Sabtu, Mei 10, 2008

Isu Karpal Pesongkan Perhatian Rakyat Terhadap Inflasi - Guan Eng

PULAU PINANG, 9 Mei (Bernama) -- Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) cuba memesongkan perhatian rakyat daripada isu inflasi dan kenaikan harga bahan makanan dengan mempolitikkan kenyataan pengerusi parti, Karpal Singh mengenai bidang kuasa Sultan Perak.

Beliau mendakwa kenyataan Karpal Singh itu digunakan untuk mengalihkan perhatian rakyat daripada isu sebenar yang dihadapi negara iaitu soal ekonomi dan kebajikan rakyat.

"Adalah lebih baik bagi kita membincangkan mengenai perkara yang lebih penting dan berkaitan dengan kehidupan rakyat, iaitu soal beras dan harga barang. Adakah salah sebagai seorang peguam, Karpal memberi pandangan dari sudut undang-undang?" katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco negeri di pejabatnya, di sini.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata daripada pengamatan beliau, kerajaan BN tidak bersikap adil dan mengamalkan dasar berpilih dalam menghadapi isu kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Beliau hairan mengapa ketika anggota Umno membantah dan mempertikaikan pelantikan Menteri Besar Perlis dan Terengganu, tiada tindakan dan laporan polis dibuat sedangkan perbuatan itu jelas tidak menghormati keputusan Istana.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kecaman pelbagai pihak terhadap Karpal Singh, yang juga anggota Parlimen Bukit Gelugor, kerana mempertikaikan tindakan Sultan Perak menitahkan arahan penukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Datuk Jamry Sury ditarik balik.

-- BERNAMA 10/5/08

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda