Sabtu, Mei 10, 2008

PRM: Lawan Karpal dengan hujah

May 10, 08 11:04am
Parti Rakyat Malaysia (PRM) berpendapat bahawa isu kenyataan pengerusi DAP, Karpal Singh mengenai Sultan Perak dan teks ucapan Yang di-Pertuan Agong perlu ditangani secara bijaksana.

Presidennya, Hassan Abdul Karim berkata, ia boleh dilakukan dengan tampil berhujah secara rasional, berdasarkan undang-undang dan fakta sejarah, bukannya menekan dan menutup mulut Karpal dengan membuat laporan polis supaya tindakan diambil terhadapnya di bawah Akta Hasutan.

"Malaysia sudah lebih 50 tahun merdeka sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berpelembagaan. Cepat atau lambat, Malaysia akan berdepan dengan isu-isu perundangan seperti yang dibangkitkan oleh Karpal," katanya dalam satu kenyataan.

"Apa faedah yang Malaysia dapat sekiranya Karpal didakwa di bawah Akta Hasutan dan kemudiannya, jika didapati bersalah, dicampak ke penjara, sedangkan isu yang beliau bangkitkan tidak dijawab dan diberi penyelesaian?" soalnya.

Katanya, PRM berpendapat bahawa apa yang dibuat oleh Karpal dan cara ia dilakukan, tidak semestinya betul dan apa yang beliau cakap tidak semestinya benar.

"(Bagaimanapun), kita jangan takut membicarakan isu-isu yang Karpal luahkan dan kerana itu mahu segera mulut Karpal ditutup dengan ancaman Akta Hasutan.

"PRM percaya, sudah sampai masanya kita memikirkan dengan serius tentang keperluan menubuhkan Mahkamah Perlembagaan di Malaysia," tambahnya.

Katanya, isu yang Karpal bangkitkan tentang apa yang berlaku antara Istana Perak dan menteri besarnya, berhubung pertukaran dan perlantikan semula Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) adalah isu perundangan membabitkan bidangkuasa kerajaan negeri dan Sultan.

Rujuk pada perlembagaan

"Perlembagaan negeri Perak dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia perlu dirujuk. Tidak cukup itu, amalan konvensyen perundangan yang digunapakai selama ini, juga perlu diteliti," kata Hassan.

Menurutnya, Karpal perlu diperingatkan bahawa negeri ini bukan negara demokrasi ala Amerika atau Perancis yang tidak beraja.

"Di Malaysia masih ada raja. Ada sembilan Raja-Raja Melayu di 13 negeri dalam Persekutuan Malaysia. Raja-Raja itu juga ada kuasa-kuasa yang tersurat dan juga tersirat dalam Perlembagaan negeri masing-masing dan juga Perlembagaan Persekutuan.

"Kerajaan Persekutuan adalah atas nama Kerajaan Yang di-Pertuan Agong, manakala kerajaan negeri Perak adalah atas nama Kerajaan Sultan Perak.

"Dalam hal ini, maka kritikan Karpal terhadap tindakan Sultan Perak tidak semestinya tepat. Karpal mungkin silap dari segi perundangan tetapi adakah dia menghina Sultan?" soalnya.

PRM, tegas Hassan, percaya bahawa pihak-pihak tertentu tidak wajar dengan cepat menuduh seseorang itu menghina Sultan.

"Jika tanpa niat jahat tetapi demi kepentingan umum, seseorang itu perlu mempersoalkan sesuatu tindakan Sultan dari segi perundangan, maka ia tidak patut dianggap menghasut atau menghina.

"Kita perlu ingat, dalam semangat demokrasi, kita rakyat Malaysia mahu maju ke depan membebaskan diri kita dari belenggu sistem feudalisme. PRM menghormati sistem kenegeraan Malaysia waktu ini yang bersifat dualisme iaitu Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

Laporan polis

"Raja Berperlembagaan berbeza dengan sistem raja mutlak. Justeru itu, PRM membantah tindakan Umno dan pihak-pihak tertentu yang cuba menggunakan Akta Hasutan atau ISA untuk menakut-nakutkan rakyat supaya jangan menyentuh bidangkuasa istana," katanya.

Hassan berkata, PRM berpendapat, pihak-pihak seperti Umno yang mahu mempertahankan status quo yang ada sekarang, supaya jangan menghabiskan masa membuat laporan polis terhadap Karpal.

Sebaliknya, tegas beliau, mereka boleh menjawab hujah Karpal dengan mengingatkan pengerusi DAP itu bahawa Semenanjung Malaysia yang dikenali sebagai Malaya, dulunya dipanggil Tanah Melayu.

"Selepas 1957, ia digelar Persekutuan Tanah Melayu. Fakta sejarah menunjukkan sembilan negeri di Semenanjung yang masih ada Sultan dan Raja, tidak pernah terjajah secara terus di bawah Inggeris atau Jepun atau Belanda ataupun Portugis.

"Sebab itulah Sultan dan Raja-Raja Melayu masih ada kuasa hingga sekarang dan diiktiraf serta diperakui oleh Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Oleh itu, katanya, Karpal tidak boleh mencabut kuasa yang ada pada Sultan dan Raja kalau rakyat Melayu masih mahukan Sultan dan Raja mereka terus berkuasa seperti yang ada sekarang.

"Hujah Karpal Singh sebenarnya boleh dikalahkan di Mahkamah Perlembagaan (jika ada) atau dalam pentas pendebatan perundangan pada bila-bila masa.

"Tidak perlu Akta Hasutan atau ISA digunakan untuk menutup mulut pengerusi DAP itu yang kelihatannya agak celupar dan biadap pada sesetengah orang. Hadapilah isu yang Karpal timbulkan dengan berani," tegas Hassan.

Laporan Malaysia Kini (10/5/08)

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda