Sabtu, Mei 10, 2008

Diumum Isnin ini bagi kurangkan beban rakyat – PM, Pelan atasi inflasi

Oleh SAMSOR JUNET

KUALA LUMPUR 9 Mei – Kerajaan akan mengumumkan pelan tindakan khusus Isnin ini bagi membendung masalah inflasi terutama kenaikan harga beras, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, tindakan itu diharap dapat mengurangkan beban rakyat ekoran kenaikan harga barangan serta minyak yang turut menyebabkan kerajaan terpaksa menanggung subsidi sehingga RM45 bilion pada tahun ini.

Katanya, atas arahan Kabinet, Jawatankuasa Menangani Inflasi dalam mesyuarat minggu depan akan menghalusi beberapa cadangan yang bertujuan menjaga kebajikan rakyat.

“Saya telah jelaskan dalam mesyuarat Kabinet hari ini tentang tindakan yang telah dicadangkan dan akan diambil apabila Jawatankuasa Menangani Inflasi bermesyuarat Isnin ini.

“Kita nak pastikan negara tidak mengalami kekurangan bekalan beras yang merupakan bahan makanan yang sangat penting.


“Selepas mesyuarat itu, satu keputusan akan dikeluarkan,’’ kata Abdullah pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di sini hari ini.

Abdullah menjelaskan, kerajaan akan memastikan rakyat tidak terbeban walaupun terdapat kenaikan harga barangan.

Menurut beliau, dalam mesyuarat hari ini MT UMNO juga dimaklumkan mengenai lawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed ke Thailand untuk membincangkan rancangan membeli beras dari negara pengeluar beras terbesar dunia itu.

Abdullah memberitahu, isu kenaikan harga padi dan beras berkait rapat dengan krisis kekurangan bekalan makanan yang diperkatakan di seluruh dunia.

Pada mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada 29 April lalu, Abdullah mengumumkan mekanisme baru bagi mengawal kenaikan mendadak harga barangan termasuk bahan-bahan binaan.

Mekanisme itu bertujuan memastikan projek-projek yang dirancang dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

Laporan Utusan Malaysia 10/5/08

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda