Popular Today

Selasa, Oktober 27, 2009

Rakyat harus sedar kepincangan pembangkang: TPM

KUALA LUMPUR: Kepincangan yang berlaku dalam pakatan pembangkang harus memberi kesedaran kepada rakyat bahawa gabungan berkenaan tiada kemampuan untuk melaksanakan tanggungjawab mereka, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pelbagai masalah yang timbul di negeri yang dikuasai mereka menunjukkan pemimpin-pemimpin dalam pakatan pembangkang tiada persefahaman.

"Kita di luar Pakatan Rakyat dah tahu awal-awal lagi mereka tidak mampu bekerja walaupun mereka mahu menunjukkan seolah-olah mereka ada satu bentuk kerjasama yang agak mantap," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pengurusan Aset dan Kemudahan (NAFAM) di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, Penasihat DAP, Lim Kit Siang, dalam blognya juga mengakui bahawa pakatan pembangkang mengalami hakisan keyakinan awam akibat kegagalan pemimpin menyakinkan rakyat Malaysia tentang kredibiliti mereka.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata dengan kenyataan yang dibuat oleh Lim itu akan membuka mata rakyat bahawa pakatan pembangkang sebenarnya tiada kemampuan dan kesatuan pemikiran yang boleh memberi keyakinan kepada mereka.

"Itu yang saya cukup bimbang, kalau ada dua tiga tahun lagi dia memerintah negeri-negeri yang mereka ada kuasa tetapi tidak diurus dengan baik, jadi apa yang sudah dibangunkan selama ini oleh kerajaan BN (Barisan Nasional) mungkin akan merosot.

"Kesannya ialah nasib rakyat dan pengundi di negeri-negeri itu yang menjadi lebih menyulitkan lagi. Eloklah dia buat pengakuan terbuka supaya membuka mata rakyat, kepincangan yang sudah berlaku.

"Mungkin mereka harus melihat kepimpinan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan kerajaan BN yang sudah lama dan mempunyai pengalaman memajukan negara. Ini seharusnya menjadi kesedaran kepada rakyat," katanya.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam sidang media berasingan selepas menghadiri perasmian konvensyen itu, berkata pemimpin pembangkang hanya tahu mengkritik dan apabila mereka diberi peluang untuk mentadbir negeri, mereka tiada kemampuan.

"Kini, mereka telah membentuk kerajaan (negeri). Mereka tidak tahu untuk bertindak kecuali menjadi pembangkang. Kini mereka bertelagah sesama mereka sendiri kerana mereka perlu menentang dan mengkritik orang. Mereka hanya pandai dalam soal itu (membangkang).

"Tetapi dalam soal pelaksanaan, baru mereka tahu. Ia bukannya mudah. Mentadbir sebuah negara bukannya mudah dan pastinya untuk mentadbir dan memajukan sebuah negara, adalah amat sukar...mungkin mereka perlu belajar seratus tahun lagi," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda