Rabu, Mei 07, 2008

Tiada individu bawa masuk dakwat tanda kuku

KUALA LUMPUR 6 Mei - Polis tidak menemui sebarang bukti terdapat individu yang membawa masuk dakwat penanda kuku dari Thailand untuk digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke- 12.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar memberitahu, polis telah mem- buka tiga kertas siasatan di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan berikutan terdapat laporan daripada beberapa individu bahawa dakwat itu telah dibawa masuk dari Thailand.

''Polis telah menemu bual pengadu serta saksi-saksi, didapati tiada sebarang bukti menunjukkan dakwat tersebut dibawa dari Thailand.

''Ini kerana tidak ada sebarang saksi pun yang pernah melihat dakwat tersebut dan daripada keterangan saksi, tiada sebarang individu, sindiket atau pihak-pihak tertentu yang dikenal pasti terlibat dengan kegiatan ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Fong Po Kuan (DAP- Batu Gajah) yang ingin tahu hasil siasatan ekoran pembatalan penggunaan tanda dakwat kuku semasa Pilihan Raya Umum Ke-12 pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membatalkan penggunaan tanda dakwat di kuku pada pilihan raya umum lepas berikutan terdapat laporan bahawa beberapa individu mengimport dakwat itu untuk ditandakan kepada kuku pengundi.

Syed Hamid memberitahu, keterangan pengadu dan saksi adalah merupakan khabar angin dan tiada sebarang individu yang dicam atau dikenali secara positif.

Jelasnya, kertas siasatan tersebut telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada 14 Mac lepas dan pada 21 Mac kes tersebut telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut dan kertas untuk simpanan (KUS).

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda