Popular Today

Rabu, Mei 07, 2008

Kos sebenar program angkasawan pertama RM39.11j

KUALA LUMPUR 6 Mei - Kos sebenar program angkasawan negara yang pertama ialah sebanyak RM39.11 juta, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Maximus Ongkili.

Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM16.8 juta ditanggung oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi manakala RM22.28 juta lagi oleh agensi-agensi kerajaan lain.

Katanya, kos sebanyak RM75.8 juta ditanggung oleh kerajaan Rusia berdasarkan kepada program timbal balas daripada pembelian pesawat Sukhoi oleh Kementerian Pertahanan.

''Anggapan bahawa kita telah menggunakan ratusan juta ringgit duit rakyat adalah tanggapan yang tidak benar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ismail Abd. Muttalib (BN-Maran) dan Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri (BN-Kuala Nerus) mengenai program angkasawan negara.

Menjawab soalan tambahan Datuk Bung Moktar Radin (BN- Kinabatangan) yang ingin tahu sama ada misi kedua akan diteruskan, beliau memberitahu, ia akan dilaksanakan.

''Kerajaan akan meneruskan program angkasawan negara dengan mengadakan kerjasama de- ngan agensi-agensi antarabangsa iaitu Agensi Angkasa Persekutuan Rusia (Roscosmos), Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Agensi Ang- kasa Jepun (JAXA) dan Agensi Angkasa Eropah (ESA)," katanya.

Maximus bagaimanapun memberitahu, program itu tertakluk kepada peruntukan yang bakal di- tentukan kemudian.

''Program angkasawan ini akan menumpukan kepada impak ekonomi dengan tempoh pelaksanaan misi yang lebih panjang," katanya.

Maximus menegaskan, kementerian sedang membuat analisis faedah kos bagi mengkaji pelbagai aspek berkaitan program angkasawan negara.

Jelas beliau, kajian yang dijangka selesai dalam tempoh terdekat akan diambil kira oleh kerajaan dalam membuat keputusan mengenai penerusan program tersebut.

''Keputusan mengenai program itu juga akan mengambil kira pandangan umum termasuk golongan saintis tempatan dan ahli-ahli Parlimen," katanya.

Menjawab soalan tambahan Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) sama ada kerajaan akan membangunkan pesawat prototaip subobintang memandangkan ia lebih murah, efektif dan canggih, Maximus memberitahu, kerajaan tidak bercadang menggunakan teknologi tersebut.

Katanya, teknologi sedia ada dan sedang digunakan oleh kebanyakan negara hanya perlu diteliti dan yang mana sesuai akan digunakan.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda