Popular Today

Rabu, Oktober 15, 2008

Hindraf diisytihar sebagai pertubuhan haram

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini mengisytiharkan Hindraf adalah sebuah pertubuhan haram yang menyalahi undang-undang.

Pengisytiharan itu diwartakan berkuatkuasa hari ini setelah berpuas hati dengan segala fakta dan bukti bahawa Hindraf telah dan sedang digunakan bagi maksud memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara dan akhlak, katanya dalam satu kenyataan.

"Berdasarkan kuasa di bawah Sekyen 5(1) dan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335), diisytiharkan Hindraf adalah sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang," katanya dalam laporan Bernama.

Beliau berkata perintah itu dibuat hasil pemantauan dan penyiasatan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri mengenai kegiatan-kegiatan pertubuhan tersebut yang telah dijalankan sejak mula ditubuhkan sehingga sekarang.

Hasil siasatan mendapati pertubuhan itu bertentangan dengan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan boleh memudaratkan ketenteraman awam, keamanan, keselamatan, ketertiban dan nilai-nilai moral di Malaysia.

Syed Hamid berkata sekiranya tidak dibendung, Hindraf akan terus mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan dan kedaulatan negara malah menjejaskan keharmonian hidup berbilang kaum.

"Tindakan pengharaman yang diambil bukannya berasaskan kepada satu atau dua kegiatan pertubuhan yang menyalahi peraturan dan undang-undang tetapi meliputi rentetan semua kegiatan dan aktiviti yang telah dilakukan sejak pertubuhan ini diwujudkan," katanya.

Syed Hamid berkata Hindraf mempunyai ciri-ciri sebagai sebuah pertubuhan kerana telah mengemukakan permohonan pendaftaran pada 16 Oktober tahun lalu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan.

Permohonan itu, katanya, belum diluluskan tetapi pertubuhan tersebut telah bergerak aktif dengan menganjurkan beberapa perhimpunan awam dan demontrasi tanpa permit dan mengeksplotasi isu-isu perkauman sehingga mencetuskan kebangkitan penentangan sebahagian keturunan India terhadap kerajaan dan menimbulkan kebencian di antara orang-orang Melayu dan India di negara ini.

"Hindraf juga telah berusaha mendapatkan sokongan dari negara asing bagi memberi tekanan kepada kerajaan supaya tunduk kepada tuntutan-tuntutan mereka. Kegiatan dan aktiviti ini telah memberi kesan buruk pada imej negara," katanya.

Syed Hamid menasihati orang ramai agar tidak melibatkan diri dalam apa cara sekalipun dalam kegiatan Hindraf yang diharamkan itu.

Aspirasi kata : HINDRAF sepatutnya diistiharkan sebagai pertubuhan haram lebih awal lagi. Semuanya tindakan Hindraf bermaksud menggugat kestabilan negara. Namun apa yang penting Hindraf bukan sahaja pertubuhan haram bahkan ianya adalah kumpulan pelampau agama kerana tidak mempunyai rasa hormat dan toleransi.

2 ulasan:

sumandak bayu berkata...

Salam Bro....

Nilah bukti dia pertubuhan haram yang sering bertindak agresif dan ekstrim kepada pemimpin negara.

Kita nanti pula ape kata-kata pengikut HINDRAF......

Aspirasi berkata...

Apa yang haram tu memang haram dan selepas ni jika Hindarf agresif lagi, masukkan je dalam ISA takkan tak faham bahasa lagi...

Kongsi Link Anda