Popular Today

Jumaat, Oktober 23, 2009

Prestasi Ekonomi Semasa Bajet 2010

PRESTASI EKONOMI

Tuan Yang di-Pertua,

13. Ekonomi Malaysia adalah sebuah ekonomi terbuka, di mana jumlah dagangan lebih kurang 200 peratus daripada KDNK. Oleh itu, ia terdedah kepada ketidaktentuan perdagangan luar dan aliran modal antarabangsa. Natijah daripada krisis global, eksport negara merosot dengan ketara sebanyak 23.4 peratus dalam tempoh separuh pertama tahun 2009 berbanding peningkatan 15.5 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas. Indeks pengeluaran perindustrian pula merosot kepada 12.7 peratus berbanding peningkatan 3.3 peratus. Manakala, jumlah bersih pelaburan langsung asing berkurangan kepada 3.6 bilion ringgit berbanding 19.7 bilion ringgit bagi tempoh yang sama.

14. Sebagai langkah proaktif, Kerajaan telah bertindak pantas dengan melaksanakan dua Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah 67 bilion ringgit. Pakej rangsangan ini merupakan antara yang terbesar dan komprehensif dari segi jumlah dan liputan berbanding negara lain. Pelaksanaan pakej ini nampaknya telah berjaya mengelakkan negara daripada terjerumus ke dalam kemelesetan ekonomi yang lebih teruk. Sehingga 16 Oktober 2009, lebih 48 ribu projek telah siap dan hampir 40 ribu projek sedang dilaksanakan. Alhamdulillah, apa yang ingin saya maklumkan di sini adalah secara keseluruhannya kesemua pelaksanaan pakej rangsangan adalah mengikut jadual seperti mana yang telah ditetapkan.

15. Selanjutnya, tanda-tanda pemulihan ekonomi telah mula dilihat melalui tindakan proaktif Kerajaan. KDNK suku kedua 2009 menguncup dengan lebih perlahan pada kadar negatif 3.9 peratus, berbanding suku pertama pada kadar negatif 6.2 peratus. Prestasi yang baik ini disokong oleh kecergasan sektor pembinaan yang berkembang 2.8 peratus pada suku kedua hasil daripada pelaksanaan projek di bawah pakej rangsangan. Selain itu, sektor pertanian dan perkhidmatan mencatat pertumbuhan 0.3 dan 1.6 peratus. Perbelanjaan penggunaan swasta pula kembali meningkat sebanyak 0.5 peratus berikutan bertambahnya keyakinan sektor isi rumah dan sentimen pasaran buruh yang lebih baik.

16. Seperti yang diunjurkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa atau IMF pada 1 Oktober, ekonomi dunia tahun 2009 menguncup pada kadar yang lebih rendah iaitu negatif 1.1 peratus berbanding negatif 1.4 peratus semasa anggaran dibuat pada bulan Julai tahun ini. Bagi tahun 2010 pula, ekonomi dunia dijangka kembali berkembang kukuh pada kadar 3.1 peratus. Perdagangan dunia pula, dijangka mencatat negatif 11.9 peratus pada tahun 2009 dan kembali pulih 2.5 peratus pada tahun 2010. Mengambil kira perkembangan ekonomi dan perdagangan dunia ini, serta persekitaran ekonomi domestik yang lebih baik, KDNK negara bagi tahun 2009 diunjurkan negatif 3 peratus, lebih baik daripada anggaran awal antara negatif 4 hingga negatif 5 peratus yang diumumkan pada 28 Mei 2009.

17. Lantaran itu, berdasarkan semua yang dinyatakan tadi, moga beraraklah awan mendung dan sinar mula menampakkan wajahnya. Menjelang tahun depan, ekonomi negara dijangka kembali pulih dan cergas. Bagi tahun 2010, ekonomi negara dijangka berkembang kepada 2 hingga 3 peratus. Semua sektor ekonomi dijangka mencatat pertumbuhan positif, iaitu sektor perlombongan 1.1 peratus, pembuatan 1.7 peratus, pertanian 2.5 peratus dan pembinaan 3.2 peratus. Sektor perkhidmatan kekal menjadi penggerak utama, berkembang 3.6 peratus. Pertumbuhan ekonomi ini juga didorong oleh penggunaan swasta 2.9 peratus dan pelaburan swasta yang kembali pulih 3.4 peratus.

18. Di samping itu, peningkatan semula eksport sebanyak 3.5 peratus, dianggar turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Kadar inflasi kekal rendah antara 1.5 hingga 2.5 peratus. Kadar pengangguran rendah di bawah 4 peratus. Pendapatan per kapita rakyat meningkat 2.5 peratus kepada 24,661 ringgit. Manakala, pendapatan dari segi pariti kuasa beli meningkat kepada 13,177 dolar Amerika.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda