Popular Today

Sabtu, Mei 10, 2008

Harga siling besi keluli dimansuh

Oleh HAMDEN RAMLI

PUTRAJAYA 9 Mei – Kerajaan hari ini membuat keputusan memansuhkan penetapan harga siling besi keluli di pasaran tempatan bagi menangani masalah kenaikan harga serta kesukaran mendapatkan bahan binaan itu di pasaran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, dengan pemansuhan tersebut kontraktor bagi projek konvensional kerajaan kini boleh memohon untuk mendapatkan perubahan harga kontrak berdasarkan harga pasaran semasa besi keluli.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, Abdullah berkata, langkah yang akan berkuat kuasa mulai 12 Mei itu adalah sebahagian daripada tiga strategi yang telah diputuskan oleh Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pagi ini.

Dua langkah lain ialah pengimport besi keluli akan dikecualikan daripada memperoleh lesen import dan membayar duti import manakala pengusaha besi keluli tempatan akan dibenarkan mengeksport hasil keluaran mereka.

“Usaha liberalisasi ini selaras dengan hasrat kerajaan dalam menentukan pembangunan negara berjalan lancar di samping memastikan pasaran bagi produk tersebut lebih telus dan efisien,'' kata Perdana Menteri.

Pada masa ini, harga siling besi keluli ditetapkan pada paras RM2,225 hingga RM2,419 setan metrik di Semenanjung Malaysia, manakala di Sabah dan Sarawak harga siling adalah antara RM2,275 hingga RM2,519 setan metrik.

Bagaimanapun, banyak kontraktor binaan mengeluh kerana harga besi di pasaran tempatan kini telah mencecah sehingga RM3,500 setan, memberi implikasi besar kepada kos projek-projek yang mereka sertai.


Menurut Abdullah, kerajaan telah menerima banyak aduan mengenai masalah kenaikan harga produk besi keluli dan kesukaran mendapatkan bekalan bahan itu pada harga siling.

Katanya, harga besi keluli di pasaran dunia jauh lebih tinggi daripada harga di pasaran tempatan.

Beliau memberitahu, masalah itu telah memberi kesan negatif kepada industri pembinaan dan jika tidak ditangani ia dikhuatiri akan menjejaskan pelaksanaan projek-projek pembangunan negara.

Bilet yang terlibat dalam pemansuhan harga siling ialah yang berkod 720711900, 720712900, 720719900, 720720910, 720720990 manakala bagi bar keluli kodnya ialah 721410110 dan 721220910.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda