Sabtu, Mei 10, 2008

Karpal terus pertahan kenyataannya

Abdul Rahim Sabri | May 9, 08 4:31pm
Pengerusi DAP, Karpal Singh tetap mempertahankan kenyataannya bahawa kerajaan negeri Perak berhak menukar pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury.

Sebaliknya, kata Karpal, beliau berpegang teguh dengan kenyataannya kerana ia adalah kebenaran dan kebenaran mesti ditegakkan setiap masa dalam mendepani apa jua rintangan di hadapan.

Karpal juga menegaskan bahawa beliau tidak gentar kepada sesiapa atau mana-mana pihak.

Katanya, apa yang dibangkitkannya itu adalah semata-mata membabitkan isu perundangan dan beliau tidak sesekali mempersoalkan budibicara Sultan Perak sebagai ketua agama Islam di negeri tersebut, seperti yang dijamin di bawah Pasal 3(2) Perlembagaan Persekutuan.

Jumaat lalu, Sultan Azlan menitahkan menteri besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin supaya menarik balik arahan pertukaran terhadap Jamry yang dibuat pada 29 April selepas pengarah JAIP didakwa tidak memberi kerjasama kepada kerajaan negeri.

Karpal yang juga ahli parlimen Bukit Gelugor berkata, beliau menggesa perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mendapatkan nasihat undang-undang daripada peguam negara, Tan Sri Gani Patail, sebelum mengeluarkan kenyataan menyerangnya berhubung isu tersebut.

Perdana menteri lemah

"Saya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap perdana menteri dan timbalannya,Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya mereka masih mahu membuat kenyataan yang memfitnah saya," katanya.

Bercakap dalam satu sidang akhbar hari ini, Karpal berkata beliau menjangkakan perdana menteri sudah matang dalam politik tetapi sebaliknya (Abdullah) bersama-sama yang lain bertindak menyerangnya.

Oleh itu, beliau mendakwa Abdullah telah menjadikan isu tersebut - yang menurutnya satu isu perundangan - kepada isu yang berunsur perkauman.

"Kenyataan yang saya keluarkan pada 3 Mei lalu sama sekali tidak berniat untuk menimbulkan kemarahan atau menyinggung mana-mana pihak terutama sekali Sultan Perak.

"Jelas sekali, saya tidak melakukan sebarang kesalahan dan mereka yang membuat laporan (polis) terhadap saya mesti bersedia menanggung akibatnya," katanya.

Karpal mendakwa, Abdullah cuba mengalih perhatian daripada kedudukannya yang semakin goyang sebagai perdana menteri ekoran desakan bahagian-bahagian Umno supaya Abdullah meletak jawatan, di samping berdepan dengan cabaran Tengku Razaleigh yang akan bertanding jawatan presiden Umno Disember ini.

Boleh menyifatkan Abdullah sebagai seorang perdana menteri yang lemah.

Semalam tiga laporan dibuat terhadap Karpal berhubung kenyataannya itu.

Laporan polis itu dibuat oleh Umno, Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) dan Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM).

Sebelum itu, Pemuda Umno Perak turut membuat laporan yang sama terhadap Karpal.

Laporan Malaysia Kini 10/5/40

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda