Popular Today

Rabu, Mei 07, 2008

'Pengajaran kepada rakyat'

Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD


KUALA LUMPUR 6 Mei - Keputusan kerajaan Selangor tidak menunaikan salah satu janji pilihan raya umum lalu iaitu menurunkan cukai taksiran sebanyak 20 peratus wajar dijadikan iktibar serta pengajaran kepada rakyat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rakyat harus 'membuka mata' terhadap perkembangan yang berlaku itu kerana ia menggambarkan kemampuan sebenar kerajaan negeri berkenaan.

Beliau berkata, apa yang pasti kerajaan Selangor yang kini dipimpin oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas gagal menunaikan salah satu janji mereka seperti mana yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu.

''Kita sudah jangka apabila sampai pada masanya mereka akan menghadapi kesukaran untuk menunaikan semua janji pilihan raya. Pada waktu pilihan raya sesiapa pun boleh membuat janji tetapi untuk menunaikannya bukan satu perkara mudah.

''Kemungkinan pengundi-pengundi termakan dengan janji-janji yang mereka buat. Sebut sahaja turun cukai sudah tentu akan ada pihak yang termakan dengan janji-janji ini tanpa memikirkan sama ada ia boleh ditunaikan atau sebaliknya,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Hari Pekerja dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2008 Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan kerajaan Selangor tidak akan menurunkan cukai taksiran sebanyak 20 peratus seperti yang dijanjikan dalam manifesto pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat kerana keadaan ekonomi Selangor ketika ini masih belum mencapai tahap yang memuaskan bagi membolehkan janji tersebut dilaksanakan.

l Komen Khir Toyo di muka 14

Selain itu, Abdul Khalid bimbang langkah menurunkan cukai taksiran akan menambah beban kerajaan negeri dan mengurangkan hasil.

Najib berkata, sebelum memilih kerajaan pada setiap kali pilihan raya umum, rakyat harus mempunyai kemampuan untuk membuat satu penilaian yang wajar terhadap semua parti yang bertanding.

''Saya harap semua orang sedar tentang perkara ini. Apa yang penting bukan setakat membuat janji tetapi apakah janji ini mampu ditunaikan.

''Rakyat harus tahu membeza antara janji dan realiti. Adakah sesuatu yang dijanji itu hanya semata-mata sebagai percakapan politik yang akhirnya tidak dapat ditunaikan,'' katanya.

Beliau berkata, dalam memilih kerajaan, antara elemen terpenting ialah kemampuan sesebuah parti menunaikan setiap janji selepas membentuk kerajaan.

''Saya harap pengundi kita selepas ini lebih tahu menilai. Adakah janji itu hanya sekadar menjadi sebutan sebelum pilihan raya atau ia akan ditunaikan sebaik sahaja berakhir pilihan raya,'' tambahnya.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda