Popular Today

Rabu, Mei 07, 2008

Hanya Maipp boleh beri arahan

Oleh Fazli Abdullah

Kerajaan negeri tiada kuasa lantik jawatankuasa baru kariah masjid menerusi mesyuarat agung

GEORGETOWN: Arahan kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp) supaya kariah masjid di negeri ini mengadakan mesyuarat agung untuk memilih ahli jawatankuasa kariah baru, adalah tidak sah.

Hanya Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp) yang berkuasa mengeluarkan arahan sedemikian, seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 104 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (2004).

Justeru, Yang Dipertua Maipp, Shabudin Yahaya menasihati kariah masjid supaya tidak mengadakan pemilihan ahli jawatankuasa baru bagi mengelak pertindihan dengan jawatankuasa kariah sedia ada.

Katanya, pemilihan jawatankuasa kariah baru mempunyai implikasi undang-undang jika dicabar di mahkamah kerana ia dilakukan tanpa persetujuan Maipp.

"Yang nak keluarkan arahan mesti Maipp, itupun selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, bukannya kerajaan negeri.

"Surat arahan yang dikeluarkan kerajaan negeri melalui Jaipp mengenai kaedah pelantikan menerusi mesyuarat agung tidak mengikut prosedur enakmen negeri.

"Arahan yang dikeluarkan itu tidak merujuk kepada mana-mana keputusan Maipp. Jadi, mengikut undang-undang arahan itu tidak sah," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Menara Umno di sini, semalam.

Pada 13 Mac lalu, Jaipp mengeluarkan arahan kepada semua kariah masjid di negeri ini supaya mengekalkan ahli jawatankuasa kariah sedia ada walaupun kerajaan Pakatan Rakyat sudah membentuk kerajaan negeri.

Difahamkan, arahan Jaipp tidak dipersetujui kerajaan negeri dan memintanya membatalkan arahan itu.

Berikutan itu, Pengarah Jaipp, Sazali Hussein, dikatakan diminta oleh kerajaan negeri mengeluarkan surat baru bertarikh 26 Mac lalu membatalkan surat pertamanya.

Dalam surat kedua yang dihantar kepada pengerusi kariah dan iman masjid, Sazali menjelaskan kerajaan negeri pada dasarnya setuju anak kariah masjid diberi kuasa untuk memilih jawatankuasa kariah masing-masing.

Sehubungan itu, pemilihan jawatankuasa kariah boleh dilakukan menerusi mesyuarat agung. Bagaimanapun, sehingga pemilihan diadakan, jawatankuasa kariah sedia ada boleh meneruskan tugas masing-masing.

Shabudin berkata, beliau tidak membangkitkan isu itu sebelum ini kerana mahu melepaskan jawatan sebagai Yang Dipertua Maipp selepas didesak kerajaan negeri. Bagaimanapun, apabila Tuanku Mizan Zainal Abidin memberi perkenan supaya beliau terus memegang jawatan itu sehingga 31 Disember 2009, adalah menjadi tanggungjawabnya memastikan perjalanan kariah masjid tidak terganggu.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak termasuk kerajaan negeri supaya merujuk kepada enakmen sebelum membuat sesuatu perkara berkaitan urus tadbir dan hal ehwal agama Islam di negeri ini.

Mengenai sistem pemilihan ahli jawatankuasa kariah masjid, Shabudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Berangan berkata, beliau akan membincangkan perkara itu dalam mesyuarat majlis tidak lama lagi.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda