknya menambah masalah yang sedia ada.

Penyalahgunaan masjid untuk kepentingan politik merupakan masalah paling besar yang dihadapi oleh umat Islam.

Masalah menggunakan masjid untuk kepentingan politik adalah perkara biasa berlaku di masjid dan surau yang mempunyai AJK yang terdiri daripada penyokong-penyokong Pas.

Majlis yang sepatutnya bertujuan menyampaikan ilmu selalu bertukar menjadi majlis memaki-hamun.

Ayat-ayat suci al-Quran diselewengkan untuk kepentingan parti. Contoh yang paling ketara ialah mengeluarkan fatwa mengkafirkan orang yang tidak sehaluan dengan pendirian mereka. Khutbah Jumaat digunakan untuk memaki hamun pemimpin negara, memfitnah dan memburuk-burukkan orang bertujuan menghasut kariah membenci orang-orang tertentu.

Malah banyak lagi perkara yang melanggar peraturan agama yang dilakukan oleh orang-orang yang diamanahkan untuk mengembangkan agama dan menyatupadukan orang Islam. Jelas penyelewengan ini telah menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam.

Soalnya bolehkah pertukaran AJK Masjid yang dicadangkan oleh Pas yang bertanggungjawab mengwujudkan masalah mempolitikkan masjid dapat menyelesaikan masalah yang yang diyatakan tadi? Langkah Exco Hal Ehwal Agama, Dr. Hassan Ali perlu dikaji dengan teliti oleh pihak Istana selaku institusi diraja yang menjaga hal ehwal agama Islam.

Sudah tiba masanya pihak istana bertegas untuk melarang surau-surau dan masjid dipolitikkan demi menjaga perpaduan ummah.

Biarlah ceramah politik diadakan di markas-markas parti politik sahaja dan bukan di masjid dan surau. Kalau mahu ditukar, tukarlah AJK masjid dan surau yang sewenang-wenangnya menggunakan surau dan masjid secara tidak amanah dan mempolitikkan aktiviti surau dan masjid.

DilarangImam-imam yang menyeleweng membaca khutbah sepatutnya disenarai hitamkan. Begitu juga penceramah yang mempolitikkan institusi agama sepatutnya dilarang menyampaikan ceramah agama.

Sistem melantik AJK masjid dan surau yang diamalkan perlu diteruskan demi menjaga perpaduan orang Islam. Berilah kuasa kepada kariah tempatan melantik orang yang mereka percaya untuk menguruskan masjid dan surau. Bagaimanapun Jabatan Agama Islam perlu tegas memantau perjalanan pengurusan surau dan masjid supaya tiada penyelewengan berlaku.

Mesyuarat tahunan surau dan masjid perlu dijalankan mengikut masa dan penyata kewangan dan laporan tahunan perlu dihantar ke jabatan setiap tahun.

Pihak jabatan pula perlu menyiasat segala aduan yang dibuat oleh ahli kariah. Insyaallah jika semua peraturan diikuti, penyelewengan tidak akan berlaku. Masjid dan surau akan kembali ke fungsi asal iaitu tempat beribadat dan menimba ilmu yang benar-benar memanfaatkan umat Islam.

ABDULLAH M

Selangor

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda