|
Mukadimah
MENTERI Mentor Singapura, Lee Kuan Yew telah mencetuskan kontroversi apabila berkata masyarakat Cina di Malaysia dan Indonesia cuba dipinggirkan secara bersistematik.
Bekas Perdana Menteri negara republik itu membuat kenyataan tersebut dalam satu majlis forum yang diadakan sempena Mesyuarat Bank Dunia-Dana Kewangan Antarabangsa di negara pulau itu baru-baru ini.
Tindakan Kuan Yew mencetuskan kemarahan di kalangan para pemimpin di Malaysia dan Indonesia yang menyifatkan komen yang dibuatnya itu umpama menghasut masyarakat Cina di kedua-dua negara jiran republik tersebut.
Tindakan itu dilihat sebagai satu cubaan mencampuri urusan dalam sesebuah negara lain dan disifatkan sebagai bertentangan dengan semangat yang diamalkan oleh negara-negara ASEAN.
Namun bagi Prof. Mohammed Yacob, 89, bekas setiausaha politik kepada Ketua Menteri Singapura yang kedua, Lim Yew Hock, pemimpin negara pulau itu (Kuan Yew) telah meminggirkan masyarakat Melayu secara bersistematik sejak tahun 1959 lagi apabila Parti Tindakan Rakyat memerintah pulau itu.
Wartawan Mingguan Malaysia, Zaharuddin Mohd. Ali dan Mohd. Fairuz Yusof serta jurugambar, Ishak Rahmad telah menemui Prof. Mohammed Yacob untuk mendapatkan pandangan beliau mengenai kenyataan Kuan Yew itu.
Prof. Mohammed yang kini menetap di Johor Bahru menyifatkan kaedah pemerintahan di Singapura sejak Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengambil alih pemerintahan di republik itu menyebabkan orang Melayu di republik itu tidak berani bersuara dan tidak dapat mencari rezeki di tanah air sendiri.
Menurutnya, ini berlaku kerana undang-undang yang dibuat menjadikan mereka ‘terikat’... mengakibatkan apa juga tindakan yang mahu dilakukan menjadi terbatas ekoran rancangan licik Kuan Yew.
MINGGUAN: Pada pandangan Prof. apakah kesan langsung terhadap masyarakat Melayu Singapura hari ini akibat tindakan pemerintah republik itu meminggirkan masyarakat Melayu
PROF. MOHAMMED: Apa yang saya akan katakan mungkin kasar bunyinya, takut pula nanti (awak) terlajak tulis, tetapi saya berani katakan masyarakat Melayu di Singapura tidak berani.
Mereka bimbang rezeki mereka disekat jika bersuara. Umpamanya pendapatan mereka berbanding masyarakat Melayu di Malaysia. Contohnya secara purata mereka mendapat gaji S$2,000 dan dengan gaji sebanyak itu berbanding mata wang Malaysia tentulah mereka boleh hidup mewah.
Sebab itulah kebanyakan warga Singapura memasuki negeri ini (Johor) kerana mereka mahu berbelanja di sini. Cuma bezanya nilai mata wang mereka tinggi berbanding ringgit Malaysia.
Faktor pendapatan ini menyebabkan mereka selesa dan enggan mencari masalah... datang ke Malaysia membeli-belah kerana semua barangan yang dijual di sini murah berbanding negara sendiri.
Apa komen Prof. mengenai tuduhan kononnya masyarakat Cina di Malaysia dan Indonesia dipinggirkan oleh pemerintah mereka?
PROF. MOHAMMED: Mengenai tuduhan Malaysia menjadikan orang-orang Cina di sini ‘pak turut’ sebenarnya Kuan Yew juga telah menjadikan orang Melayu Singapura ‘pak turut’.
Pemimpin Melayu di republik itu takut. Saya tahu kerana saya dibesarkan di Singapura selama 60 tahun. Selepas itu dipaksa balik kerana ada orang memaklumkan kepada saya supaya kembali ke Malaysia kerana kawan-kawan saya kena tangkap. Antaranya, Dr. Jali Muin dan Kapten Mat Said. Abdullah Bachumi pula melarikan diri.
Satu mesyuarat jawatankuasa bertindak orang Melayu yang dianggotai oleh 25 orang diadakan di Pasir Panjang dan saya salah seorang ahli jawatankuasa itu. Selepas mesyuarat itu, Dr. Jali dan Kapten Mat Said ditangkap dan ditahan selama dua tahun. Selepas dibebaskan, mereka jadi ‘orang baik’.
Akibatnya orang Melayu menjadi ‘pak turut’ dan tidak boleh bersuara. Tetapi mereka (pemerintah) pandai dan dalam aspek-aspek tertentu dia (pemerintah) mahu Melayu maju hanya berdasarkan kuota.
Dulu sebelum PAP berkuasa, terdapat perkampungan Melayu di Singapura. Kerajaan Perikatan (sebelum berpisah daripada Malaysia) ada wartakan dalam perlembagaan mengenai penempatan orang Melayu.
Semua masyarakat Melayu berkumpul di sana. Jadi apabila PAP berkuasa, mereka ubah perlembagaan. Pemerintah ambil tanah orang Melayu dan digantikan dengan wang pampasan.
Jadi orang Melayu diberi (tempat tinggal) rumah pangsa. Dengan itu (secara halus) kekuatan Melayu terhakis. Pemerintah melakukan ini secara terang-terang. Ketika itu orang Melayu tidak sedar... tetapi jika ada yang sedar sekalipun mereka tidak berani bersuara.
Masa itu saya bergerak tetapi secara tidak bersuara... saya kena berhati-hati... saya juga menyertai politik Singapura selama 60 tahun. Saya sertai kesatuan sekerja di Singapura ketika itu bersama-sama Lee Hsien Seong.
Adakah sebarang bentuk ancaman yang dilakukan oleh pemerintah Singapura terhadap orang Melayu
PROF. MOHAMMED: Pemerintah (Singapura) bukan mengancam tetapi menggunakan taktik ‘brain wash’ atas nama ingin melakukan sesuatu kebaikan kepada orang Melayu... umpamanya dengan memodenkan kampung-kampung tersebut.
Hakikatnya, jika kampung-kampung orang Melayu dimodenkan, wakil-wakil pemimpin Melayu ini akan kehilangan kuasa.
Selepas itu, kedudukan orang Melayu di kampung-kampung ini akan dipecah-pecahkan berdasarkan kuota.
Ketika itu, dalam sesebuah kawasan penempatan baru yang diwujudkan, 72 peratus diberikan kepada kaum Cina, 16 peratus kepada masyarakat Melayu manakala 12 peratus untuk kaum India dan lain- lain.
Keadaan ini dengan sendirinya mengakibatkan orang Melayu hilang kuasa (khususnya ketika pilihan raya) kerana tidak akan berupaya memperoleh sebarang majoriti.
Pemerintah akan memujuk orang Melayu dengan mengatakan penempatan baru yang mereka sediakan lebih baik, bersih dan sebagainya.
Pemerintah juga membuat peraturan dan mewujudkan sekolah di kawasan penempatan baru itu, dan berusaha ‘memuaskan hati’ penduduk kawasan itu.
Apakah bentuk bantahan yang dibuat oleh orang Melayu kepada pemerintah ketika itu?
PROF. MOHAMMED: Mereka tidak boleh protes. Pada mulanya orang Melayu gunakan cara lembut dengan mengutus surat dan meminta sesuatu kepada pemerintah. Bila adakan mesyuarat mereka kata baik-baik tetapi semua permintaan yang dibuat ditolak.
Yang jadi masalah kepada Singapura dan dianggap penghalang kepada kemajuan negara (ketika itu) ialah orang Melayu.
Rusuhan di Singapura pada tahun 1964, mereka mendakwa UMNO menjadi dalang. Saya ada dalam jawatankuasa bertindak Melayu dan saya nampak semua itu.
Kalau saya ke depan dan bersuara... saya akan ditahan dan dipenjarakan... dikenakan tindakan di bawah Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Pada pandangan Prof. bagaimana dengan pencapaian orang Melayu di Singapura sekarang?
PROF. MOHAMMED: Sekarang sudah ada orang Melayu menceburi bidang perniagaan. Pemerintah beri peluang kepada orang Melayu supaya belajar dan pekerjaan dalam bidang tertentu.
Jadi orang-orang ini diberi biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke luar negara. Tetapi persoalannya berapa ramai yang diberi peluang untuk menyambung pengajian? Dan apabila mereka balik ke negara, mereka ini akan berterima kasih kepada kerajaan. Mereka ini pula akan dilantik memegang jawatan tinggi dalam kerajaan. Malah ada yang dipilih menyertai politik untuk menyokong pemerintah.
Dalam soal pendidikan, berapa ramai orang Melayu yang lulus dan jadi peguam atau doktor? Pemerintah ada kuota. Sebagai contoh, kalau di universiti, mata pelajarannya banyak... kalau 100 orang diambil, 72 orang adalah kaum Cina, 16 Melayu dan 12 India.
Jadi 16 (budak) Melayu ini kalau nak minta jadi peguam... mereka tidak akan diterima walaupun lulus. Banyak Melayu akan dihantar menjadi guru.
Apa pandangan Prof. tentang pertubuhan Melayu di Singapura sama ada mereka benar-benar ada peranan untuk masyarakat Melayu pada masa ini.
PROF. MOHAMMED: Para pemimpin pertubuhan Melayu di Singapura sekarang ini hanya menjaga kepentingan persatuan masing-masing.
Kalau menentang sahaja mereka ini akan dikenakan tindakan. Pemerintah akan panggil dan tahan. Mereka ini (pemimpin-pemimpin pertubuhan) akan di ‘brain wash’. Apabila keluar sahaja dari tempat ditahan ini, mereka akan melepaskan jawatan yang disandang.
Saya sendiri pada tahun 1969 mempunyai persatuan rakyat. Jadi ketika itu di kampung-kampung Melayu ada wakil-wakil PAP. Ada kerjasama antara orang Melayu dengan PAP.
Nama saya dimasukkan (ke dalam persatuan itu) tetapi hanya bertahan selama enam bulan dan kemudian dikeluarkan kerana mereka bimbang saya akan timbulkan penentangan.
Pemerintah ada berkata, mana-mana ahli baru yang tidak bersetuju dengan pemerintah akan dihapuskan dengan matlamat kononnya untuk membangunkan negara.
Apakah bentuk diskriminasi terhadap orang Melayu sehingga hari ini?
PROF. MOHAMMED: Diskriminasi dilakukan oleh pemerintah membabitkan soal pelajaran dan ketenteraan selain soal keagamaan dikawal.
Saya pernah menghantar surat kepada Lee Kuan Yew meminta tolong bagi mengubah nasib orang Melayu tetapi tidak dilayan.
Apa nasihat Prof. kepada orang Melayu di Malaysia?
PROF. MOHAMMED: Oang Melayu... kalau kita bekerja, bekerjalah kerana Allah. Selain itu kita perlu berjihad, bekerja dengan ikhlas, jujur dan berintergriti. Kalau kerja tak ikhlas... orang tak suka. Selain itu kita mesti menjaga akhlak. Tegur dengan cara berhemah dan orang Melayu mesti sedia berubah.
1 ulasan:
Perkara 152 dalam perlembagaan Singapura adalah serupa dengan perkara 153 dalam perlembagaan Malaysia iaitu menjamin hak istimewa kepada orang Melayu yang lemeh kerana dilemahkan di zaman penjajahan dahulu. Apakah hak istimewa itu terlaksana.
Semasa merdeka dahulu orang melayu di Singapura ada berapa peratus. Sekarang ada berapa peratus. Mengapa ?
Catat Ulasan