Jumaat, Oktober 23, 2009

Tindakan tegas kepada penyeleweng

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

MINGGU ini kita dihidangkan Laporan Ketua Audit Negara 2008. Seperti laporan bagi tahun-tahun sebelumnya, ia masih mengesan kes-kes pembelian atau pembekalan barangan atau alatan kepada agensi-agensi tertentu pada harga yang tidak munasabah.

Kes komputer riba yang dibeli pada harga RM84,640 seunit berbanding harga pasaran terbuka bagi jenis dan model yang sama RM9,000; peralatan makmal telekomunikasi yang dibeli pada harga berbeza antara RM1,240 dan RM30,510 seunit sedangkan harga di pasaran hanya RM900 seunit; dan kes bayaran bagi petrol pada kadar RM300 seliter berbanding harga pasaran tidak pun sampai RM2 seliter, adalah antara contohnya.

Ia menggambarkan wujud kelemahan yang memberi kesan kepada perbelanjaan wang kerajaan; yang perlu diambil tindakan segera.

Sungguhpun kes-kes luar biasa itu dari segi peratusannya adalah rendah berbanding dengan kos pembekalan peralatan kepada jabatan atau agensi kerajaan, ia tetap tidak boleh dipandang ringan. Tindakan pembetulan perlu dilakukan dengan memastikan mereka yang diamanahkan perlu mengambil tanggungjawab tersebut.

Jika kita memberi penghargaan kepada kakitangan kerajaan yang menunjukkan prestasi cemerlang; tindakan perlulah diambil ke atas mereka yang gagal dalam kerja mereka.

Awang – Diaudit pembaca.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda