Popular Today

Sabtu, Mei 10, 2008

MAIPP diminta beri penjelasan

May 9, 08 7:28pm
Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP) telah diminta memberi penjelasan mengenai kegagalannya membimbing dan menjaga kebajikan golongan mualaf di negeri itu sehingga ada yang kembali ke agama asal mereka.

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohammad Fairus Khairuddin berkata, Yang Dipertua MAIPP Shabuddin Yahaya perlu membuat penjelasan itu kerana kegagalan MAIPP telah memberi kesan kepada akidah seorang mualaf seperti dalam kes Siti Fatimah Tan Abdullah (kiri) yang telah keluar daripada Islam setelah dibenarkan oleh mahkamah.

Menurut laporan Bernama, beliau amat sedih dan kecewa apabila membaca laporan akhbar mengenai teguran Ketua Hakim Syarie Perlis, Othman Ibrahim, yang telah mengendalikan perbicaraan kes wanita itu, bahawa MAIPP seharusnya menyelia dan membimbing golongan yang baru memeluk agama Islam.

"Saya kesal mengapa mereka boleh membiarkan perkara seperti ini berlaku dan di manakah tanggungjawab mereka terhadap golongan mualaf itu," kata Mohamad Fairus yang juga bertanggungjawab terhadap portfolio agama dalam exco kerajaan negeri.

Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang semalam telah membenarkan permohonan Siti Fatimah, yang nama sebenarnya Tan Ean Huang, 39, untuk mengisytiharkan dirinya keluar daripada Islam setelah dia tidak mengamalkan ajaran itu sejak memeluk agama berkenaan.

Dalam tuntutannya, Siti Fatimah berkata dia memeluk Islam hanya bagi membolehkannya berkahwin dengan seorang lelaki rakyat Iran dan sepanjang memeluk agama Islam, dia masih lagi menyembah berhala Tok Pek Kong, berhala Kuang Tin Ne dan berhala Ti Kong (Dewa Langit) mengikut ajaran agama asalnya, Buddha dan memakan daging babi.

Laporan Malaysia Kini 10/5/08

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda