Rabu, Mei 07, 2008

Jangan hina institusi raja

Oleh NORAINI ABD. RAZAK
(WARTAWAN UTUSAN)

APAKAH kuasa raja atau sultan hanya terhad kepada mengisytiharkan tarikh melihat anak bulan bagi menetapkan hari yang tepat untuk umat Islam berpuasa dan menyambut Hari Raya Aidilfitri?

Ataupun raja-raja Melayu hanya berperanan sebagai penyeri upacara adat istiadat Melayu yang tidak mempunyai kepentingan dengan pentadbiran serta pemerintahan di negeri yang dinaunginya?

Mungkin juga banyak orang ingin melihat raja-raja Melayu sekadar menjadi penyeri upacara rasmi seperti pembukaan Parlimen dan tidak lebih daripada itu - sebab itu ada yang menyimpulkan bahawa kuasa raja adalah kuasa yang terhad.

Lebih memperkecilkan kuasa raja-raja apabila ada kenyataan berbunyi begini: "Rakyat kini tidak lagi hidup dalam zaman feudal.''

Ia memberi gambaran seolah-olah rakyat berketurunan Melayu dan beragama Islam di zaman serba moden ini tidak memerlukan raja-raja Melayu yang luas peranannya. Begitu juga dengan rakyat berketurunan selain daripada Melayu yang hanya mahu melihat raja-raja sekadar bersemayam di singgahsana.

Cukup sekadar raja-raja Melayu yang bertindak atas nasihat pihak eksekutif - lebih daripada itu adalah di luar keperluan dan akan dilihat sebagai cubaan istana untuk campur tangan dalam pentadbiran negara atau negeri.

Persoalannya adakah rakyat berketurunan Melayu mahu dipayungi oleh raja-raja yang terhad peranannya? Dan adakah rakyat berketurunan Cina, India dan sebagainya mahu supaya Yang di-Pertuan Agong yang memayungi semua rakyat di negara ini begitu terhad fungsinya sehingga tidak boleh berkata apa-apa?

Jawapannya sudah pasti tidak dan dalam banyak hal sekarang ini rakyat mahu peranan serta fungsi raja-raja Melayu diserlahkan di tempat yang sepatutnya. Institusi raja-raja Melayu dilihat satu-satunya tempat rakyat berketurunan Melayu dan beragama Islam menyandarkan harapan lantaran perihal Melayu dan Islam terjalin erat dengan istana.

Tiada institusi lain yang mempunyai bidang kuasa seluas itu, oleh itu jika kuasa yang luas cuba dihadkan kepada perkara-perkara ritual semata-mata semestinya payung rakyat tidak boleh dibuka ketika mana ia diperlukan.

Lebih memeritkan apabila raja-raja Melayu dipertikaikan secara lantang oleh rakyat berketurunan bukan Melayu, semacam ada pertentangan antara keperluan sebenar dan sentimen tidak gemar melihat tegak dan tegasnya institusi diraja.

Rakyat sendiri melihat bagaimana tegarnya Pengerusi DAP, Karpal Singh mempertikaikan titah Sultan Perak agar Menteri Besar menarik balik arahan pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP).

Sebagai seorang 'peguam terkemuka' Karpal berhujah sambil mengingatkan Istana Perak supaya memahami 'kuasa terhad raja-raja'.

Karpal juga menekankan bahawa Sultan Perak tiada hak di bawah undang-undang untuk campur tangan dalam keputusan kerajaan negeri menukar Datuk Jamry Sury sebagai Pengarah JAIP. Untuk membuktikan kecerdikannya, beliau memetik kes Mahkamah Persekutuan pada tahun 1982.

Penghakiman dalam kes itu, menurut Karpal (beliau adalah peguam kes tersebut) jelas menunjukkan urusan membabitkan kakitangan awam sama ada patut dipindah dan ke mana hendak dipindah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Karpal cuba menyamakan keputusan kes tersebut dalam kes Jamry di Perak sambil cuba 'mengajar' Sultan Perak yang diketahuinya pernah menjadi Ketua Hakim Negara tentang undang-undang.

Pensyarah Undang-Undang Perlembagaan Dr. Shamrahayu Abd. Aziz ketika diajak berbincang perihal 'Karpal lwn Sultan Perak' itu menarik perhatian mengenai kuasa raja-raja Melayu dalam hal ehwal agama Islam serta mempertahankan hak orang Melayu.

Beliau secara terang-terangan memperincikan perihal kes 1982 yang menurutnya tidak terpakai dalam kes arahan pertukaran Pengarah JAIP itu.

Katanya, kes 1982 adalah berkaitan arahan pertukaran seorang guru dari sebuah sekolah di Kuala Lumpur ke Terengganu yang sememangnya berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri. Ia juga melibatkan penurunan pangkat, gaji dan pelbagai aspek lain seperti yang dituntut oleh guru berkenaan.

Kes itu tidak melibatkan kuasa sultan atau raja-raja.

Tetapi dalam kes Jamry, menurut Dr. Shamrahayu hujahnya tidak begitu. Terdapat dua kategori kakitangan awam di kerajaan negeri iaitu kakitangan biasa seperti guru dan jururawat manakala kumpulan satu lagi berkait rapat dengan hal ehwal Islam seperti mufti dan pengarah jabatan agama.

"Kedudukan sultan dengan pegawai tinggi di jabatan agama dan mufti amat simbiotik, sinonim dan amat dekat, oleh itu urusan pelantikan, pemecatan serta pertukaran ke jawatan itu mestilah denga "Dan jawatan-jawatan ini mesti dibezakan dengan jawatan kerajaan negeri yang lain,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Amat jelas juga, katanya, termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan negeri tentang kuasa yang diberi kepada sultan untuk mengetuai urusan agama.

Tegas beliau, perspektif undang-undang amat terang dan tidak perlu disuluh lagi apabila memperkatakan perihal kuasa sultan dalam hal ehwal Islam.

Paling penting, menurut pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu ialah setiap pegawai tinggi di jabatan agama mahupun mufti mesti mempunyai hubungan harmoni dengan ketua agama di negeri-negeri.

Apatah lagi antara sultan, pegawai tinggi jabatan agama serta mufti akan berganding bahu dalam urusan berkaitan agama yang dilangsungkan di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu.

"Hal ehwal agama Islam dan kedudukan bangsa Melayu tidak boleh dipisahkan dengan institusi istana, dan adalah menjadi keseluruhan semangat dalam masyarakat bahawa sultanlah yang akan menjaga kedua-dua bidang itu,'' katanya.

Menurut beliau, semangat Perlembagaan mesti ditegakkan dan tidak boleh dibiarkan dipijak-pijak oleh mana-mana pihak waima atas alasan apa sekalipun.

Perlu difahami dan dihayati bahawa kuasa raja atau sultan tidak rigid jauh sekali terhad kepada urusan ceremony semata-mata. Frasa yang menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong atau sultan perlu bertindak atas nasihat Eksekutif juga tidak bermakna mereka hanya menurut kata. Sedangkan golongan itu hakikatnya mempunyai budi bicara untuk memastikan rakyat yang berada di bawah naungannya mendapat yang terbaik terutama dari sudut kepentingan agama dan perjuangan bangsa.

Perak adalah contoh terbaik bagaimana sultannya dapat menyerlahkan peranan sebenar demi kepentingan rakyat terutama dalam urusan pelantikan Menteri Besar baru-baru ini.

Jika keadaan itu tidak dikawal secara bijak oleh sultan, boleh sahaja berlaku perselisihan kaum di negeri tersebut ketika berlaku 'perebutan' untuk menjadi Menteri Besar.

Malangnya niat suci sultan telah dimanipulasi oleh pihak-pihak yang sebenarnya tidak pernah mengiktiraf institusi diraja sebab itu Karpal berani dan tanpa segan-silu bangkit mempertikaikannya. Dan kita percaya Karpal tidak akan menarik balik kenyataan itu jauh sekali meminta maaf.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda