Jumaat, Oktober 23, 2009

STRATEGI KETIGA: MENGUTAMAKAN KESEJAHTERAAN RAKYAT

105. Walau apa pun rintangan, walau apa pun cabaran, Kerajaan akan terus memperjuangkan kepentingan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat, sama ada di kota mahupun di desa. Hasil kemajuan yang dicapai akan dinikmati bersama dalam suasana aman, selamat dan selesa. Untuk menjamin keselamatan rakyat, Kerajaan akan menumpu kepada langkah memantapkan ketenteraman awam dan mencegah jenayah. Di samping itu, usaha meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat termasuk membasmi kemiskinan tegar akan diberi penekanan. Kerajaan juga akan menyediakan kemudahan perumahan, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta meningkatkan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam.

MENCEGAH JENAYAH

106. Kerajaan sentiasa mahu memastikan bahawa setiap individu boleh menjalani urusan harian masing-masing dalam suasana yang tenteram dan selamat. Untuk itu, peruntukkan 3.7 bilion ringgit disediakan untuk mempertingkatkan lagi kecekapan anggota keselamatan, termasuk menyediakan kelengkapan yang moden dan canggih.

107. Kerajaan serius dalam memastikan kadar jenayah terus berkurangan.

Untuk mencapai matlamat ini, Kerajaan akan melaksanakan langkah mencegah jenayah yang telah dikenal pasti sebagai satu NKRA yang terpenting. Kerajaan mensasarkan untuk mengurangkan indeks jenayah sebanyak 5 peratus termasuk mengurangkan kadar jenayah jalanan seperti ragut dan samun sebanyak 20 peratus pada akhir 2010. Sejumlah 1 bilion ringgit disediakan untuk meningkatkan lagi perkhidmatan Polis di-Raja Malaysia pada tahun 2010. Antara langkah utama yang akan diambil adalah:

Pertama: Meningkatkan kehadiran anggota polis untuk meningkatkan keyakinan dan rasa selamat di kalangan orang awam. Untuk ini, Kerajaan akan menyediakan balai polis bergerak di 50 hot spots yang telah dikenal pasti di kawasan yang berisiko tinggi berlakunya jenayah;

Kedua: Melatih dan meningkatkan kecekapan 3 ribu anggota Ikatan Relawan Rakyat atau RELA dan Jabatan Pertahanan Awam

Malaysia untuk turut melakukan rondaan bersama polis; dan

Ketiga: Meningkatkan kempen pencegahan jenayah dan melaksanakan program integrasi polis dalam komuniti dan masyarakat.

108. Bersabit hal ini juga, keselamatan sempadan negara juga tidak terkecuali daripada diberi perhatian serius. Untuk ini, sejumlah 1.9 bilion ringgit akan diperuntukkan bagi meningkatkan kelengkapan anggota tentera serta membina dan menaik taraf pos kawalan. Selain itu, Agensi Penguat Kuasa Maritim Malaysia disediakan 622 juta ringgit bagi memastikan kawasan perairan negara bebas dari penyeludupan dan pencerobohan, termasuk ancaman lanun.

Tuan Yang di-Pertua,

MENINGKATKAN PENDAPATAN DAN TARAF HIDUP RAKYAT

109. Kerajaan prihatin akan kesukaran yang dihadapi oleh rakyat terutamanya kos sara hidup yang semakin membebankan. Ke arah ini, Kerajaan akan melaksanakan NKRA untuk membasmi kemiskinan tegar serta meningkatkan pendapatan dan taraf hidup rakyat.

Membasmi Kemiskinan Tegar

110. Kerajaan komited untuk mencapai matlamat sifar kemiskinan tegar pada tahun 2010. Untuk ini, hampir 50 ribu isi rumah miskin tegar yang berdaftar di bawah program eKasih dan 4 ribu isi rumah Orang Asli yang telah dikenal pasti akan dibantu. Kerajaan akan menyediakan peluang latihan kemahiran dan program penjanaan pendapatan bagi menangani kemiskinan tegar. Antara langkah utama yang akan dilaksanakan adalah:

Pertama: Mengagihkan bantuan kebajikan Persekutuan pada hari pertama setiap bulan. Bagi negeri-negeri Semenanjung, ia telah bermula pada 1 September 2009 dan bagi Sabah dan Sarawak akan bermula pada 1 Januari 2010; dan

Kedua: Meneruskan Skim Program Lonjakan Mega dengan peruntukan 141 juta ringgit seperti di Batang Sadung dan Batang Lupar, Sarawak, di Pulau Banggi, Sabah dan di Tanjung Gahai dan Chemomoi, Pahang.

Program ini akan dapat mengeluarkan 5,600 keluarga daripada kemiskinan tegar.

Membantu Golongan Miskin dan Mudah Terjejas

111. Kerajaan juga akan melaksanakan pelbagai program untuk membantu golongan miskin dan mudah terjejas. Bagi maksud ini, usaha akan diambil untuk mengurangkan kadar kemiskinan kepada 2.8 peratus pada tahun 2010 berbanding 3.6 peratus pada tahun 2007. Kerajaan akan menyediakan latihan kemahiran dan kemudahan mikro kredit bagi kumpulan produktif supaya menjana pendapatan berterusan untuk lebih berdikari. Antara langkah yang akan diambil:

Pertama: Meneruskan Program Pembasmian Kemiskinan dan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) yang meliputi Program Peningkatan Pendapatan, Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya, Program Kecemerlangan Pendidikan, Program Bantuan Rumah dan Program Pembangunan Masyarakat Setempat. Sukacita diumumkan Kerajaan akan meluluskan peruntukan sebanyak 180 juta ringgit bagi tujuan yang murni ini; dan Kedua: Mengiktiraf kesungguhan golongan wanita dalam membantu memperbaiki kehidupan sekeluarga, Kerajaan dengan ini tidak teragak-agak untuk menyediakan program latihan kemahiran dan keusahawanan kepada lebih 3 ribu wanita yang akan dikendalikan oleh Jabatan Pembangunan Wanita dan Amanah Ikhtiar Malaysia.

Pembinaan Kedai Desa

112. Untuk meningkatkan pendapatan rakyat di kawasan luar bandar, Kerajaan akan menyediakan peluang untuk memulakan perniagaan dengan menyediakan lebih banyak premis perniagaan terutamanya di lokasi strategik di luar bandar.

Untuk tujuan ini, sebagai permulaan, sebanyak 30 juta ringgit akan diperuntukkan kepada UDA Holdings Berhad bagi membina 300 unit kedai desa di seluruh negara. Program ini adalah tambahan kepada pelbagai program yang telah dijalankan oleh agensi Kerajaan yang lain.

Tuan Yang di-Pertua,

Menangani Kemiskinan di Bandar

113. Landskap kehidupan semasa menyaksikan kadar urbanisasi berkembang pesat dengan 63 peratus daripada penduduk tinggal di kawasan bandar. Kita sedar bahawa kehidupan di bandar pada kala ini bukannya mudah. Masalah kemiskinan kian meningkat disebabkan kos sara hidup yang tinggi, pendapatan yang rendah dan masalah tempat tinggal. Untuk menangani masalah ini, suka saya menyampaikan khabar istimewa bahawa Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 48 juta ringgit bagi melaksanakan program pembasmian kemiskinan bandar. Ini meliputi bantuan kebajikan dan program bayaran sewa rumah.

114. Bagi mengatasi masalah kemiskinan bandar secara holistik, peranan Kementerian Wilayah Persekutuan akan diperkukuh dan diperluaskan untuk turut bertanggungjawab membasmi kemiskinan bandar seluruh negara, termasuk golongan yang berpendapatan di bawah 3 ribu ringgit sebulan. Dengan ini, saya mencadangkan Kementerian Wilayah Persekutuan kini dikenali sebagai Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar. Antara tugas utama Kementerian ini ialah menyediakan satu pelan tindakan komprehensif dan melaksanakan program bersesuaian untuk menangani masalah kemiskinan di bandar.

Meningkatkan Pemilikan Rumah

115. Seiring dengan itu, Kerajaan akan berusaha menyediakan kemudahan perumahan supaya rakyat mampu memiliki dan mendiami rumah yang selesa.

Keutamaan diberi kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki dan menyewa rumah yang disediakan oleh Kerajaan. Demi membela untung nasib rakyat terbanyak, pada 10 Oktober 2009 yang lalu, saya telah mengumumkan lebih 44 ribu rumah kos rendah dijual dengan harga antara 21,500 ringgit hingga 35 ribu ringgit seunit. Ia diuruskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Jabatan Perumahan Negara (JPN). Sebagai langkah tambahan, JPN telah menyediakan sebanyak 74 ribu unit rumah kos rendah untuk disewa pada tahun 2010.

116. Kerajaan amat prihatin masalah yang dihadapi oleh rakyat terutama golongan yang berpendapatan rendah akibat projek perumahan terbengkalai.

Setakat ini, terdapat sebanyak 148 projek swasta yang terbengkalai melibatkan 49,913 unit rumah serta 31,824 pembeli rumah. Daripada jumlah ini, sebanyak 87 projek masih belum dapat dipulihkan di mana 41 projek terdiri daripada rumah kos rendah dan kos sederhana. Oleh itu, Kerajaan akan mempertimbangkan bantuan kewangan yang bersesuaian untuk memulihkan rumah kos rendah dan sederhana mengikut senarai projek sedia ada. Untuk tujuan ini, peruntukan sebanyak RM200 juta akan disediakan di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

117. Selaras dengan objektif untuk menggalakkan pemilikan rumah dan menikmati taraf hidup lebih selesa, Kerajaan akan melancarkan satu skim yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan simpanan sedia ada dan mengambil kira simpanan masa depan dalam Akaun 2. Ini bertujuan untuk mendapatkan jumlah pembiayaan yang lebih bagi membolehkan mereka membeli rumah yang bernilai lebih tinggi atau membeli rumah tambahan. Skim ini meningkatkan daya pembelian pencarum KWSP dan adalah terhad pada pembelian satu rumah pada satu masa serta tertakluk pula kepada syarat-syarat yang ditentukan oleh KWSP. Skim ini akan dilancarkan pada Januari 2010.

Menambah Kemudahan Kesihatan Awam 118. Akal yang sihat datangnya daripada jasmani yang sihat. Rakyat yang sihat pula menjadi nadi kemajuan negara. Lantaran itu, Kerajaan sentiasa cakna dan mengambil peduli tahap kesihatan rakyat. Untuk ini, sebanyak 14.8 bilion ringgit diperuntukkan bagi mengurus, membina dan menaik taraf kemudahan hospital dan klinik. Bagi tahun 2010, hospital dalam peringkat pembinaan dan dinaik taraf termasuk di Kluang, Bera, Shah Alam, Alor Gajah dan Tampoi. Di samping itu, Kerajaan akan memperkenalkan perkhidmatan kesihatan klinik komuniti yang akan dinamakan Klinik 1Malaysia di kawasan bandar, seperti mana klinik desa di luar bandar.

119. Klinik ini akan ditempatkan di kawasan perumahan dengan menyewa rumah kedai untuk memudahkan masyarakat setempat mendapat rawatan sakit biasa, seperti demam, batuk dan selsema. Klinik ini akan dikendalikan oleh pembantu pegawai perubatan dan dibuka setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Sebagai permulaan, sebanyak 50 buah klinik akan dibuka di kawasan terpilih dengan peruntukan sebanyak 10 juta ringgit.

Tuan Yang di-Pertua,

Meningkatkan Jaringan Keselamatan Sosial

120. Kerajaan prihatin terhadap semua pihak yang memerlukan bantuan kebajikan termasuklah orang kurang upaya (OKU), warga emas, ibu tunggal dan kanak-kanak. Untuk menjamin penyaluran bantuan kebajikan dibuat secara menyeluruh dan efektif serta tidak ada pertindihan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri sedang melengkapkan pangkalan data eKasih yang akan menjadi pusat rujukan unggul. Selain itu, bagi memperkukuhkan lagi jaringan keselamatan sosial, Kerajaan akan:

Pertama: Memperuntukkan sejumlah 224 juta ringgit kepada OKU untuk bantuan, melaksanakan Program Pemulihan Dalam Komuniti serta membina dan menaik taraf 4 buah Taman Sinar Harapan. Selain itu, peruntukan sebanyak 174 juta ringgit disediakan kepada warga emas termasuk bantuan dan membina serta menaik taraf 2 buah Rumah Seri Kenangan;

Kedua: Memperuntukkan sejumlah 15 juta ringgit kepada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia, Majlis Hospis Malaysia, Persatuan Orang Buta bagi membantu pesakit miskin dan membiayai peralatan perubatan;

dan

Ketiga: Menaikkan kadar elaun kanak-kanak OKU di sekolah pendidikan khas kelolaan NGO daripada 50 ringgit kepada 150 ringgit sebulan bagi setiap seorang mulai 1 Januari 2010. Sesungguhnya peruntukkan sebanyak 3.3 juta ringgit yang disediakan ini akan memberi manfaat dan rahmat kepada hampir 4 ribu orang kanak-kanak OKU.

Tuan Yang di-Pertua,

Sukuk 1Malaysia

121. Alhamdulillah, Bon Simpanan Kerajaan berasaskan syariah berjumlah 5 bilion ringgit yang dilancarkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua telah mendapat sambutan luar dugaan. Untuk membolehkan individu yang tidak berpeluang melanggan sebelum ini dan menggalakkan pelaburan tambahan, Kerajaan akan menerbitkan Sukuk 1Malaysia berjumlah 3 bilion ringgit. Sukuk ini akan ditawarkan kepada semua rakyat Malaysia yang berumur 21 tahun ke atas dengan pelaburan minimum seribu ringgit dan maksimum 50 ribu ringgit. Sukuk ini mempunyai tarikh matang selama 3 tahun dengan kadar pulangan sebanyak 5 peratus setahun yang akan dibayar kepada pemegang sukuk pada setiap suku tahun.

Skim Persaraan 1Malaysia

122. Kerajaan memahami kesukaran yang dihadapi oleh golongan yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap, termasuk pemandu teksi, penjaja, petani dan nelayan, apabila mencapai umur persaraan. Ini kerana mereka tiada pencen atau simpanan di KWSP untuk hari tua. Untuk golongan seperti ini, Kerajaan akan menubuhkan Skim Simpanan Persaraan 1Malaysia yang diuruskan oleh KWSP.

Melalui skim ini, mereka boleh mencarum secara sukarela mengikut kemampuan.

123. Sekali lagi, sebagai bukti Kerajaan yang sentiasa mendahulukan kebajikan rakyat, sukacita diumumkan bahawa bagi setiap 100 ringgit caruman, Kerajaan akan memberi sumbangan sebanyak 5 peratus tertakluk kepada jumlah maksimum sebanyak 60 ringgit setahun. Akan tetapi sumbangan Kerajaan ini adalah hanya untuk tempoh 5 tahun dan merupakan tambahan kepada dividen sedia ada KWSP. Sebagai contoh, sekiranya seorang nelayan berumur 35 tahun membuat caruman sebanyak 100 ringgit sebulan secara konsisten selama 20 tahun, beliau akan mempunyai simpanan terkumpul yang dianggarkan sebanyak 40 ribu ringgit pada umur 55 tahun kelak. Namun caruman ini tidaklah boleh dikeluarkan awal, kenalah tunggu sehingga mencapai umur 55 tahun.

Caruman KWSP

124. Jika semua masih ingat, semasa pengumuman Pakej Rangsangan

Pertama dulu, Kerajaan telah membenarkan pekerja untuk mengurangkan potongan caruman KWSP secara sukarela daripada 11 peratus kepada 8 peratus selama 2 tahun mulai 1 Januari 2009. Terkini, mengambil pandangan umum dan memandangkan keadaan ekonomi dijangka pulih, sukacita saya mengumumkan untuk membenarkan kadar potongan caruman pekerja KWSP dinaikkan semula ke kadar 11 peratus secara sukarela berkuat kuasa secara serta-merta. Walau bagaimanapun, mulai 1 Januari 2011, caruman pekerja KWSP akan dikekalkan pada kadar 11 peratus.

125. Kerajaan sedar betapa pentingnya rakyat menyimpan semasa usia muda bagi memastikan aliran pendapatan yang tetap dan berterusan selepas persaraan.

Ini adalah kerana tabungan di KWSP mungkin tidak mencukupi memandangkan jangka hayat rakyat Malaysia semakin meningkat. Justeru itu, skim anuiti merupakan satu instrumen kewangan yang sesuai untuk tujuan penampungan pendapatan semasa persaraan. Untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menyertai skim anuiti, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai individu sebanyak 6 ribu ringgit yang sedia ada untuk tujuan caruman KWSP dan premium insurans hayat dinaikkan kepada 7 ribu ringgit. Kenaikan 1 ribu ringgit ini adalah bagi pelepasan ke atas premium anuiti yang mula dibayar pada 1 Januari 2010 untuk tujuan persaraan yang ditawarkan oleh syarikat insurans.

Pembangunan Hartanah Wakaf

126. Kerajaan akan membangunkan hartanah wakaf di seluruh negara bagi tujuan khairat dan amal jariah. Untuk ini, Yayasan Waqaf Malaysia akan melaksanakan program pembangunan ekonomi, pendidikan, sosial dan kebajikan ummah terutamanya projek kecil berbentuk ekonomi yang berimpak besar kepada masyarakat. Fokus utamanya adalah untuk membasmi kemiskinan tegar serta meningkatkan taraf sosio-ekonomi umat Islam. Antara projek yang dirancang adalah membina kedai wakaf rakyat di kawasan masjid terpilih dan bazar peniaga kecil untuk orang ramai, termasuk golongan asnaf. Sebagai permulaan, bagi menjayakan inisiatif yang penuh barakah ini, sejumlah 20 juta ringgit akan disediakan.

MEMPERKASA PRASARANA LUAR BANDAR DAN PEDALAMAN

127. Pembangunan luar bandar akan terus diberi tumpuan agar kemajuan yang lebih seimbang dicapai supaya masyarakat luar bandar dapat menikmati kemudahan prasarana yang mencukupi dan berkualiti. Untuk ini, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah akan merangka satu pelan induk pembangunan luar bandar yang komprehensif.

128. Pada tahun 2010, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 2.3 bilion ringgit untuk membina dan menaik taraf infrastruktur di kawasan luar bandar. Ini termasuk:

Pertama: Membina jalan luar bandar sepanjang 510 kilometer dan jalan kampung sepanjang 316 kilometer dengan peruntukan sebanyak 857 juta ringgit. Antara jalan yang akan dibina ialah di Kapit, Lawas dan Simunjan di Sarawak serta Kinabatangan, Kota Belud dan Keningau di Sabah;

Kedua: Mengutamakan penggunaan soil stabiliser bagi pembinaan jalan luar bandar di mana sesuai. Ini kerana kos pembinaan dan penyelenggaraan menggunakan kaedah ini adalah lebih rendah;

Ketiga: Memperuntukkan 530 juta ringgit untuk menyediakan bekalan air kepada 16 ribu buah rumah, manakala sebanyak 825 juta ringgit bagi membekal elektrik kepada 30 ribu buah rumah; dan

Keempat: Menyediakan 88 juta ringgit untuk melaksanakan 5,356 projek ameniti sosial seperti klinik desa, balai raya dan kawasan riadah awam.

129. Dalam gagasan 1Malaysia, tiada mana-mana golongan pun yang akan dipersiakan. Kerajaan turut prihatin terhadap masyarakat Orang Asli dan berusaha mengintegrasikan mereka ke dalam arus perdana pembangunan negara. Bagi meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup masyarakat Orang Asli, Kerajaan akan menyediakan sejumlah 41 juta ringgit. Antara program yang akan dilaksanakan termasuk membina 55 buah perkampungan Orang Asli, memberi bantuan input pertanian kepada 800 petani dan nelayan serta menyediakan peralatan perniagaan kepada 100 usahawan.

Tuan Yang di-Pertua,

MENAMBAHBAIK PENGANGKUTAN AWAM

130. Kerajaan juga telah meletakkan pengangkutan awam bandar sebagai salah satu NKRA untuk memudahkan mobiliti rakyat bagi menjalankan aktiviti harian.

Kemudahan pengangkutan awam yang baik mampu meningkatkan produktiviti dan mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas. Untuk tujuan ini, kita memerlukan satu sistem pengangkutan awam yang cekap dan berkesan. Langkah berikut akan diambil:

Pertama: Mempercepat penubuhan dan operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat atau SPAD sebagai pihak berkuasa tunggal untuk mengawasi dan menguatkuasakan piawaian perkhidmatan serta menyedia rancangan jangka panjang pengangkutan awam bandar.

SPAD dijangka mula beroperasi pada 2010;

Kedua: Menambah 8 Electric Multiple Unit (EMU) yang baru dan membaik pulih 9 EMU oleh KTMB. Langkah ini akan dapat meningkatkan kekerapan dan kecekapan perkhidmatan Komuter;

Ketiga: Menambah 35 unit tren Aliran Transit Ringan (LRT) oleh Syarikat Prasarana Negara Berhad bagi laluan Kelana Jaya-Taman Melati. 4 unit tren telah diterima dan sedang beroperasi, manakala 22 unit akan diterima pada tahun 2010 dan bakinya pada tahun 2011.

Langkah ini akan dapat menampung jumlah pengguna yang semakin meningkat;

Keempat: Membina laluan berbumbung menghubungkan stesen LRT ke pusat aktiviti berhampiran. Stesen terlibat adalah Plaza Rakyat, Pasar Seni, Bandaraya, Jalan Sultan Ismail, PWTC dan Jalan Hang Tuah;

Kelima: Memperluaskan laluan khas dan menambah bilangan bas untuk meningkatkan kekerapan perkhidmatannya di Kuala Lumpur. Di samping itu, 4 hab baru juga akan dibina di Pulau Pinang bagi meningkatkan perkhidmatan bas dan penambahan rangkaian laluan;

Keenam: Mempercepatkan pembinaan Terminal Pengangkutan Bersepadu di Gombak yang dapat mengurangkan kesesakan di pusat bandar raya; dan Ketujuh: Menyediakan laluan khas untuk bas di lebuh raya yang kurang digunakan dan mengubahsuai laluan Touch & Go di plaza tol.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda